- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Sejarah dan Peranan Komuniti Bestari

Must read


Komuniti Bestari pada mulanya dikenali dengan nama K2P iaitu Kumpulan Pendengar dan Penonton. Ditubuhkan pada 21 November 1987 di Tapah, Perak. Awal penubuhannya bertujuan membantu Kementerian Penerangan khususnya Jabatan Penyiaran (RTM) mendapatkan maklum balas terhadap rancangan-rancangan yang disiarkan bagi meningkatkan maklumat pendengar dan penonton.

Bagaimanapun, penyertaan Kumpulan Utusan Malaysia (M) Bhd pada 1989 mengubah nama K2P kepada K3P, singkatan kepada Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca. Peralihan ini bertujuan untuk mengembangkan serta mempelbagaikan aktiviti K3P supaya skop aktivitinya lebih luas.

Mulai Jun 2000 Kementerian Penerangan telah menyerahkan sepenuhnya tugas urusetia K3P kebangsaan kepada Jabatan Penerangan Malaysia. Penyerahan ini dibuat kerana halatuju K3P sekarang lebih relevan dengan fungsi Jabatan Penerangan.

Selaras dengan itu, pada Oktober 2004 nama K3P iaitu Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca ditukar kepada “Komuniti Bestari” di mana pelancarannya telah disempurnakan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi di Konvensyen Komuniti Bestari di MITC, Ayer Keroh Melaka.

Menurut kamus dewan ‘Komuniti Bestari” bermakna kumpulan yang tinggal di sesuatu daerah (wilayah atau negara) masyarakat (sesuatu tempat atau sesebuah negara), kumpulan individu (yang besar jumlahnya) yang mempunyai sifat-sifat kecenderungan, kepentingan dan lain-lain yang serupa.

Kesimpulannya konsep “Komuniti Bestari” adalah sesebuah organisasi sosial yang ditubuhkan secara sukarela di sesuatu kawasan untuk menjadi saluran perkongsian sumber maklumat dan pendapat dalam usaha melibatkan diri dalam program-program pembangunan dan dasar-dasar kerajaan secara efektif dan efisien.
Objektif utama penubuhan Komuniti Bestari adalah untuk :-

  • Meningkatkan pengetahuan masyarakat supaya dapat menggunakan maklumat secara bijaksana dalam menangkis tohmahan, dakyah dan fitnah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab serta melibatkan seluruh Komuniti Bestari turut sama menyertai program dan dasar-dasar yang dijalankan oleh kerajaan.
  • Meningkatkan pengetahuan masyarakat supaya dapat menggunakan maklumat secara bijaksana dalam mengukuhkan jati diri dan asas kepada kestabilan politik, sosial dan ekonomi negara.
  • Membentuk golongan masyarakat yang bijak dalam menggunakan ilmu pengetahuan serta celik IT dalam meningkatkan keberkesanan penyebaran maklumat untuk pembangunan komuniti.


Sebanyak 32 buah Komuniti Bestari telah didaftarkan di bawah Jabatan Penerangan Sarawak.

Kampung Pangkalan Lutong, Miri merupakan lokasi awal penubuhan K-Bestari yang pada masa itu ia dikenali sebagai K2P di bawah seliaan Jabatan Penyiaran iaitu pada 5 November 1989.

Pada 14 Disember 2000 sebuah lagi lokasi telah terpilih sebagai K-Bestari iaitu di Kampung Tambirat dengan nama K3P.

Pada tahun 2006 dua buah lagi lokasi terbaru diwujudkan di bawah K-Bestari iaitu Kampung Rimas Debak dan Kampung Dang Esah, Tandang Seri Pusa di Bahagian Betong.

Bermula pada tahun 2000, setiap K-Bestari yang ditubuhkan diperuntukkan sebanyaka RM5000 untuk mendirikan “Pondok Harmoni” (kini dikenali sebagai Anjung Bestari).

K-Bestari juga diperuntukkan sebanyak RM4,500 setiap tahun daripada Urusetia K-Bestari Kebangsaan Jabatan Penerangan Ibu Pejabat Kuala Lumpur. RM2,000 untuk membiayai pentadbiran dan pengurusan dan wang selebihnya untuk melaksanakan aktiviti/program di peringkat daerah. Di samping itu, setiap K-Bestari dibekalkan dengan satu set komputer.

