Tenaga boleh diperbaharui adalah sumber tenaga yang penting kerana ia membantu dalam pengurangan kesan negatif kepada alam sekitar dan memberikan bekalan tenaga yang mesra alam.
Salah satu daripada tenaga boleh diperbaharui ialah tenaga biojisim yang dihasilkan daripada sumber bahan organik seperti sisa tanaman, kumbahan, kayu, sisa kayu, jerami, baja, tebu, dan bahan-bahan lain yang diperoleh daripada pelbagai proses pertanian dan hasil.
Bentuk biojisim yang paling biasa ialah kayu dimana ia telah digunakan sejak beberapa ribu tahun yang lalu sebagai bahan bakar untuk pemanasan dan memasak.
Kayu secara berterusan menjadi sumber tenaga utama di kebanyakan negara yang membangun, malah kayu dan bahan buangan daripada kayu seperti kulit kayu, habuk kayu, serpihan kayu dan skrap kayu dapat membekalkan tenaga kepada kita.
Tenaga biojisim yang dihasilkan daripada kayu ini banyak digunakan oleh industri, penjanaan kuasa elektrik, dan perniagaan komersial selain digunakan di rumah untuk pemanasan dan memasak.
Salah sebuah syarikat yang berpusat di Kepong, Selangor Darul Ehsan dikenali sebagai Ligni-Energy Sdn. Bhd. merupakan antara syarikat yang mempelopori penghasilan sumber bahan api biojisim daripada palet kayu.
Ligni Energy merupakan sebuah syarikat bioteknologi yang diperbadankan pada 26 Disember 2008 dengan tujuan mengkomersialkan sumber tenaga biojisim alternatif.
Palet kayu yang dihasilkan oleh Ligni-Energy adalah menepati spesifikasi Jerman DIN $1731 dan sangat sesuai diaplikasikan dalam industri berkaitan serta kegunaan pembakaran di rumah kerana ia tidak mengandungi bahan kimia dan selamat digunakan.
Dengan sokongan teknikal daripada Forest Research Institute Malaysia (FRIM), tumpuan utama Ligni Energy adalah untuk pengeluaran palet kayu berkualiti tinggi.
Melihat keperluan yang meningkat untuk sumber tenaga alternatif yang mesra alam dan ancaman kepupusan sumber tenaga fosil yang tidak boleh diperbaharui, Ligni Energy percaya bahawa mereka dapat memainkan peranan yang besar dalam revolusi tenaga hijau.
Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg pula menyifatkan Sarawak berpotensi untuk menjadi pengeluar palet biojisim.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Makan Malam Sempena Ulang Tahun ke-63 Persatuan Klan Chiang Hsia Huang Sarawak Tengah di sebuah hotel terkemuka pada 17 September 2023 (Ahad).
Dalam majlis tersebut, beliau memberitahu semasa lawatannya ke kilang di Norway pada Ogos lalu, beliau difahamkan kilang tersebut telah menukar habuk daripada sisa kayu menjadi palet yang akan digunakan untuk menghasilkan tenaga biojisim.
Menurut beliau, inovasi itu mampu menghasilkan tenaga dengan kapasiti 2,500 megawatt sekaligus meningkatkan kebolehcapaian Sarawak menjana 8,000 megawat tenaga menjelang tahun 2030.
Kerana itu, beliau memberitahu bahawa Sarawak akan menumpukan usaha menanam semula pokok dengan kadar pertumbuhan cepat bagi menghasilkan palet kayu sebagai sumber tenaga biojisim yang dijangka akan menjadi sumber pendapatan baharu kepada kerajaan negeri.
Tambah beliau, Sarawak boleh menjadi pembekal kepada palet kayu kerana usaha penanaman pokok yang cepat tumbuh di hutan yang terdegradasi banyak terdapat di negeri ini.
Memetik laporan TV Sarawak (TVS) pada 6 September 2023, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty), YB Dr. Haji Hazland bin Abang Haji Hipni memberitahu Sarawak sedang mengkaji penggunaan palet kayu sebagai sumber pengeluaran tenaga biojisim.
Jelas beliau, pendekatan tersebut sama seperti yang digunakan di United Kingdom yang menyaksikan stesen palet kayu terbesarnya menghasilkan 2,500 megawatt tenaga.
Hasil lawatan ke Norway, Sweden dan London, Sarawak telah meneroka satu tenaga yang dihasilkan dari palet kayu kerana Sarawak berpotensi menjadi pembekal kepada palet kayu yang diperbuat daripada kelapa sawit dan kayu kayan yang lain.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak menerusi MEESty mempunyai program iaitu menanam semula hutan dengan pokok yang cepat tumbuh yang menjadikan Sarawak berpotensi menghasilkan lebih 20,000 megawat tenaga boleh diperbaharui.
Dari sini kita dapat lihat dengan lebih jelas mengenai matlamat Sarawak bukan hanya untuk menjadi pengguna sumber tenaga mesra alam, sebaliknya mempunyai misi yang lebih besar iaitu mahu menjadi peneraju kepada sumber tenaga lestari dan boleh diperbaharui (Energy Renewal).
Usaha Sarawak ini bukanlah baharu tetapi telah bermula sejak lebih 30 tahun lalu dengan projek loji hidroelektrik (HEP) Batang Ai yang berkapasiti 108 megawatt telah dibina oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) pada 1985.
Kemudian, Sarawak meneruskan usaha yang sama pada 2014 dengan pembinaan Projek Hidroelektrik (HEP) Murum bernilai RM4.1 bilion yang mampu membekalkan sebanyak 944 megawatt (MW) tenaga dengan purata kuasa tahunan 5,952 gigawatt-jam (GWh).
HEP berkenaan adalah projek hidroelektrik pertama SEB yang dibina selaras dengan inisiatif Koridor Tenaga Diperbahaui Sarawak (SCORE).
Seterusnya ialah empangan Bakun yang berada lebih kurang 180-kilometer dari Bintulu dan 900km dari Kuching berkeupayaan membekal 2,400 megawat tenaga elektrik dengan lapan unit turbin yang beroperasi 24 jam setiap hari kecuali apabila diberhentikan bagi tujuan penyelenggaraan.
Seterusnya ialah Empangan Hidroelektrik Baleh di pedalaman Kapit yang berkeupayaan menjana tenaga elektrik sebanyak 1,285 MegaWatt (MW) dijangka akan memulakan operasinya pada 2026.
Janakuasa hidroelektrik Baleh ini akan mengukuhkan lagi usaha Sarawak mengembangkan tenaga diperbaharui bagi menampung permintaan tenaga untuk keperluan industri domestik selain eksport ke negara jiran, pada masa depan.
Disebabkan Tenaga hidro ini dapat mewujudkan ekonomi hijau dan menjamin kemakmuran negeri Sarawak menjelang 2030, Kerajaan Sarawak komited untuk menghasilkan tenaga diperbaharui termasuk pengeluaran hidrogen hijau serta solar terapung di empangan hidro yang ada.
Usaha Kerajaan Sarawak ini patut mendapat sokongan semua pihak kerana, penjanaan tenaga adalah salah satu faktor terbesar yang menyumbang kepada perubahan iklim dimana 60 peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau global datang daripada pelbagai platform penjanaan tenaga.