- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Iktiraf Sumbangan Kakitangan Awam

Must read

Sumbangan kakitangan awam sekali lagi diiktiraf pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1428H Peringkat Negeri di Kapit baru-baru ini.

Tuan Haji Abang Mohamad Atei B Abang Medaan, 60 telah dipilih sebagai penerima bagi Kategori Anugerah Kakitangan Kerajaan Contoh (Beragama Islam) manakala Encik Hang Tuah Merawin, 53 bagi Kategori Anugerah Kakitangan Kerajaan Contoh (Bukan Beragama Islam)

Antara sumbangan Tuan Haji Abang Mohammad Atei ialah beliau pernah terlibat secara langsung dalam penganjuran Perayaan Islam Peringkat Negeri dan Kebangsaan dan menjawat pelbagai jawatan penting dalam pertubuhan bukan kerajaan seperti Kelab Bintang Mas dan memegang jawatan Naib Presiden HIKMAH pada 1991.

Tuan Hj Abang Atei sangat terkenal di kalangan penggiat Nasyid Negeri Sarawak dan lirik dan lagu ciptaan beliau pernah dinobatkan sebagai Johan Nasyid Peringkat Kebangsaan.

Beliau turut aktif menulis artikel, kertas kerja dan buku-buku pemikiran Islam antaranya Sharing The Complete Way Of Life dan Majlis Islam Sarawak – Sejarah Perkembangan dan Pembangunan Majlis Islam Sarawak serta sebuah lagi buku “Datuk Haji Abdul Kadir Hasan – 40 Kemusykilan Agama” yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Sepanjang perkhidmatan dalam sektor awam, beliau telah menerima kurniaan Bentara Bintang Sarawak (1980), Pingat Perkhidmatan Bakti (1992), Pingat Perkhidmatan Setia (1993) Pingat Peringatan Delima (2003) dan Pingat Pegawai Bintang Kenyalang (2005), di atas kesungguhan dan jasa bakti beliau kepada Kerajaan Negeri Sarawak, jawatankuasa Pemilihan Anugerah Maal Hijrah 1428 bersetuju untuk memilih beliau sebagai penerima Anugerah Maal Hijrah Kakitangan Kerajaan Contoh 1428.

Beliau yang mendapat pendidikan di University Of Kent at Canterburry, England dalam jurusan Diploma in Public Policy Studies dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Administration and Management memulakan kerjaya beliau sebagai Guru di Sekolah Menengah Rakyat Tunku Abdul Rahman pada tahun 1966. Kemudian menjadi Pegawai Perhubungan Akhbar di Jabatan Penerangan selama 10 tahun. Menjawat jawatan Setiausaha, Majlis Islam Sarawak mulai 1972-1988 sebelum dilantik sebagai Pengarah, Jabatan Agama Islam Sarawak selama 2 tahun.

Tuan Hj Abang Atei adalah Residen Bahagian Sarikei pada 1998- 2000 seterusnya Pegawai Tadbir Khas, N48 di Jabatan Ketua Menteri dan Jabatan Agama Islam Sarawak sebelum bersara pada Oktober 2006.

Manakala untuk Kategori Anugerah Kakitangan Kerajaan Contoh (Bukan Beragama Islam), Encik Hang Tuah Merawin telah dipilih untuk menerima penganugerahan ini. Antara sumbangannya, beliau terlibat secara langsung dalam merealisasikan pembinaan bangunan baru kerajaan di Kapit, Pejabat Agama Islam Bahagian Kapit dan Masjid Baru Bahagian Kapit.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Mass Communication, Universiti Sains Malaysia dan Ijazah Sarjana Undang-Undang (LLM) Law in Development, University of Warwick, UK (1999), adalah seorang yang tegas dalam menjalankan tugas tetapi sentiasa bersikap terbuka dan mudah didekati oleh kakitangan dan orang awam.

