Kesesakan jalan raya boleh menyebabkan gangguan emosi dan memberi kesan terhadap kesihatan mental dan fizikal pengguna.
Duduk terlalu lama di dalam kenderaan kerana terperangkap dalam trafik yang statik boleh memberi tekanan dan ketidakselesaan tubuh badan.
Bukan itu sahaja, kesesakan jalan raya juga boleh mendatangkan implikasi dalam aspek sosial masyarakat dan juga persekitaran.
Sejak awal tahun 2000, kawasan di utara bandar raya Kuching telah mengalami peningkatan jumlah penduduk berikutan pertumbuhan kawasan perumahan, pusat komersial dan bangunan-bangunan pejabat.
Perkembangan tersebut telah menyumbang kepada peningkatan bilangan kenderaan yang seterusnya menyebabkan jalan raya menjadi sesak.
Atas faktor tersebut, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengambil inisiatif dengan menubuhkan Unit Trafik Warden DBKU pada 2005, lantas menjadi unit trafik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang pertama di Sarawak dan kedua di Malaysia selepas Unit Trafik Warden Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ketua Bahagian Keselamatan DBKU, Encik Lim Sin Kiat memaklumkan, penubuhan Unit Trafik Warden DBKU pada asasnya adalah untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan kesesakan lalu lintas di bandar raya Kuching, terutama di kawasan bulatan ketika waktu puncak.
Beliau menjelaskan, signifikan penubuhan unit tersebut dapat dilihat melalui kelancaran lalu lintas di bulatan-bulatan utama kawasan Petra Jaya di mana anggota trafik warden DBKU ditugaskan selain penglibatan anggota dalam operasi bersepadu bersama PDRM dan agensi-agensi lain semasa berlangsungnya acara keramaian dan majlis rasmi kerajaan.
Objektif penubuhan Unit Trafik Warden DBKU adalah untuk memastikan tiada pelanggaran undang-undang oleh warga kota serta memastikan lalu lintas di bawah bidang kuasa DBKU berjalan lancar dan terurus.
Bidang kuasa trafik warden DBKU tertakluk di bawah Subseksyen 3 (4) ke atas Datuk Bandar dan Seksyen 53, Subseksyen 113 (2) ke atas warden lalu lintas berkenaan dengan kesalahan yang dilakukan di bawah seksyen 48, 55, 76, 79, 80 dan 110 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah 10A, 12, 16, 44 dan 52 Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 [L.N. 166/1959], mengikut mana-mana yang berkenaan.
Ordinan-ordinan lain yang turut diperuntukkan di bawah bidang kuasa Unit Trafik Warden DBKU ialah Local Authorities (Cleanliness) By-Laws 1999, Road Transport Provision of Parking Places (City of Kuching North) Order 2005 (termasuk pindaan 2007) dan Local Authorities (Compounding of Offences) By-Laws 1999.
Encik Lim yang ditemu bual oleh RAKAN Sarawak menambah, peranan utama Unit Trafik Warden DBKU yang dianggotai seramai 27 orang anggota termasuk seorang Ketua Unit adalah melaksanakan peruntukan undang-undang tersebut.
Dalam menjalankan tugas dan amanah, beliau mengakui bahawa pihak beliau tidak dapat lari daripada pelbagai cabaran dan perlu berdepan dengan ekspektasi masyarakat.
Berkongsi mengenai tanggungjawab yang dipikul, beliau menegaskan bahawa Unit Trafik Warden DBKU menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah anggota trafik warden tidak akan ditugaskan mengawal lalu lintas ketika hujan lebat atas faktor keselamatan pengguna jalan raya termasuklah anggota yang bertugas.
Beliau menjelaskan, permukaan jalan raya yang licin disebabkan hujan boleh mendatangkan risiko kemalangan, tambahan pula penglihatan pengguna dan anggota trafik warden akan terjejas ketika hujan lebat.
Apabila permukaan jalan basah dan licin, kenderaan yang tidak dalam kondisi sempurna seperti tayar botak dan brek yang tidak berfungsi dengan baik akan membahayakan pengguna-pengguna jalan raya yang lain, jelas beliau dengan lebih lanjut.
Beliau mengakui bahawa pihak beliau sering kali menerima aduan daripada orang awam tentang ketiadaan anggota trafik warden yang mengawal lalu lintas semasa hujan dan menyebabkan kesesakan di jalan raya.
