Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) sekali lagi membuktikan komitmennya untuk memberikan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar dengan meraih anugerah prestij “GLC of the Year – Community at Heart” dalam kategori badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Majlis Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2023 baru-baru ini.
Acara ini, yang berlangsung di Kuala Lumpur, mengiktiraf usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan menghargai syarikat syarikat yang mempromosi keprihatinan sosial dalam komuniti mereka.
Komitmen LCDA dalam mempromosikan kesejahteraan komuniti, kesan sosial dan kelestarian alam sekitar melalui program CSR “LCDA Prihatin” telah menarik perhatian panel juri anugerah.
Pengiktirafan ini menonjolkan komitmen berterusan LCDA dalam mendorong keprihatinan sosial dan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 Sarawak yang fokus kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Inisiatif program “LCDA Prihatin” yang merangkumi aktiviti kesihatan, pendidikan dan kebajikan telah memberi impak yang besar kepada golongan yang terbeban di Sarawak, terutamanya semasa pandemik Covid-19. Melalui program ini, LCDA telah berjaya menangani bebanan dan kesusahan golongan yang memerlukan.
LCDA juga akan terus komited untuk membuat perubahan dengan memulakan projek-projek yang dipacu oleh masyarakat dan memberi impak positif yang berkekalan.
Pengurus Kanan, Bahagian Hal Ehwal Korporat di LCDA, Saiful Bahari Amra Ramly berkata pihak LCDA sangat berbesar hati dan bersyukur menerima Anugerah “GLC of the Year – Community at Heart.”
Pengiktirafan ini menurutnya merupakan pengikirafan terhadap usaha gigih yang berterusan LCDA dalam mempromosikan pembangunan mampan dan memberi sumbangan balik kepada masyarakat.
LCDA percaya bahawa Masyarakat prihatin yang berkembang adalah tulang belakang Sarawak dan akan sepenuhnya komited untuk mendorong perubahan positif melalui program CSR.
Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2023, yang dianjurkan oleh CSR Malaysia dan diperakukan oleh Persatuan Kesejahteraan Kelestarian dan Tanggungjawab Korporat Malaysia, menyatukan badan-badan korporat yang berkomitmen untuk memberi impak bermakna kepada masyarakat dan alam sekitar tempat mereka beroperasi.
Acara ini memberi ruang untuk mempamerkan inisiatif CSR dan menggalakkan budaya amalan perniagaan yang bertanggungjawab.
Majlis pemberian anugerah ini disempurnakan oleh Menteri Wanita, Keluarga & Pembangunan Komuniti, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri yang turut memberi pujian kepada LCDA atas kesungguhan mereka dalam menjalankan program -program CSR di Sarawak.
Anugerah ini juga merupakan pengiktirafan kedua LCDA atas amalan sosial, alam sekitar dan tadbir urus (ESG) yang cemerlang. Sebelum ini, LCDA telah dianugerahkan “Energy Efficiency Building Award” di Anugerah Tenaga ASEAN 2020.