Sepanjang perkhidmatan, beliau telah menerima kurniaan Pingat Perkhidmatan Bakti pada 1996 dan Pegawai Bintang Kenyalang pada 2006. Beliau adalah salah seorang ahli Persatuan Melanau dan Penaung, Kpg Teh Racing Team, Mukah.

Beliau yang kini Residen Bahagian Kapit memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Song pada tahun 1973. Seterusnya bertugas di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri, Unit Perancang Negeri dan sebagai Timbalan Residen di Bahagian Kuching dan Sibu sebelum dilantik sebagai Residen Bahagian Kapit pada 2004.

Lain-lain kategori

Anugerah Saudara Kita Contoh
Puan Tantiana Abdullah @ Len Chiu Lan (43 Tahun)

Suri rumah sepenuh masa ini aktif dalam aktiviti-aktiviti dakwah melalui PERKIS, PERKIM, HIKMAH Cawangan Sri Aman dan Rakan Muda Masjid Besar Sri Aman. Beliau juga adalah salah seorang daripada ahli jawatankuasa pengurusan Masjid Bandar Sri Aman dan turut terlibat mengendalikan kelas Iqra’ dan Al-Quran kepada lebih 40 orang kanak-kanak di Sri Aman setiap hari Isnin hingga Khamis.

Berkat kesabaran, dorongan dan didikan telah sedikit sebanyak membantu Tantiana mempelajari agama daripada bertatih sehingga mampu untuk berjalan. Antara kejayaan yang pernah dicapai oleh beliau ialah sebagai Naib Johan Qariah, Tilawah Al Quran Saudara Kita Peringkat Negeri Sarawak 2006.


Anugerah Pelajar SPM Contoh
Siti Kamilah Binti Haji Wahbi

Seorang pelajar di SM Agama Tun Ahmad Zaidi, berjaya mendapat keputusan yang cemerlang 12 1A dalam SPM bagi matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Kimia, Fizik, Biologi, Matematik, Matematik Tambahan, Sejarah, Pendidikan Al-Quran & As Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Bahasa Arab Tinggi dan English for Science and Technology.

Sekarang beliau sedang mengejar cita-citanya menjadi Pakar Sakit Puan di Matrikulasi Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya. Semasa menuntut di SM (Agama) Tun Ahmad Zaidi beliau merupakan seorang pemimpin pelajar yang menunjukkan disiplin yang tinggi semasa di sekolah dan turut aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Ini dibuktikan dengan penyertaan beliau dalam beberapa acara seperti Pertandingan Hafazan, Syarahan, Pesta

Pantun, Kuiz Kimia dan Fizik di pelbagai peringkat hinggalah ke peringkat Kebangsaan.
Selain itu, Puteri kepada YB Dr Hj Wahbi Junaidi ini turut disenangi oleh semua guru dan dikagumi oleh rakan-rakan sehinggakan beliau dianugerahkan Tokoh Pelajar Berbudi Bahasa Tinggi SM (A) Tun Ahmad Zaidi pada 2005. Pada Mac 2006, Siti Kamilah turut dipilih sebagai salah seorang pelajar cemerlang SPM di Peringkat Kebangsaan.


Anugerah Pelajar STPM Contoh
Siti Khadijah Binti Bahaudin

Anak kedua daripada 7 adik beradik ini telah menunjukkan kecemerlangan dalam peperiksaan STPM 2005 dengan mendapat 4 A dalam semua matapelajaran iaitu Pengajian Am, Sejarah, Bahasa Melayu dan Geografi. Bekas pelajar SMK Tun Abang Haji Openg, Kuching ini sedang melanjutkan pelajaran beliau di Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bercita-cita sebagai seorang peguam dan hobinya pula membaca, beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan rajin dalam pelajaran. Mempunyai disiplin yang tinggi serta rekod bersih semasa di alam persekolahan. Beliau turut aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah dan telah dilantik sebagai Ketua Pengawas Perempuan bagi sesi 2004-2005. Selain itu, beliau turut aktif mewakili sekolah khususnya dalam Pesta Pantun dan beliau merupakan

Pemantun Terbaik Peringkat Bahagian Kuching pada 2005.
Hasil kesungguhan dan komitmen beliau, Siti Khadijah telah dianugerahkan Pemenang Anugerah Pelajar Mithali Sekolah, Anugerah Kepimpinan Sekolah dan Pelajar Terbaik Kokurikulum Sekolah pada 2005.