Walau bagaimanapun, sebagai ketua, beliau bertanggungjawab mengurus aduan sedemikian dengan menerangkan kepada orang awam bahawa adanya SOP kawalan lalu lintas yang perlu dipatuhi oleh pihak beliau sesuai dengan keadaan cuaca.
Encik Lim juga menceritakan pernah suatu ketika seorang anggota trafik warden dilanggar kereta ketika mengawal lalu lintas dalam keadaan cuaca hujan.
Cabaran lain yang turut dihadapi Unit Trafik Warden DBKU menurut beliau ialah sikap pengguna yang ingkar dan tidak mematuhi arahan trafik warden yang bertugas selain berdepan dengan pengguna yang melanggar peraturan-peraturan lain seperti membuat halangan lalu lintas dan pengguna yang tidak berpuas hati apabila diambil tindakan kerana menyalahi undang-undang di bawah bidang kuasa DBKU.
Ketua Unit Trafik Warden DBKU, Inspektor Mohd Suhardi bin Rakawi yang turut ditemu bual memaklumkan, untuk menjalankan tugas sebagai trafik warden, seseorang anggota mesti memastikan keadaan lalu lintas bergerak lancar untuk memudahkan pergerakan pengguna, terutama pada waktu puncak.
Waktu puncak anggota trafik warden DBKU bertugas bermula seawal pukul 6 pagi hingga 8.30 pagi dan seterusnya pada sebelah petang dari pukul 4.30 petang hingga 6 petang.
Lokasi yang menjadi fokus utama adalah di dua (2) buah bulatan di Petra Jaya, iaitu Bulatan Datuk Menteri Abang Haji Mohammad Zain bin Haji Salleh di pintu masuk Jalan Semariang dan Bulatan Datuk Amar Abang Haji Suleiman bin Haji Taha berdekatan bangunan SESCO.
Beliau menjelaskan, lalu lintas di kedua-dua bulatan berkenaan sememangnya sesak pada waktu puncak apabila pengguna memandu pergi dan balik dari tempat kerja mahupun menghantar anak-anak ke sekolah.
Bagi memastikan kelancaran trafik di kedua-dua lokasi tersebut, tiga (3) orang anggota ditugaskan di setiap bulatan manakala dua (2) lagi anggota pula memantau keadaan lalu lintas di sepanjang laluan di antara kedua-dua bulatan.
Berkongsi mengenai kesan kesesakan jalan raya terhadap alam sekitar, beliau berpandangan, keadaan lalu lintas yang lancar dan terkawal mampu mengurangkan pelepasan karbon daripada asap kenderaan.
Menurut beliau, kenderaan yang tidak bergerak ataupun bergerak perlahan melepaskan lebih banyak karbon dan asap yang dikeluarkan lebih pekat jika dibandingkan dengan kenderaan yang bergerak lancar.
Oleh sebab itulah, beliau dan pasukan perlu memastikan kelancaran lalu lintas demi keselesaan pengguna dan kesejahteraan masyarakat secara umumnya.
Selain mengawal lalu lintas, Unit Trafik Warden DBKU juga berperanan menjalankan siasatan terhadap aduan halangan lalu lintas dan kenderaan terbiar yang diletakkan di tepi jalan, tempat awam dan parkir kenderaan.
Berkenaan dengan kenderaan terbiar, beliau memberitahu pihak DBKU akan memberi lebih perhatian terhadap isu tersebut kerana jika dibiarkan berlarutan, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan seperti kos yang ditanggung oleh PBT, tiada SOP untuk pengurusan kenderaan terbiar, masalah penyediaan tapak pelupusan selain persekitaran awam yang terjejas.
Dalam jangka masa panjang, hal tersebut menurut beliau akan memerlukan peningkatan kapasiti anggota penguat kuasa malah juga pembentukan unit baharu, khusus untuk menangani isu kenderaan terbiar.
Mengakhiri perbualan, beliau menambah, anggota trafik warden yang menjalankan rutin harian di lapangan turut terdedah dengan risiko persekitaran yang boleh menjejaskan kesihatan.
Oleh yang demikian, semua anggota trafik warden perlu menjalani pemeriksaan kesihatan berkala yang disediakan oleh pihak pengurusan bagi memastikan kesihatan tubuh badan mereka sentiasa berada pada tahap yang baik.