- Advertisement -spot_img
4,844
published news
and counting

Semangat ‘Segulai Sejalai’ Terpancar Pada Sambutan Hari Malaysia 2023

Must read

Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan yang telah diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching pada malam 16 September berlangsung meriah.

Semangat ‘Segulai Sejalai’ yang bermaksud berjalan seiringan terpancar dengan kehadiran kira-kira 5,000 orang hadirin yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama.

Hari Malaysia disambut setiap tahun bagi memperingati penubuhan Malaysia dan simbol penyatuan di antara Semenanjung Malaysia, Wilayah Sabah dan Sarawak.

Sambutan pada tahun ini yang bertemakan ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ dengan cogan kata ‘Segulai Sejalai’ begitu bersejarah dan signifikan selari dengan ulang tahun ke-60 pembentukan negara Malaysia yang dicintai.

Kemeriahan suasana sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan bertempat di Stadium Perpaduan, Kuching pada malam 16 September 2023

Acara sambutan bermula pada pukul 8.30 malam sejurus selepas ketibaan kesemua tetamu kehormat yang terdiri daripada Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, YB Tan Sri Mohd Asfia bin Awang Nasar serta isteri, YABhg Puan Sri Dato’ Hajah Fatimah binti Haji Mohd Iskandar, Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim termasuk isteri, YABhg Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail, Premier Sarawak YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg dan isteri, YABhg Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani binti Tun Tuanku Haji Bujang.

Barisan tetamu-tetamu kehormat yang hadir
Gimik perasmian yang disempurnakan oleh Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia bin Awang Nasar

Yang turut hadir ialah dua (2) orang Timbalan Perdana Menteri, iaitu YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof dan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Seri Hajiji bin Noor serta isteri, YBhg Datin Seri Juliah Salang, Menteri Komunikasi dan Digital, YB Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil serta menteri-menteri kabinet persekutuan dan negeri yang lain.

Acara dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku diikuti persembahan Selamat Datang, bacaan doa dan tayangan video ucapan menteri Komunikasi dan Digital dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, YB Datuk Haji Julaihi bin Haji Narawi selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap sambutan kali ini.

Seterusnya, Premier Sarawak dan Perdana Menteri menyampaikan ucapan, disusuli dengan upacara menandatangani buku khas Hari Malaysia oleh Premier Sarawak bersama Ketua Menteri Sabah dan gimik perasmian oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak serta tayangan video khas Konvoi Kembara Merdeka 2023.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menyampaikan ucapan

Perarakan masuk Kembara Merdeka Jalur Gemilang menyusul selepas itu dan diikuti oleh upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota-anggota Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Acara bertambah meriah dengan persembahan Khas Muzikal Segulai Sejalai yang menampilkan tiga (3) segmen, iaitu segmen ‘Tanah Airku Tumpah Darahku’, ‘Malaysia Kita’ dan ‘Segulai Sejalai’ disusuli persembahan medley artis-artis jemputan. Sambutan diakhiri dengan persembahan bunga api selama hampir 10 minit.

Upacara menaikkan Jalur Gemilang
Persembahan muzikal memeriahkan lagi suasana sambutan
Persembahan tarian yang menarik dan memukau para hadirin

Sebelum itu, Premier Sarawak dalam ucapan beliau telah mengumumkan Sarawak bakal menjadi tuan rumah Kongres dan Pameran Air Sedunia Persatuan Air Antarabangsa (IWA) pada tahun 2028 selepas berjaya membida untuk menganjurkan acara tersebut di Bordeaux, Perancis.

Menurut beliau, kongres yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dijangka akan menarik 10,000 peserta dari 80 buah negara.

Kongres tersebut juga diramal akan menjana hasil ekonomi negeri dan negara serta meletakkan Sarawak sebagai sebuah hab dalam industri air sejagat.

Orang ramai yang hadir turut mengibarkan Jalur Gemilang

Beliau menyifatkan pemilihan Sarawak untuk menganjurkan kongres berkenaan adalah satu lagi pencapaian penting yang juga turut membanggakan rakyat Malaysia, terutama apabila pengumuman mengenainya dibuat semasa Malaysia menyambut ulang tahun ke-60.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article