Gambaran pada Portal HRMIS, memudahkan kakitangan awam |
Majlis pelancaran Penggunaan Aplikasi HRMIS Perkhidmatan
Awam Negeri Sarawak disempurnakan YB Dato Sri Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg (dua dari kanan) yang mewakili Ketua Menteri Sarawak YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Turut kelihatan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia YBhg Tan Sri Ismail Adam dan Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Datuk Amar Haji Abdul Aziz Bin Dato Haji Husain.
|
Satu sistem pengurusan maklumat yang cekap bukan sahaja penting untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan malah boleh membantu usaha kerajaan dalam membuat perancangan dan pembangunan sumber manusia perkhidmatan awam negara, kata YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Haji Abdul Aziz Dato Haji Hussain
Katanya, ketepatan data dan statistik yang diperolehi daripada pengurusan sistem maklumat berkesan dapat mengambarkan keadaan yang sebenar yang berlaku serta membantu pihak pengurusan dalam usaha mengenalpasti kelemahan untuk diatasi.
Salah satu usaha tersebut yang beliau maksudkan ialah pembangunan aplikasi Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS).
Beliau berkata demikian sewaktu majlis pelancaran penggunaan aplikasi HRMIS (Human Resource Management Information System) perkhidmatan awam Negeri Sarawak baru-baru ini.
Jelas beliau, HRMIS menyediakan satu aplikasi pengurusan sumber manusia yang memanfaatkan sepenuhnya kepesatan teknologi maklumat.
Kini, kebanyakan proses penyimpanan serta pengemaskinian data boleh dilakukan secara dalam talian, dengan pengguna (kakitangan) diberi peluang melakukan sendiri proses tersebut.
Menurutnya, pemilihan kerajaan negeri sebagai salah satu agensi perintis adalah tepat pada waktunya bersesuaian dengan matlamat kerajaan Sarawak untuk mencapai status kerajaan elektronik (e-government) sepenuhnya menjelang tahun 2008.
Yang menariknya, projek yang diterajui Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia ini adalah merupakan salah satu aplikasi perdana Koridor Raya Multimedia yang dibangunkan di bawah inisiatif kerajaan elektronik.
Jabatan Ketua Menteri Sarawak telah dipilih menjadi salah sebuah daripada sepuluh (10) agensi perintis pelaksanaan projek aplikasi HRMIS bagi mewakili kerajaan-kerajaan negeri di seluruh negara.
Agensi perintis lain ialah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Pejabat Perdana Menteri (PPM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
Kerajaan Negeri Sarawak, menurut beliau amat berbangga dengan pencapaian perlaksanaan projek aplikasi HRMIS dalam perkhidmatan awam negeri ini kerana telah memuatkan data-data peribadi sebanyak 13,783 rekod dan 18,231 data-data perjawatan.
Jelas beliau, ia tidak termasuk maklumat-maklumat peribadi lain yang berkaitan seperti rekod keluarga, kursus, anugerah, pengisytiharan harta dan sebagainya yang telah kita muat naik ke dalam sistem hrmis.
Menjelas lebih lanjut mengenai HRMIS, beliau berkata kerajaan negeri telah mula menggunakan modul-modul seperti pengurusan rekod peribadi, data perjawatan, pengurusan komunikasi dan tatatertib pekerja, penamatan perkhidmatan serta sedikit pengubahsuaian sub-sub modul yang berkaitan dilakukan bagi menepati keperluan-keperluan di Sarawak
Perbezaan yang ketara dapat dilihat daripada sistem tersebut adalah akses kepada maklumat yang sebelum ini hanya diakses oleh pihak pengurusan sumber manusia namun dengan adanya penggunaan aplikasi hrmis ini, setiap kakitangan-kakitangan dapat capaian atau mengakses rekod-rekod perkhidmatan-perkhidmatan lain yang berkaitan dengan diri mereka.
Fakta Ringkas Mengenai HRMIS
Projek ini mula dibangunkan pada tahun 1999, yang melibatkan dua (2) fasa iaitu fasa pembangunan dan fasa pelaksanaan.
Ketika mula ia direkabentuk hanya adalah untuk kegunaan seramai
535 kakitangan di Jabatan Ketua Menteri namun telah diperluaskan kepada
kira-kira 13 ribu penjawat awam negeri di 32 agensi kerajaan negeri.Maklumat dan data telah mula dimasukkan ke sistem ini pada Julai 2004,sehinggalah April 2005.
Projek ini menggunakan sepenuhnya “server” tempatan bagi melicinkan
urusan penghantaran maklumat dan jaminan keselamatan data.Kini, semua maklumat HRMIS tersebut dihantar ke pangkalan data
berpusat yang dikendalikan seramai 10 orang pasukan HRMIS dari Unit
Pengurusan Sumber Manusia.Semua pengemaskinian maklumat atau data peribadi bagi tujuan rekod
kakitangan awam boleh dilakukan sendiri yang mana setiap penjawat awam
negeri dibekalkan dengan kata laluan dan nama pengguna. Keselamatan
maklumat adalah terjamin kerana ia berada di dalam rangkaian SarawakNet.Menariknya mengenai sistem ini ialah ia disesuaikan dengan keperluan di sesebuah organisasi atau jabatan.
HRMIS ini turut melengkapkan sistem pengurusan sumber manusia
negeri yang turut mempunyai sistem pengurusan maklumat yang berasingan
dibina di peringkat negeri seperti LMS, e-prestasi dan IMPIAN
(Integrated Management Personal Information and Application Network).
Fakta Kelebihan yang perlu anda ketahui mengenai HRMIS
- Maklumat boleh diakses di mana-mana dengan setiap pengguna dibekalkan dengan kata pengguna serta kata laluan.
- Memastikan ketepatan maklumat dengan membenarkan pengguna (kakitangan) mengakses dan mengemaskini data peribadi dan perjawatan.
- Pengguna boleh mendapat maklumat secara dalam talian (online) antara seperti Surat Pekeliling HR, borang cuti dan jadual latihan tanpa memerlukan pengguna berurusan dengan Unit Sumber Manusia.
- Mengurangkan pembaziran masa dan tenaga
- Membantu pihak pengurusan untuk membuat keputusan dalam masa yang singkat