- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

FesKII Platform Perkongsian Kreativiti dan Inovasi

Must read

Festival Kreativiti dan Inovasi Islam (FesKII 2023) dengan tema ‘The Beauty of Islam’ telah berlangsung selama lima (5) hari bermula dari 16 Ogos dan berakhir pada 21 Ogos 2023 di Pusat Penerangan Islam – Majlis Islam Sarawak (IIC-MIS).

FesKII 2023 dianjurkan bersempena dengan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka dan ulang tahun ke-15 IIC-MIS.

Kemuncak program diisi dengan forum dan ceramah yang telah dikongsikan oleh lima (5) orang panel pembentang termasuk Ketua Pegawai Eksekutif IIC-MIS, Dr. Hajah Asmah binti Othman yang berkongsi tentang sejarah dan penubuhan IIC-MIS.

Panel-panel lain yang dijemput ialah Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Shah Alam, YBhg Datuk Haji Abdul Latiff Mirasa yang berkongsi tentang Penghasilan Reka Corak Al-Quran serta tiga (3) orang panel, iaitu Presiden PERTAPIS Education and Welfare Centre Singapura, Encik Hussaini bin Abdullah, Permanent Member of the Management Committee of Phnom Penh Islamic Center (PPIC), Kemboja, H.E Haji Yob Ahskary dan Pengurus An-Nur Islamic Centre, Universiti Teknologi Petronas, Ustaz Abd ur-Rahman Mohamed Amin yang menyampaikan ceramah bertajuk Kreativiti dan Inovasi dalam Pengurusan.

Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan, antaranya ialah pameran kesenian Islam, pameran artifak falak dan teleskop, simulasi Haji, inovasi robotik, sukan memanah, pertandingan Khat dan juga gerai Mu’amalah yang telah bermula seawal pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Sudut pameran ilmu falak
Beberapa peralatan falak yang dipamerkan sempena FesKII 2023
Peralatan Glob Lima Planet, iaitu artifak falak terkenal dalam dunia islam turut dipamerkan di sudut pameran ilmu falak
Pameran teleskop dan ilmu falak yang diketengahkan sempena FesKII 2023 telah menarik minat pengunjung bukan Islam

Program dianjurkan bertujuan untuk menerapkan nilai kreativiti dan inovasi dalam kalangan generasi muda masa selain menjadi platform perkongsian dalam amalan terbaik pengurusan dan penyebaran maklumat dan keindahan Islam.

Objektif lain penganjuran FesKII 2023 juga adalah bagi mengetengahkan kepelbagaian dan kegemilangan seni Islam di Nusantara dan serantau dengan mempamerkan kesenian Islam sebagai inspirasi kepada inovasi dalam pelbagai konteks kehidupan.

Dalam pada itu, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menerusi teks ucapan perasmian yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak, YB Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Bin Haji Junaidi berharap supaya FesKII dapat dianjurkan setiap dua (2) tahun sekali bagi memastikan Sarawak menerima kesan positif daripada penganjurannya.

Hal tersebut dikatakan demikian kerana penganjuran FesKII yang menghimpunkan cendekiawan Islam dari dalam dan luar negara mampu menjadi platform untuk mengetengahkan pelbagai idea pembangunan.

Menurut beliau, menerusi penganjuran festival tersebut, Sarawak dapat mengambil bahagian secara aktif dan seterusnya memastikan bahawa kepimpinan Islam di negeri ini dapat mengetengahkan pelbagai idea untuk sama-sama berkongsi maklumat dengan kepimpinan Kerajaan Sarawak untuk membangunkan negeri.

FesKII 2023 juga mengetengahkan seni Khat Islam

Dalam teks ucapan tersebut, beliau turut menekankan tentang pendayaciptaan dari aspek sosial yang seharusnya dilihat sebagai salah satu kaedah penyatuan yang menghubungkan Masyarakat pelbagai bangsa, etnik, sukuk aum dan agama di negara, khususnya di Sarawak.

Oleh yang demikian, pembudayaan kreativiti dan inovasi tidak seharusnya dihadkan kepada satu-satu kelompok masyarakat sahaja, sebaliknya inovasi perlu difahami dan diamalkan oleh seluruh lapisan masyarakat dalam pelbagai bidang kepakaran masing-masing.

Hasilnya, semangat untuk berdaya cipta perlu dioptimumkan untuk membangun dan menghasilkan pelbagai aplikasi inovatif yang dizahirkan juga dalam amalan daya cipta dalam organisasi.

Majlis perasmian FesKII 2023 turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, YBhg Datuk Haji Misnu bin Haji Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak, Ustaz Haji Khalidi bin Haji Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif IIC-MIS, Dr. Hajah Asmah binti Othman.

Salah seorang pengunjung mengunjungi pameran dan jualan buku Islam yang turut diadakan
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article