K-Bestari pula dianggotai oleh seorang Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Timbalan Setiausaha, Bendahari serta dianggotai oleh 5 hingga 20 orang Ahli Jawatankuasa Kecil. Ia pula diselia oleh seorang Pembantu Penerangan dikenali sebagai Pegawai Penyelaras di setiap Jabatan Penerangan Daerah yang terlibat.

Di peringkat Ibu Pejabat Jabatan Penerangan Sarawak, ia dikenali sebagai Urusetia K-Bestari Peringkat Negeri yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah K-Bestari, Encik Azmi Mamat dan dibantu oleh Penolong Pegawai Penerangan, Encik Nazri Saini dan dua orang Pembantu Penerangan, Encik Shafik Effendi Bin Kassim dan Puan Julis Neba Sirep. Mereka bertanggungjawab terhadap 32 buah K-Bestari. Antara lain tugas urusetia negeri ialah mengurus dan memantau setiap aktiviti mahupun program yang dianjurkan di peringkat daerah.

Ketika mengadakan perjumpaan dengan penyelaras di Kompleks Pelancongan Sarawak pada 12 Disember 2006,Timbalan Menteri Penerangan, Dato Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Kementerian Penerangan Malaysia mensasarkan penubuhan 213 Komuniti Bestari atau tiga (3) Komuniti Bestari di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) mulai tahun 2007.

“Justeru pegawai yang bertanggungjawab perlu lebih peka dan efisien ke atas Komuniti Bestari. Komitmen tinggi pegawai amat diperlukan untuk memantau setiap Komuniti Bestari memainkan peranan agar dari semasa ke semasa terus aktif menyumbangkan idea serta membangun minda penduduk setempat supaya mereka dapat memahami segala dasar yang dirangka dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan”, jelas beliau.

Ketika melakukan kunjungan ke Komuniti Bestari Kampung Setunggang, Lundu dekat Kuching pada 27 Disember 2006, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Dato Abdullah Morad menjelaskan bahawa kewujudan Komuniti Bestari dilihat sebagai “agen mata dan telinga” kerajaan yang berperanan menjadi wadah dan pemangkin ke arah pembentukan masyarakat yang bersatu padu bermatlamat berdikari dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang pesat membangun dalam pelbagai aspek.

Pada masa yang sama komuniti ini juga mampu menyampaikan dasar-dasar kerajaan dengan lebih jelas dan terperinci.

“Melalui pendekatan sebegini kita dapat mengumpul segala maklumbalas daripada rakyat di samping keberkesanan komunikasi bersemuka dalam usaha memberi ruang kepada rakyat bertukar pendapat.Secara tidak langsung, Komuniti Bestari ini menjadi “jambatan penghubung” yang berperanan untuk menghidupkan semangat nasionalisme melalui program ataupun aktiviti yang dianjurkan” ujar beliau.

Dalam menempuh persaingan yang global, kerajaan telah mengambil inisiatif dalam pengwujudan semula “satu kampung satu produk” yang menjadi agenda penting dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Menurut Dato Abdullah Morad pengwujudan semula program ‘satu kampung satu produk’ akan menjadikan masyarakat lebih berdaya saing di samping mengetengahkan dan memajukan sesebuah kampung selain menjadikannya salah satu ikon atau tarikan orang ramai yang berkunjung ke tempat tersebut.

K-Bestari Kampung Setunggang Lundu dan Kampung Teh Oya, Dalat adalah antara K-Bestari yang aktif menceburkan diri dalam industri kecil sederhana (IKS). Penglibatan dalam membuat keropok (Kampung Setunggang Lundu), perniagaan menjual tebaloi dan sagu (Kampung Teh Oya) antara usaha yang boleh dilihat menjana ekonomi penduduk setempat bagi merealisasikan RMK 9.

“Kita mahu penduduk kampung sendiri memikirkan idea atau produk yang boleh diketengahkan agar dikenali oleh pihak luar dan memudahkan produk dipasarkan”,katanya ketika mengadakan lawatan ke K-Bestari berkenaan.

