- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Sokongan Pengurusan

Must read

Setiap Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) tidak akan dapat bertahan
lama serta berkembang tanpa sokongan padu daripada pihak pengurusan.

Bentuk sokongan yang diberikan itu pula bukan hanya sokongan dari segi
material seperti peralatan mahupun wang ringgit untuk kemajuan KMK, malah perlu
turut melibatkan komitmen yang menyeluruh daripada semua pihak di dalam
organisasi.

Kisah kejayaan KMK MASA, salah satu KMK di dalam Dewan
Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang ditubuhkan pada Ogos 2001 telah membuktikan
kenyataan itu.

KMK MASA dianggotai oleh seramai enam orang ahli
daripada pelbagai unit di DBKU.

Pengalaman yang dilalui oleh mereka dalam KMK yang
pernah disertai sebelumnya serta sepanjang penyertaan mereka dalam KMK MASA
telah menyedarkan mereka bahawa sokongan daripada pihak pengurusan, mahupun
seluruh organisasi merupakan antara kunci kekuatan yang telah menyuntik
semangat setiap ahli supaya terus bergiat aktif di dalam setiap aktiviti serta
pergerakan KMK.

Pihak pengurusan DBKU terutamanya Pengarah DBKU, Tuan Hj.
Onn Bin Abdullah dan Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Korporat) Tuan Hj.
Shukarmin Chasemon sentiasa memberi sokongan dalam setiap aktiviti KMK yang
dijalankan.

Sokongan dan semangat yang ditunjukkan pihak atasan itu
telah banyak mempengaruhi keupayaan serta pembangunan berterusan dalam KMK
MASA.

Maka tidak menghairankan mengapa KMK MASA yang merupakan
salah satu daripada 33 buah KMK yang pernah ditubuhkan dalam DBKU sejak tahun
1993 masih terus bergiat aktif.

Projek KMK 2004

Projek pertama kumpulan itu yang bertajuk ‘Tuntutan Kerja
Lebih Masa Yang Melebihi Had’ mula dilaksanakan pada Ogos 2001 dan selesai pada
April 2004.

Berdasarkan statistik tuntutan kerja lebih masa khususnya di
Bahagian Penguatkuasa Dan Keselamatan DBKU, terdapat banyak bilangan kes
tuntutan lebih masa yang melebihi had 60 jam sebulan iaitu kira-kira 17.5
peratus.

Sehubungan itu, objektif dan sasaran projek ialah untuk
mengurangkan bilangan tuntutan melebihi had 60 jam sebanyak 50 peratus.

KMK MASA kemudiannya berjaya menyenarai pendek punca kepada
masalah tersebut seperti mengganti tugas orang lain, tambahan dalam waktu
bertugas, terpaksa bertugas dan bertugas secara berterusan. Kumpulan
kemudiannya mencadangkan agar satu sistem kerja waktu anjal dilaksanakan.

Sistem yang dicadangkan itu telah berjaya mengurangkan jumlah tuntutan
lebih masa sebanyak 60.8 peratus bersamaan dengan penjimatan berjumlah
kira-kira RM96,768.00 setahun.

Kejayaan projek itu telah membolehkan KMK MASA mengembangkan
sayapnya untuk mewakili DBKU dalam beberapa pertandingan KMK di peringkat
kebangsaan, wilayah dan negeri sehingga merangkul beberapa kejayaan.

Antaranya Anugerah Dua Bintang (Tiga Bintang merupakan yang
terbaik) di Peringkat Kebangsaan anjuran Perbadanan Produktiviti Negara (NPC)
pada tahun 2004 dan Anugerah Emas dalam Konvensyen ICC (Innovative and Creative Circle) Wilayah Sarawak/Sabah 2004.

Kerana itu kesungguhan serta semangat berpasukan yang kuat
di kalangan ahli KMK MASA wajar mendapat pujian.

Kebanggaan pula boleh dilontarkan kepada pihak pengurusan
DBKU kerana sentiasa memandang jauh bahawa setiap usaha kakitangannya di
peringkat KMK akan mampu membawa penambahbaikan secara menyeluruh kepada
operasi organisasi.

Bukan setakat itu, ia juga sebenarnya telah membantu membawa
imej organisasi yang lebih baik kepada pelanggannya.

Malah satu budaya kerja yang baru telah berjaya ditingkatkan
iaitu setiap tugas dan masalah yang wujud cuba diselesaikan melalui peranan
setiap ahlinya, tanpa mengira kedudukan atau pangkatnya di dalam organisasi.

Insentif

Pihak pengurusan DBKU menyediakan pelbagai insentif untuk
kakitangannya yang menyertai mana-mana KMK di dalam organisasi dan akan
berlipat ganda jika KMK yang disertai berjaya menempa kejayaan. Tujuannya bagi
menghargai sumbangan serta penglibatan kakitangan yang terbabit.

Bagi Kumpulan Terbaik dalam Mini Konvensyen DBKU,
fasilitator dan ahli-ahlinya akan menerima sijil serta wang tunai berjumlah
RM100.00. Kumpulan juga akan diberi cenderamata bernilai RM200.00.

Kumpulan KMK DBKU yang berjaya dalam Konvensyen Peringkat
Negeri pula diberi surat penghargaan daripada DBKU serta lawatan sambil belajar
dalam negara.

Sementara itu, mana-mana KMK DBKU yang berjaya dalam
Konvensyen Peringkat Kebangsaan akan diberi surat penghargaan daripada DBKU
serta berpeluang mengikuti lawatan sambil belajar ke mana-mana negara ASEAN.

Jamuan tahunan turut diadakan selepas Mini Konvensyen DBKU
untuk semua Kumpulan KMK. Tujuannya untuk meningkatkan persefahaman di kalangan
kakitangan, terutamanya hubungan dengan pihak pengurusan (Majlis Kualiti).

Insentif sebanyak RM10 juga disediakan untuk setiap
mesyuarat mingguan KMK yang diadakan bagi tujuan pembelian makanan dan minuman
ringan.

Sungguhpun pelbagai jenis insentif disediakan, bagi
ahli-ahli KMK MASA ia dianggap sebagai satu bonus. Kerana yang paling penting
bagi mereka ialah penyertaan mereka dalam KMK telah memberikan mereka
pengalaman serta memberi peluang kepada mereka untuk turut menyumbang kepada
kemajuan organisasi keseluruhannya.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article