Bahagian Integriti PUSAKA telah ditubuhkan pada 2 Disember 2019 bagi menyahut seruan penubuhan Unit Integriti melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013; diketuai oleh Puan Suraya Binti Mohamad Ali (E52) dan dibantu oleh Puan Estee Dinimashida Ahmad Luthfi (W41) serta disokong oleh sebelas (11) orang anggota pelbagai gred.
Bahagian Integriti pada asalnya ditubuhkan bagi menggalas pelbagai tanggungjawab termasuk Audit Dalam dan Pengurusan Risiko selain daripada integriti sehingga 1 September 2020 dengan tertubuhnya Seksyen Audit Dalam dan Pengurusan Risiko berikutan saranan Lembaga Pengurusan PUSAKA.
Pengstrukturan semula Bahagian Integriti sekali lagi telah dibuat berkuatkuasa 9 Januari 2023 dengan penggabungan Bahagian Integriti dengan Bahagian Pengurusan Risiko di bawah satu bumbung dan dikenali sebagai Bahagian Pengurusan Risiko dan Integriti; diketuai oleh Tuan Haji Nadzam Al-Rush Bin Datu Haji Putit, dibantu oleh Puan Sharifah Zainah Binti Wan Omar selaku Ketua Seksyen Integriti dan disokong oleh lapan (8) orang anggota pelbagai gred.
Visi Seksyen Integriti ialah mewujudkan budaya integriti yang cemerlang di dalam organisasi dan Misi ialah memperkukuhkan nilai integriti organisasi dengan memastikan pematuhan dasar dan prosedur serta menyemai budaya integriti melalui pendekatan sistematik dan kakitangan yang cekap. Slogan Seksyen Integriti ialah “Kami Tolak Rasuah”.
Objektif penubuhan Bahagian Pengurusan Risiko dan Integriti adalah untuk memberikan hala tuju dan bimbingan kepada warga PUSAKA supaya mewujudkan sikap bekerjasama, bersatu padu, berintegriti, bermoral dan beretika. Selain itu, meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama warga dalam usaha peningkatan integriti supaya integriti menjadi budaya dan amalan di kalangan warga PUSAKA dan menggalakkan semangat bertanggungjawab di kalangan warga PUSAKA.
Seksyen Integriti melaksanakan 6 fungsi teras iaitu:
1. Tadbir Urus
2. Pengukuhan Integriti
3. Pengurusan Aduan
4. Pengesanan dan Pengesahan
5. Pematuhan
6. Tatatertib
Tadbir Urus – Memastikan tadbir urus terbaik dilaksanakan dengan mencadangkan penambahbaikan serta pembaharuan kepada dasar/arahan/sistem/prosedur dalam PUSAKA di dalam menangani isu-isu integriti dan rasuah.
Pengukuhan Integriti – Memastikan pembudayaan,pelaksanaan dan penginstitusian nilai-nilai integriti wujud di PUSAKA melalui penyampaian maklumat kepada pihak pengurusan dan anggota PUSAKA, mengadakan garis panduan dan program-program kesedaran berkaitan integriti untuk memantapkan amalan integriti di PUSAKA.
Pengurusan Aduan – Menerima dan mengambil tindakan terhadap semua maklumat/aduan berkaitan dengan isu integriti dan rasuah di PUSAKA.
Pematuhan – Memastikan pematuhan PUSAKA dalam perkara-perkara berkaitan dengan sistem dan prosedur dan lain-lain peraturan yang dikuatkuasa dalam semua peringkat serta membuat hebahan dan peringatan tentang peraturan dan pekeliling disamping memastikan Kod Etika Agensi sentiasa diamalkan dan dipatuhi.
Pengesanan dan Pengesahan – Mengesan dan mengesahkan aduan berkaitan dengan isu integriti dan rasuah serta memastikan tindakan susulan yang sewajarnya diambil dan melaporkan hasil siasatan yang bersifat pentadbiran dan tatatertib diselesaikan di peringkat jabatan dan hasil siasatan yang bersifat jenayah dilaporkan kepada agensi penguatkuasa yang bertanggungjawab untuk tindakan lanjut.
Tatatertib – Melaksanakan kerja-kerja pengurusan tatatertib dan fungsi urusetia Lembaga Tatatertib berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Demi memantapkan usaha-usaha ini, seramai empat (4) orang pegawai yang terdiri daripada gred 44 hingga 52 telah mengikuti kursus Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) semenjak tahun 2019 sehingga kini.
Hasil usaha-usaha ini telah dibuktikan dengan beberapa pencapaian yang membanggakan termasuklah:
1. Penghargaan atas komitmen dan kerjasama dalam Pembudayaan Integriti dan Tadbir Urus Baik Tahun 2019 daripada Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS)
2. Pencapaian Pelan Anti Rasuah Organisasi keseluruhan sebanyak 73% setakat Jun 2023.
3. Pentauliahan empat (4) orang Pegawai Integriti bertauliah (CeIO)
4. Penubuhan Unit Integriti di tiga (3) buah anak syarikat PUSAKA yakni Harwood Timber Sdn. Bhd.
PUSAKA Capital Sdn. Bhd. dan Hornbill Skyways Sdn. Bhd.
5. Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) 2022 – PERAK
Sejak penubuhan pada 2 Disember 2019, PUSAKA telah melaksanakan pelbagai program untuk pengukuhan integriti selaras dengan keperluan pekeliling-pekeliling Kerajaan Negeri; di antaranya adalah program jerayawara kesedaran nilai integriti kepada semua warga PUSAKA dan juga anak-anak syarikatnya. Program pengukuhan integriti juga dipanjangkan ke anak-anak syarikat PUSAKA melalui program Model Klon Integriti PUSAKA.
Sambutan Hari Integriti juga diadakan setiap tahun yang mana membuktikan bahawa PUSAKA adalah sebuah agensi yang komited dalam melaksanakan program penerapan nilai integriti dan diamalkan oleh setiap warga PUSAKA dalam setiap pekerjaan mereka.
Di samping itu, beberapa sesi libat urus diadakan bersama dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA), SPRM; bertujuan memperkukuhkan hubungan strategik di antara SPRM dan PUSAKA serta anak-anak syarikat PUSAKA, disamping merapatkan hubungan kerjasama terutamanya berkaitan pencegahan rasuah di kalangan warga kerja dan pemegang taruh PUSAKA.
PUSAKA juga telah mendokumentasikan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) dan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM). Sebagai inisiatif dalam penerapan nilai integriti dan membendung gejala rasuah PUSAKA juga telah menyediakan dan menguatkuasakan Polisi Integriti Korporat, Polisi Hadiah dan Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblower Policy).
Jawatankuasa Anti Rasuah peringkat Kementerian dan PUSAKA juga turut ditubuhkan bagi menyediakan platform untuk membolehkan isu-isu khas berkaitan integriti dan rasuah dibincang dan ditangani dengan segera.
Pengurusan Aduan dan Pengesanan dan Pengesahan. PUSAKA juga didalam proses merangka Garis Panduan Pengurusan Aduan Etika dan Pengesanan dan Pengesahan bagi aduan yang diterima.
Pengurusan Aduan Etika bertujuan memastikan pengurusan aduan/ maklumat kelakuan tidak wajar berkaitan kesalahan tatatertib dan kesalahan jenayah manakala pengesanan dan pengesahan bertujuan memastikan tindakan siasatan dalaman ke atas aduan/ maklumat kelakuan tidak wajar berkaitan kesalahan tatatertib dan kesalahan jenayah dalam kalangan pegawai dan kakitangan agensi dikendalikan dengan telus, sistematik, cekap dan adil serta menepati pekeliling-pekeliling berkaitan.
Sebagai usaha memantapkan lagi peranan integriti di PUSAKA, usaha ke arah pensijilan MS ISO 37001:2016 Anti Bribery Management Systems (ABMS) telah dimulakan sejajar dengan ketetapan di bawah Pekeliling Integriti Negeri Sarawak Bilangan 3 Tahun 2019 yang dikuatkuasa pada 16 Mei 2019.
Sistem Pengurusan Anti Rasuah ini merupakan suatu sistem pengurusan yang dibina bagi membantu sesebuah organisasi dalam mencegah, mengesan dan mengambil tindakan keatas kesalahan rasuah dan mematuhi undang-undang anti rasuah. Dengan adanya pengiktirafan ini kelak adalah diharapkan bakal memberi keyakinan kepada pemegang taruh dan orang awam bahawa PUSAKA adalah sebuah agensi yang mengamalkan nilai integriti di dalam setiap urusan kerja seharian.
Penetapan hala tuju dan tekad integriti PUSAKA bertumpu kepada modal insan yang berintegriti dan strategi pelaksanaan yang praktikal. PUSAKA di dalam usaha menetapkan program-program dilaksanakan secara berterusan dan inisiatif-inisiatif ini perlu dijalankan untuk mempertingkatkan pematuhan dan mengurangkan salah laku sebagai usaha pemantapan integriti. Insiatif tersebut termasuklah :
1. Latihan dan pendidikan;
2. Program kesedaran;
3. Model Klon Integriti kepada anak-anak syarikat PUSAKA;
4. Pembudayaan inovasi;
5. Penambahbaikan proses kerja;
6. Pengurusan Aduan yang efektif dan telus;
7. Penyiasatan ke atas kes aduan yang adil dan telus;
8. Pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP); dan
9. Pemantauan ke atas pengurusan risiko rasuah
Integriti dan akauntabiliti yang tinggi dalam kalangan warga PUSAKA sangat penting untuk memastikan hala tuju, visi dan misi organisasi tercapai dan dilaksanakan dengan jayanya. Pembudayaan amalan integriti mampu melahirkan warga PUSAKA yang lebih efisien, produktif dan beretika serta mampu mewujudkan mekanisme kawalan bagi memastikan peraturan dan dasar yang ditetapkan adalah dipatuhi.
Pengurusan tertinggi dan barisan pengurusan PUSAKA juga memberikan komitmen yang tinggi dalam memupuk budaya organisasi yang harmoni dan berintegriti.