Anugerah Masjid /Surau Contoh Di Perkampungan Baru Islam
Surau Sheikh Sulaiman

Surau Syeikh Sulaiman yang terletak di Kpg Jebungan lebih kurang 10KM daripada pusat bandar Mukah ini, berada di dalam kawasan seliaan Pegawai Naqib Ustaz Morshidi July. Surau ini mempunyai struktur jawatankuasa yang lengkap mengikut kehendak Kaedah Pengurusan Masjid/Surau Negeri Sarawak 2004.

Surau ini menjadi pusat ibadah kepada penduduk Islam di sekitar kawasan Kpg Jebungan kerap mengadakan aktiviti keagamaan seperti ceramah dan sambutan perayaan-perayaan Islam. Termasuk mengadakan program smart partnership bersama Jabatan Kerajaan dan pertubuhan NGO. Lebih unik lagi, surau ini mendapat sumber tetap sebanyak RM100 setiap bulan daripada sewa rumah selain RM1,000 setahun sumbangan daripada Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Setia Raja Mukah.


Anugerah Surau Contoh
Surau At-Taqwa, Kpg Narum, Marudi, Miri

Terletak agak jauh dari Pekan Marudi, Surau At-Taqwa, Kpg Narum tetap meriah dengan kehadiran ramai jemaah pada setiap waktu Solat Berjemaah. Lebih-lebih lagi, surau yang berada di bawah seliaan Pegawai Naqib Ust. Abd Rahim bin Rashid ini aktif menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan pada hampir setiap hari seperti Kuliah Maghrib, Kuliah Subuh dan Rakan Muda Surau.

Surau ini mempunyai sistem kewangan yang baik dan teratur serta diaudit secara berjadual. Selain itu, kemudahan infrastruktur yang disediakan sentiasa dijaga dalam keadaan yang memuaskan. Surau At-Taqwa mempunyai Bilik Khas untuk mengadakan kursus dan peralatan Fardhu Kifayah yang lengkap serta komputer untuk membantu pentadbiran pengurusan jawatankuasa.

Selain mengadakan aktiviti-aktiviti yang lazim, seperti gotong royong dan lain-lain, Surau ini turut mengadakan Majlis Solat Hajat bagi anak-anak yang akan menduduki ujian.

Anugerah Masjid Contoh
Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, Kuching

Rumah Ibadat ini telah diiktiraf sebagai sebuah Masjid (Gred IV) pada 2005 dan Pegawai-Pegawai Masjidnya dilantik di bawah Skim Perkhidmatan Pegawai Masjid pada 2006. Masjid yang terletak di bawah seliaan Pegawai Naqib, Ustazah Ngatijam bt Misau ini, pernah dinobatkan sebagai Surau Contoh Maal Hijrah pada 2004.

Dengan kemudahan serta kedudukan yang strategik, Masjid ini mampu menarik jumlah jemaah yang ramai dalam satu-satu masa. Lebih-lebih lagi Solat Terawih dalam Bulan Ramadhan dipimpin oleh Imam Jemputan Al-Hafiz.

Jawatankuasa pengurusan yang dilantik begitu komited dalam mengurus tadbir hal ehwal masjid dan dengan sokongan padu masyarakat setempat, Masjid ini telah berjaya memiliki sebuah rumah kedai dan juga mini perpustakaan.

Bangunan masjid yang sederhana ini mampu menampung 450 jemaah pada satu-satu masa dan hampir penuh pada setiap kali aktiviti diadakan terutama program ceramah dan kuliah subuh. Masjid ini juga merupakan antara Masjid Perintis program Amalan 5S di Malaysia.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article