Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPN Sarawak) telah
mengenalpasti sejumlah 67.4 peratus murid yang berada di Tahun Satu di negeri
ini boleh menguasai kemahiran membaca dan menulis.
Angka mutakhir ini berasaskan Ujian Pengesanan Celik Huruf
(UPCH) yang telah dilaksanakan oleh JPN Sarawak pada penghujung bulan Jun tahun
lepas (2005). Ujian yang melibatkan seramai 46,597 orang murid Tahun Satu di
sekolah rendah di negeri ini diadakan bertujuan untuk melihat data sebenar
mengenai masalah murid yang belum menguasai kemahiran tersebut.
Pada masa yang sama JPN Sarawak turut mendapati sejumlah
63.3 peratus murid pada tahap berkenaan menguasai kemahiran mengira melalui
Ujian Pengesanan Celik Angka (UPCA).
Kedua-dua ujian tersebut,
turut mendapati bahawa kebanyakan murid dapat menguasai kemahiran tersebut
selepas enam (6) bulan persekolahan.
Menurut kenyataan daripada Pengarah Pelajaran Sarawak,
JPN Negeri Sarawak telah mengambil beberapa inisiatif untuk menangani masalah
murid yang belum menguasai kemahiran tersebut dengan mengadakan beberapa
program antaranya Program Celik Huruf dan Celik Angka, Kelas Pemulihan dan
Program Bacaan Awal sejak tahun 1995 lagi
Kumpulan murid yang belum
menguasai 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) telah dan sedang mengikuti kelas
pemulihan biasa atau kelas pemulihan khas yang berterusan sehingga mencapai
tahap penguasaan kemahiran 3M sebelum mereka melangkah ke Tahap Dua.
Sehubungan itu,
beliau berharap ibu bapa turut mengambil berat terhadap pembelajaran anak-anak
mereka di samping sentiasa berhubung dengan pihak sekolah mengenai perkembangan
anak-anak mereka.
Pada tahun 2006,
Kementerian Pelajaran Malaysia telah memutuskan untuk mengesan penguasaan murid
membaca dan menulis selepas 3 bulan mengikuti proses pengajaran dan
pembelajaran.
Satu ujian penapisan
dijalankan pada awal April ini (2006). Murid-murid yang belum menguasai
kemahiran asas membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu akan melalui Program
KIA2M (Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis). Murid-murid yang telah
menguasai kemahiran asas akan ditempatkan semula ke kelas biasa untuk mengikuti
pembelajaran bersama-sama murid-murid lain.