- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

LIVCOM 2012 Iktiraf Bandaraya Kuching Terbaik Dalam Amalan Lestari Antarabangsa

Must read

Sudah menjadi impian setiap bandar raya dan pihak pentadbir iaitu pihak berkuasa tempatan yang mengidamkan sebuah bandaraya yang bersih, sejahtera dan selesa untuk didiami warganya (penduduk di bandaraya berkenaan).

Keperluan dan definisi sebuah bandaraya terbaik mungkin berbeza antara sebuah bandaraya lain dengan bandaraya lain, tetapi rata-rata daripada penduduk yang tinggal di mana-mana bandaraya sekalipun, inginkan sebuah bandaraya yang cemerlang tertinggi dari segi keprihatinan terhadap alam sekitar, mempunyai nilai sosial masyarakat yang tinggi diseimbangkan dengan pembangunan fizikal.

Pengiktirafan International Awards For Liveable Communities (LIVCOM) 2012, di Al Ain, Emiriah Arab Bersatu pada November baru-baru ini, menjadi kayu pengukur kepada Bandaraya Kuching, terutama kepada pengerak disebaliknya iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk mencapai satu penanda aras yang setidak-tidaknya menepati dan setanding dengan bandaraya lain di dunia.

Semasa di sana, DBKU dengan mempertandingkan Bandaraya Kuching telah melakarkan kejayaan dalam empat (4) anugerah Perak iaitu satu untuk kategori Whole City dan tiga lagi untuk kategori projek iaitu Program Pembersihan Sungai Sarawak, Program ‘3R Buy Back’ dan Projek Esplanade Kuching.

Kemenangan tersebut dikecapi setelah DBKU telah berjaya disenaraitapis pada peringkat seterusnya oleh panel juri ke peringkat akhir bagi anugerah ‘Whole City’, 3 projek untuk ‘ProjectAward’ dan 6 projek untuk ‘Bursary Award’.

DBKU telah menyertai ketigatiga kategori untuk anugerah ini iaitu ‘Whole City’ (Kategori D : penduduk seramai 150,001 – 400,000 orang), 4 projek untuk ‘Project Award’ dan 8 projek untuk ‘Bursary Award’.

Beberapa komponen utama telah dinilai turut mengambil kira 6 komponen utama iaitu Enhancement of the Natural and Built Landscape, Arts, Culture and Heritage, Environmental Best Practices, Community Participation and Empowerment, Healthy Lifestyle dan Strategic Planning.

Anugerah LIVCOM berdasarkan sejarahnya ia telah dilancarkan pada tahun 1997 dan disokong oleh ‘United Nations Environment Programme’ (UNEP). Ia merupakan satu-satunya anugerah di dunia yang memfokuskan kepada ‘International Best Practice’ mengenai pengurusan alam sekitar untuk menambahbaik kualiti kehidupan. Anugerah ini diuruskan oleh ‘UK Registered Charity’ yang beribu pejabat di United Kingdom dan diadakan setiap tahun.

Ia merupakan platform yang berprestij kerana ia mempertandingkan sejumlah 63 Bandaraya dan Bandar dari 32 negara di seluruh dunia telah disenaraitapis ke peringkat akhir untuk menyertai anugerah ini termasuk 66 projek lestari dan 26 projek ‘bursary’.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada sekumpulan 9 orang pegawai DBKU yang diketuai oleh Puan Hajah Kartina Zamhari, Ketua Timbalan Pengarah dengan berjaya menggalas tugas membuat 10 pembentangan yang menyakinkan di LIVCOM Awards 2012.

