Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah ditubuhkan pada 17 Ogos 1990 sebagai urus setia kepada Majlis Islam Sarawak (MIS) seperti yang diperuntukkan di bawah Ordinan Majlis Islam Sarawak.
JAIS ditubuhkan dengan objektif untuk memperkemaskan lagi pentadbiran hal ehwal Islam manakala MIS sebagai kuasa tertinggi mengenai Islam di Sarawak pula hanya menggubal dan meluluskan hal-hal yang berkaitan dengan dasar.
Pengoperasian JAIS dijalankan di peringkat ibu pejabat dan di 12 Pejabat Agama Islam Bahagian dan dua (2) Pejabat Agama Islam Daerah.
Ibu Pejabat JAIS di Kuching menjalankan operasi perkhidmatan teras yang dipecahkan kepada lapan (8) bahagian, merangkumi Bahagian Dakwah, Kemajuan Institusi Masjid, Kemajuan Keluarga Islam, Pengukuhan Pendidikan Islam, Penguatkuasaan Syariah, Pendakwaan Syariah, Pengurusan Halal dan Pembangunan Psikologi serta Kaunseling Syarie.
Selain itu, ibu pejabat JAIS juga menjalankan operasi perkhidmatan sokongan yang dikendalikan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Pentadbiran dan Pengurusan Sumber, Unit Komunikasi Korporat, Unit Integriti dan Unit Pengurusan Projek.
Dalam usaha untuk menambah baik perkhidmatan dan sistem penyampaian, JAIS telah dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif kualiti, merangkumi pelaksanaan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan MS ISO 9001:2015, Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) MS ISO 37001:2016, pelaksanaan Malaysia Business Excellence Framework (MBEF), SCS Scorecard, Pelan Strategik Jabatan (PSJ) 2019-2023, penubuhan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan Majlis Pengurusan Jabatan (MPJ).
Menurut Pengarah JAIS, Tuan Haji Khalidi bin Ibrahim, dasar kualiti jabatan menekankan bahawa, JAIS beriltizam memberi perkhidmatan yang cekap, berkesan serta penuh hikmah yang ditambah baik secara berterusan berdasarkan peraturan semasa dan berteraskan hukum-hukum syarak.
Menerusi pelaksanaan MS ISO 9001:2015, beliau yang ditemu bual RAKAN Sarawak memaklumkan, JAIS mendapat pensijilan tersebut bermula pada 2018 sehingga sekarang.
Jelas beliau, pensijilan tersebut merangkumi skop-skop seperti Pengeluaran Tauliah Pengajaran Agama Islam, Pelantikan Pegawai Masjid, Pengeluaran Sijil Pengesahan Halal, Pencarian Rekod Daftar Perkahwinan, Pendaftaran Kertas Siasatan, Pengurusan Fail Kes dan Pendakwaan Kes di Mahkamah Syariah, Pemantauan Sekolah Agama Rakyat Tahfiz, Pelaksanaan Kajian Penyelidikan dan proses sokongan yang berkaitan.
Dalam usaha mendapat pensijilan ABMS MS ISO 37001:2016, JAIS telah memulakan langkah ke arah itu pada 17 Mei 2022 sebagai sebahagian daripada pembudayaan integriti dan peningkatan nilai-nilai murni jabatan.
ABMS ISO 37001:2016 adalah lanjutan dari Pekeliling Integriti Sarawak Bil.3 Tahun 2019 – Garis Panduan Pelaksanaan MS ISO 37001:2016 ABMS dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak yang dikeluarkan Kerajaan Sarawak pada 16 Mei 2019.
Pekeliling tersebut juga selari dengan inisiatif 2.1.3 dalam Pelan Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACP), iaitu memperkenalkan pensijilan ABMS di semua agensi kerajaan termasuk kementerian dan jabatan kerajaan negeri.
Di antara pelbagai inisiatif kualiti yang dilaksanakan, fokus JAIS untuk tahun 2023 adalah untuk melaksanakan Malaysia Business Excellence Framework (MBEF), iaitu satu rangka kerja yang bertujuan untuk memperkasa imej dan kecemerlangan jabatan.
Tuan Haji Khalidi menerangkan, MBEF adalah satu rangka kerja yang berteraskan pada 11 Nilai dan Konsep Teras.
Pelaksanaan MBEF diukur secara komprehensif berdasarkan tujuh (7) kriteria yang ditetapkan, iaitu Kepimpinan, Perancangan, Informasi, Pelanggan, Modal Insan, Proses dan Hasil manakala 11 Nilai dan Konsep Teras MBEF pula merangkumi Informasi, Pelanggan, Tenaga Kerja, Proses, Strategi, Pembelajaran, Transformasi, Inovatif, Kepimpinan, Gambaan Keseluruhan Organisasi dan Hasil.
Pada dasarnya, MBEF dilaksanakan bagi mengukur kecemerlangan organisasi swasta malah juga boleh dilaksanakan di agensi kerajaan.