K-Bestari juga membantu dalam memperkenalkan hasil-hasil kraftangan, makanan, kebudayaan dan lain-lain sebagai mercu tanda sesebuah kampung.

Pada hari yang sama, ketika berkunjung di Kampung Pinang, Samarahan, beliau telah mencadangkan supaya penduduk tempatan menanam pokok pinang dengan kuantiti yang banyak di samping menghasilkan gubahan daripada pinang mengikut kreativiti yang dapat menarik orang ramai ke kampung berkenaan.

“Selain untuk tujuan komersil yang boleh mendatangkan keuntungan ianya juga boleh menjadi mercu tanda sesuai dengan nama kampung ini –Kampung Pinang”,ujar beliau.

Menurut Dato Abdullah Morad sebagai persiapan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 pada tahun ini, Kementerian telah merancang sebanyak 17 program dan tiga (3) antara program yang terbesar iaitu Larian Komuniti Bestari seluruh negara, Pertandingan Debat Merdeka dan Pertandingan Keceriaan Komuniti Bestari.

Larian Komuniti Bestari seluruh negara diadakan sebagai acara kemuncaknya peserta akan menamatkan larian pada tengah malam menjelang acara pengiraan detik kemerdekaan pada 31 Ogos 2007 di Padang Merdeka.

Pertandingan Debat Perdana pula para peserta akan membincangkan isu-isu kemerdekaan dalam usaha menerapkan nilai-nilai patriotik kepada generasi muda selain dapat menghayati erti kemerdekaan yang sebenarnya. Manakala Pertandingan Keceriaan Komuniti Bestari pula melihat sejauh mana keaktifan Komuniti Bestari walaupun tidak melalui aktiviti dan program yang dianjurkan.

Senarai K-Bestari di Seluruh Sarawak

Bahagian/ Daerah DUN (K-Bestari) Komuniti Bestari
Kuching/Samarahan N2 K-Bestari Kpg Sibuloh, Bau
N3 K-Bestari Kpg Setunggang Melayu, Lundu
N4 K-Bestari Kpg Tabuan Hilir, Kuching
N7 K-Bestari Kpg Lintang
N14 K-Bestari Kpg Pinang, Kota Samarahan
N15 K-Bestari Kpg Tambirat, Asajaya
N17 K-Bestari Kpg Skuduk, Serian
N21 K-Bestari Kpg Gedong,Simunjan
N21 K-Bestari Simunjan
Sri Aman/ Betong N24 K-Bestari Kpg Dang Esah Tandang Sari, Pusa
N26 K-Bestari Rumah Pakit, Sri Aman
N29 K-Bestari Rumah Endawie, Nanga Jela, Lubok Antu
N31 K-Bestari Kpg Melayu Betong
N32 K-Bestari Rimbas, Debak
N33 K-Bestari Kpg Sessang,Saratok
Sarikei N35 K-Bestari Kpg Selalang, Sarikei
N38 K-Bestari Kpg Tian, Matu
Sibu/Mukah N44 K-Bestari Machan, Kanowit
N48 K-Bestari Pelawan, Sibu
N49 K-Bestari Kpg Nangka, Sibu
N50 K-Bestari Kpg Kuala Oya, Sibu
N51 K-Bestari Balingian
Miri/ Bintulu N53 K-Bestari Pekan Tatau,Bintulu
N58 K-Bestari Kpg Sibiew Sebezau, Bintulu
N59 K-Bestari Kpg Sungai Plan Kidurong, Bintulu
N62 K-Bestari Kpg Danau Subis Bekenu, Miri
N65 K-Bestari Kpg Pengkalan Lutong, Miri
N66 K-Bestari Kpg Pemindahan, Marudi
Kapit
N57 K-Bestari Zon Sungai Asap/Koyan, Belaga
Limbang
N68 K-Bestari Kpg Pahlawan, Limbang
N70 K-Bestari Kpg Tang Itong, Lawas
N71 K-Bestari Kpg Luagan Sundar, Lawas

Jumlah 31 32 Komuniti Bestari

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article