Tahun ini (2023), sambutan Hari Orang Kurang Upaya diadakan di Kuching dengan tema “Membangun OKU MADANI.”
Ini selaras dengan tema yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu United in action to rescue and achieve the SDGs for, with and by Persons with Disabilities.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan tarikh 3 Disember sebagai Hari OKU Antarabangsa.
Ini merupakan hari yang penuh bermakna bagi warga OKU di seluruh dunia sejak tahun 1992.
Selaras dengan ketetapan ini, Kerajaan Malaysia juga menyambut Hari OKU pada 3 Disember setiap tahun.
Pelbagai program dilaksanakan bagi memeriahkan sambutan Hari OKU pada kali ini antaranya Program Segulai Sejalai OKU bertempat di Padang Merdeka, Kuching Sarawak dengan pengisian seperti Fun Walk, Fun Games dan pameran dari pelbagai agensi kerajaan.
Kerajaan melalui KPWKM telah menyediakan beberapa bantuan atau program bagi membantu meningkatkan kualiti hidup Orang Kurang Upaya.
Antara inisiatif berkenaan ialah Kenaikan Elaun Pelatih di Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dalam Peruntukan Belanjawan 2024 daripada RM150 sebulan kepada RM300 sebulan yang memberi manfaat kepada seramai 19,002 OKU yang sedang menerima perkhidmatan di 566 buah PPDK di seluruh negara sehingga Oktober 2023.
Kenaikan ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan dalam menyantuni OKU ke arah meningkatkan kesejahteraan komuniti ini.
KPWKM juga merancang untuk membangunkan Modul Intervensi Awal Kanak-Kanak OKU yang melibatkan semua kategori OKU, sebagai panduan kepada pengusaha dan pengasuh di TASKA OKU.
Sambutan pada malam ini turut menyaksikan penyampaian tujuh (7) anugerah, antaranya ialah Anugerah Khas OKU, Anugerah Ibu Bapa Mithali OKU, Anugerah Khas Pusat Jagaan OKU (Swasta), Anugerah Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) OKU Cemerlang, Anugerah Khas Job Coach, Anugerah Pekerja OKU Madani dan Anugerah Majikan Prihatin (Swasta).
Pada tahun ini, Anugerah Ibu Bapa Mithali OKU dianugerahkan kepada Encik Jamal Alam Shah bin Mohamad dan isteri Puan Noor Azizh binti Piee dari Kuching, yang memiliki tujuh (7) orang cahaya mata dan dua (2) daripadanya OKU Cerebral Palsy berusia 16 dan 13 tahun.
Anugerah ini bertujuan bagi menghargai jasa dan pengorbanan ibu/bapa/penjaga dalam menjaga dan memelihara anak OKU seterusnya dapat menyumbang kepada pemerkasaan OKU di Malaysia.
Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut menghargai penglibatan majikan swasta melalui penganugerahan Anugerah Majikan Prihatin (Swasta) yang dianugerahkan kepada Uniqlo Malaysia Sdn. Bhd, Anak Kita Enterprise, Padini Holdings Berhad, Percetakan Sanwa Industries Sdn Bhd dan Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd McDonald’s Melaka Mall.
Anugerah ini, sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan kepada majikan yang memberi sokongan padu dalam menggajikan OKU dengan menggunakan pendekatan perkhidmatan Job Coach.
Bagi penerima Anugerah Khas Pusat Jagaan OKU (Swasta) pada tahun ini, dianugerahkan kepada Sabah Cheshire Home And Services Care Centre, Anugerah Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) OKU Cemerlang pula diterima oleh, Persatuan Autisme Sibu.
Anugerah Khas Job Coach dianugerahkakepada Encik Che Mohd Asri Bin Che Ghani dari negeri Kelantan.
Anugerah Pekerja OKU Madani dianugerahkan kepada Puan Nur Hidayah bin Radzli dari negeri Perlis dan Anugerah Khas OKU dianugerahkan kepada Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Sharizal bin Abdul Aziz.