- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Menggalas Tugas Mengawal Lalu Lintas

Must read

Unit Trafik Warden Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Ogos 2020 bersempena dengan Sambutan Hari Bandaraya Kuching.

Unit berkenaan yang juga dikenali sebagai Unit Tindakan Pantas (UTP) bermotosikal ataupun digelar ‘The Flying Squad’ dilengkapi dengan enam (6) buah motosikal (empat (4) unit skuter Honda PCX dan dua (2) unit Yamaha Nmax) yang digunakan untuk aktiviti rondaan dan tugasan lain dan sebuah kereta jenis sedan (Toyota Vios) sebagai aset sokongan dan siasatan.

Objektif dan matlamat penubuhan Unit Trafik Warden MBKS adalah bagi membantu meringankan kesesakan lalu lintas, terutama di kawasan pentadbiran MBKS serta membantu pihak penguatkuasaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengawal kesesakan jalan raya.

Penubuhan unit tersebut juga diharapkan dapat mewujudkan kesedaran kepada pengguna jalan raya dan orang awam untuk sentiasa mematuhi undang-undang berkaitan jalan raya.

Dari segi kapasiti, unit berkenaan dianggotai oleh sembilan (9) orang anggota, iaitu enam (6) anggota yang mengawal lalu lintas dan tiga (3) orang pegawai, tidak termasuk pegawai pengurusan tertinggi Bahagian Penguatkuasaan.

Bidang kuasa Unit Trafik Warden MBKS diperuntukkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Walau bagaimanapun, tidak semua kesalahan di bawah akta tersebut boleh diambil tindakan oleh Trafik Warden MBKS.

Namun begitu, unit tersebut akan sedaya upaya untuk membantu memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi oleh para pengguna jalan raya.

Dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, anggota trafik warden MBKS tidak terlepas daripada menghadapi cabaran dan risiko keselamatan.

Cuaca buruk dan hujan lebat semasa mengawal lalu lintas, kekurangan anggota dalam penugasan harian, keperluan tugas yang semakin bertambah serta tanggapan masyarakat terhadap kemampuan anggota dalam mengawal lalu lintas terutama pada awal penubuhan merupakan antara cabaran yang dihadapi oleh unit berkenaan.

Sungguh pun begitu, kesemua cabaran tersebut tidak menjadi halangan kepada Unit Trafik Warden MBKS dalam melaksanakan tugas dengan baik, malah unit berkenaan sentiasa membuat penambahbaikan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

Menurut Jenedy anak Joram, keadaan cuaca seperti hujan lebat merupakan antara cabaran yang dihadapi oleh beliau ketika mengawal lalu lintas.

Jenedy anak Joram

Dalam memastikan kelancaran trafik, keselamatan pengguna jalan raya termasuk anggota yang bertugas perlu diambil perhatian, terutama apabila cuaca hujan dan keadaan jalan yang licin, tambah beliau.

Unit Trafik Warden MBKS setakat ini jelas beliau hanya dipertanggungjawabkan untuk mengawal lalu lintas di kawasan bulatan di antara Jalan Setia Raja dan Jalan Stutong.

Anggota Trafik Warden MBKS perlu memastikan keselamatan pengguna jalan raya termasuk anggota yang bertugas sentiasa diambil perhatian

Kebiasaannya, tiga (3) orang anggota daripada enam (6) anggota secara keseluruhan ditugaskan secara bergilir-gilir untuk mengawal lalu lintas di kawasan tersebut seawal pukul 6 pagi dan pukul 4.30 petang.

Selain mengawal lalu lintas, beliau juga bertugas membuat rondaan di kawasan letak kereta di bawah seliaan MBKS bagi memastikan tiada kesalahan seperti menghalang lalu lintas dilakukan oleh pengguna serta tugas-tugas penguatkuasaan lain yang berkaitan dengan peraturan jalan raya dan keselamatan tempat awam.

Mohd Syarafuddin bin Ismail yang kini telah berkhidmat selama lebih dua (2) tahun sebagai trafik warden MBKS turut mengakui keadaan cuaca menjadi cabaran kepada beliau menjalankan tugas.

Mohd Syarafuddin bin Ismail

Menurut beliau, insiden anggota trafik warden hampir dilanggar kenderaan pernah beberapa kali berlaku akibat keadaan jalan yang licin ketika hujan.

Oleh sebab itulah, beliau sentiasa fokus terhadap aspek keselamatan anggota dengan sentiasa memastikan isyarat tangan ketika mengawal lalu lintas dilakukan dengan betul.

Selain itu, beliau juga sentiasa memastikan kelengkapan seperti wisel dan pakaian cerah serba lengkap ketika bertugas dan dalam keadaan baik.

Kelengkapan yang digunakan ketika menjalankan tugas harus dipastikan dalam keadaan baik

Trafik Warden MBKS juga menjalankan penguatkuasaan ke atas undang-undang dan peraturan yang diterima pakai di bawah MBKS, iaitu Local Authorities Ordinance (LAO) 1996, Entertainment Ordinance 2000, LAO Advertisement By-Laws 2012, LAO Cleanliness By-Laws 1999 dan sebagainya.

Selain mengawal lalu lintas, aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan oleh Trafik Warden MBKS antaranya adalah memantau serta mengeluarkan saman bagi kesalahan meletakkan kenderaan di kawasan parkir dan halangan lalu lintas, menjalankan penguatkuasaan di zon seperti pemantauan pusat hiburan, premis makanan, pembuangan sampah, kereta terbiar, iklan tanpa kebenaran dan lain-lain kesalahan.

Unit tersebut turut menjalankan khidmat masyarakat seperti membantu mengalih kenderaan rosak, tugasan mengiring kenderaan orang kenamaan dan ketika menjalankan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan yang lain serta memantau kes-kes aduan segera.

Cuaca hujan dan keadaan trafik yang sesak memberi cabaran kepada trafik warden yang sedang bertugas

Sejarah Ringkas Penubuhan Unit TRafik Warden MBKS

  • Pembentukan anggota trafik warden MBKS telah bermula pada tahun 2008 apabila Datuk Bandar MBKS telah diberi kuasa pada 31 Mei 2008 di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Pemberikuasaan) 2008 oleh Menteri Pengangkutan Malaysia ketika itu.
  • Pada 17 Disember 2009, anggota-anggota penguatkuasaan MBKS telah diwartakan di dalam Sarawak Government Gazette sebagai anggota trafik warden.
  • Latihan bersama polis trafik menyusul kemudian pada Mei 2010 untuk persediaan penugasan. Namun demikian, disebabkan isu logistik serta sumber manusia, pelaksanaannya ditangguhkan sehingga 2020.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article