Selepas diberi pendedahan mengenai pelaksanaan MBEF oleh pihak Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), timbul minat daripada pihak jabatan untuk melaksanakan rangka kerja tersebut di JAIS dan Tuan Haji Khalidi berharap supaya inisiatif tersebut dapat dilaksanakan memandangkan JAIS adalah sebuah organisasi yang menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan yang merupakan salah satu (1) daripada tujuh (7) kriteria MBEF.
Tujuannya menurut beliau adalah bagi mengangkat imej dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh JAIS.
Pada 6 hingga 7 Jun 2023, JAIS dengan kerjasama MPC Wilayah Sarawak telah menganjurkan Bengkel Pengamal Kecemerlangan Perniagaan yang bertujuan untuk memberikan pendedahan awal dalam rangka kerja kecemerlangan perniagaan MBEF kepada pegawai dan kakitangan jabatan.
Tuan Haji Khalidi percaya bahawa tujuh (7) kriteria utama MBEF dapat meneraju JAIS ke arah potensi yang lebih unggul serta menjadi batu loncatan kepada JAIS untuk mencapai kecemerlangan yang optimum dan berterusan.
Secara dasarnya, MBEF adalah satu Program Peningkatan Kualiti yang ditawarkan oleh MPC untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan amalan Kecemerlangan Perniagaan kepada prestasi perniagaan yang juga boleh dilaksanakan di agensi kerajaan.
Program tersebut bertujuan untuk membantu organisasi dari semua saiz dan sektor dalam perjalanan ke arah prestasi kecemerlangan.
Di peringkat global, sebanyak lebih 80 buah negara dan hampir 100 pentadbir anugerah antarabangsa menggunakan rangka kerja yang hampir sama dengan MBEF, terutama bagi meningkatkan kecemerlangan dalam pengurusan organisasi.
Tuan Haji Khalidi turut berkongsi beberapa inisiatif kualiti lain yang telah dicapai dan akan dilaksanakan oleh JAIS seperti pensijilan semula Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) untuk tempoh 15 Mei 2022 hingga 14 Mei 2024, pelaksanaan Anugerah Pengurusan Pelanggan (APP) dan Program Pementoran.
Beliau menjelaskan, APP dilaksanakan pada setiap tahun di kesemua Pejabat Agama Islam Bahagian yang bertujuan untuk memastikan sistem pengurusan pelanggan terus ditambah baik secara berterusan.
Beberapa kaunter pejabat JAIS juga telah melaksanakan sistem Queue Bee dan Garis Panduan berkenaan penyampaian perkhidmatan yang bercirikan akhlak Islam melalui pendekatan imej Ihtiram akan dilaksanakan dan ditekankan mulai tahun 2023 sebagai cara JAIS menyantuni pelanggan.
Untuk mempertingkatkan kecemerlangan pegawai-pegawai JAIS, program pementoran telah dilaksanakan secara berperingkat.
Menurut beliau, seramai sembilan (9) orang mentor dan 18 orang mentee terlibat dalam program pementoran jabatan yang dijalankan untuk tempoh 2022/23.
Bagi mengukur dan menilai prestasi pengurusan jabatan yang komprehensif, JAIS melaksanakan SCS (Sarawak Civil Service) Scorecard sejak tahun 2013 dan pelaksanaanya telah melalui beberapa peringkat pengubahsuaian terhadap Objektif Strategik dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berdasarkan pencapaian tahunan.
Untuk tahun 2022, sebanyak 12 Objektif Strategik dan 43 KPI telah dilaksanakan oleh JAIS dengan pencapaian yang dicatatkan pada 8.38%.
Jelas Tuan Haji Khalidi, JAIS juga komited dalam pembudayaan integriti dalam kalangan warga kerjanya menerusi inisiatif-inisiatif seperti Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) 2021-2025, Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM), mewujudkan Polisi Anti Rasuah, Polisi Pendedahan Kelakuan Tidak Wajar (KTW), Polisi Pengurusan Hadiah dan sebagainya.
Pada awal Januari tahun ini, JAIS telah mendapat Anugerah Perak dalam Majlis Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) 2022 di peringkat kebangsaan bersama empat (4) lagi agensi Kerajaan Negeri yang lain.
Anugerah berprestij tersebut mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada sektor awam serta swasta yang komited dalam pembudayaan amalan integriti dalam organisasi.
Berkongsi tentang perancangan JAIS seterusnya dalam inisiatif amalan integriti, Tuan Haji Khalidi memaklumkan bahawa pihak beliau bakal mewujudkan Sistem Pengurusan Aduan Integriti secara rasmi dalam talian.
Usaha-usaha lain berkaitan integriti yang telah diljalankan oleh JAIS antaranya ialah penerapan budaya integriti melalui program kesedaran seperti program Jerayawara Integriti dan Khidmat Sokongan Pekerja ke Pejabat Agama Islam Bahagian (PAIB) pada 2022, Naziran Integriti di PAIB dengan mewujudkan Anugerah Persekitaran Berintegriti, Ikrar Bebas Rsuah (IBR), promosi integriti melalui poster termasuklah ceramah integriti.