Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenal kelas aliran seni untuk dilaksanakan di Negeri Sarawak dan Johor bermula tahun 2007.
Bagi tujuan itu, dua buah negeri itu masing-masing akan mendapat sebuah Sekolah Seni Berasrama.
Di Sarawak, sebanyak lima buah kelas aliran Seni telah memulakan operasi di SMK Tun Abang Haji Openg, Kuching bermula pada minggu ketiga bulan Januari tahun 2007.
Buat masa ini, kelas itu beroperasi di SMK Tun Abang Haji Openg sehingga kemudahan tetapnya di Jalan Santubong disiapkan pada tahun 2009.
Jabatan Pelajaran Negeri telah memilih seramai 53 orang pelajar kumpulan pertama Tingkatan 1 bagi kelas aliran seni itu.
Mereka merupakan sekumpulan pelajar yang dipilih daripada seramai 90 orang yang telah ditemuduga dan diujibakat pada Disember tahun lalu.
Daripada 53 pelajar berkenaan, seramai 21 orang telah dipilih untuk mengikuti kelas muzik, 18 pelajar kelas tarian, sembilan kelas visual dan lima pelajar kelas teater dan lakonan.
Seramai 72 pelajar kumpulan kedua diambil masuk pada penghujung Januari 2007 bagi menjadikan jumlah pelajar keseluruhan Tingkatan 1 kelas aliran seni seramai 125 orang pada tahun ini.
Di samping matapelajaran seni yang dipilih, para pelajar yang mengikuti kelas aliran seni itu akan melalui sistem kurikulum akademik yang biasa.
Para pelajar di sekolah berkenaan akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) apabila berada di Tingkatan 3 pada tahun 2009.
Selepas itu, mereka boleh memilih sama ada meneruskan pelajaran di Sekolah Seni atau sekolah lain.
Mereka yang memilih untuk bersekolah di Sekolah Seni akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2011.
Kemudiannya mereka boleh menyambung semula pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan atau asing, atau menyertai Akademi Seni Kebangsaan.
Untuk pengambilan 2007, Kementerian telah memberi peluang kepada para pelajar yang memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 3B dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mempunyai penguasaan dalam subjek yang diminta untuk membuat permohonan.
Menurut Pengarah Pelajaran Sarawak di dalam Kenyataan Akhbar Sesi Persekolahan 2007, pelbagai usaha yang dirancang untuk pelaksanaan pada tahun ini termasuk langkah memperkenal kelas aliran seni adalah selaras dengan perancangan strategik Gerakan Memperkasakan Sekolah Sarawak (GeMS) yang menjurus kepada kemajuan pembangunan pendidikan.
Ia merencanakan pengurusan pendidikan yang bersistematik untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum, keberkesanan pengurusan pentadbiran dan juga prasarana pendidikan di semua sekolah di Negeri Sarawak.
Menurutnya, perancangan itu merupakan usaha ke arah memperkasakan sekolah di samping meningkatkan profesionalisme keguruan.
Perkembangan itu juga seiring dengan keperluan semasa dalam era globalisasi yang mengutamakan keilmuan dan komitmen yang berterusan dalam bidang pendidikan.