Pegawai-pegawai kanan DBKU terdiri daripada Encik Andrew Joris (Timbalan Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Kawal Selia), Encik Rudzaimeir Malek (Ketua Bahagian, Penguatkuasa dan Persekitaran), Encik Zaidi Pathi (Ketua Bahagian, Penyelenggaraan Infrastruktur), Encik Emil Rosaini (Ketua Bahagian, Mekanikal dan Elektrikal), Encik Mohd. Faisal Adenan (Ketua Bahagian, Bangunan),Puan Durie Austine (Ketua Bahagian, Lanskap), Puan Siti Fatimah Jamail (Ketua Bahagian, Hal Ehwal Undangundang), Cik Zurima Safian (Ketua Bahagian, Transformasi dan Inovasi) dan Encik Dasuki Aini (Timbalan Ketua Bahagian, Teknologi Maklumat)

Mendapatkan gambaran lebih menyeluruh, RAKAN Sarawak sempat menemuramah salah seorang pegawai yang turut serta di dalam pembentangan tersebut iaitu Cik Zurima Safian (Ketua Bahagian, Transformasi dan Inovasi) untuk berkongsi kejayaan tersebut.

Ketika ditanya mengenai impak yang diperolehi daripada impak yang diperolehi, beliau berkata ia diyakini mampu menjalinkan hubungan ‘networking’ dan ‘Twin City’ dengan peserta-peserta dari seluruh dunia disamping mendapatkan pendedahan serta meningkatkan pengetahuan melalui pembentangan berkenaan pengurusan alam sekitar yang dilaksanakan oleh bandaraya dan negara yang mengambil bahagian.

Lebih daripada itu, menurut Cik Zurima ia mampu memberikan inspirasi idea inovatif dan mempamerkan amalan terbaik yang boleh dikongsi bersama bagi mengatasi cabaran serupa yang dihadapi untuk menambahbaik kualiti hidup serta pada masa yang sama meningkatkan imej dan mempromosi pelancongan bagi Bandaraya Kuching, Negeri Sarawak dan Malaysia melalui ‘booth’ pameran dan pembentangan yang dibuat.

Pada perspektif berbeza, ditanya mengenai respon daripada pihak penilai, Cik Zurima menjelaskan pihak penilai amat teruja dengan penyertaan yang menggalakkan pada anugerah kali ini. Penyertaan dari 63 Bandaraya dan Bandar di seluruh dunia jelas menunjukkan satu perkembangan yang positif terhadap pentingnya pengurusan dan pemeliharaan alam sekitar untuk menambahbaik kualiti kehidupan.

Namun, jelas beliau kejayaan yang diperolehi adalah berkat dan tonggak yang kuat dari segi sokongan dan galakan yang diterajui oleh YBhg Datuk Bandar dan kepimpinan pihak pengurusan yang sentiasa komited dan dinamik.

Paling utama, melengkapkannya lagi ialah semangat kerjasama yang utuh di kalangan wargakerja DBKU, inisiatif sentiasa mendahulukan rakyat sangat dititikberatkan.

Pelbagai program telah berjaya diadakan melalui penglibatan komuniti, kerajaan dan swasta untuk kelestarian bandaraya dan meningkatkan lagi kualiti kehidupan wargakota.
Walaupun baru pertama kali menyertai anugerah ini, DBKU merasa bangga kerana hasil kerja kami diiktiraf di peringkat antarabangsa. Jelas beliau, bukanlah mudah untuk menyertai anugerah ini di mana penyediaan laporan dan slide pembentangan sahaja mengambil masa selama lebih 5 bulan.

Manakala, hasil tinjauan di pihak pengurusan pula, penyertaan DBKU disifatkan atas dasar untuk menang semata-mata namun untuk mengukur sejauhmana kemampuan Bandaraya Kuching bersaing dengan bandaraya lain di dunia.

Penyediaan ‘initial report’ itu sendiri, umpamanya merupakan proses ‘self-audit’ untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan DBKU dan seterusnya menyediakan dasar untuk perancangan masa depan bagi menjadikan Bandaraya Kuching sebuah bandar yang lestari serta menambahbaik penyampaian perkhidmatan dan kualiti kehidupan wargakota.

Hasil daripada semangat kerjasama dan dedikasi yang tinggi akhirnya DBKU telah berjaya mendapat empat ‘Silver Award’ yang telah diperolehi kini. Apa yang penting, DBKU bangga kerana telah berjaya melakar sejarah dan suatu titik permulaan menjadikan Kuching dikenali di persada dunia.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article