Karnival Kejiranan Mesra (K3M) Bandar Baru Samariang terpilih sebagai pembuka tirai bagi 18 buah aktiviti yang telah dirancang oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini.
Menurut En. Muhd. Abdullah, Ketua Unit Program Kejiranan Mesra di Bahagian Pembangunan Komuniti (CMD) pihaknya telah menerima banyak permohonan daripada semua 17 buah kawasan perumahan, taman dan kampung yang mempunyai Program K3M di dalam kawasan DBKU.
Katanya, pihak DBKU telah menerima pelbagai permohonan daripada K3M yang ada supaya DBKU mengadakan aktiviti K3M di kawasan mereka.
Jelasnya, masing-masingnya telah mengemukakan permohonan berdasarkan keperluan serta masalah di kawasan masing-masing. Menurutnya, ada kawasan yang memohon diadakan program yang memfokuskan kepada kebersihan persekitaran, kempen anti nyamuk, disiplin belia, kitar semula dan pelbagai aktiviti lain.
Permohonan yang banyak untuk pelaksanaan aktiviti itu sudah cukup menjelaskan betapa baiknya penerimaan daripada masyarakat khususnya di kawasan perumahan, taman dan kampung tentang kebaikan Program K3M.
Program K3M telah dilancarkan buat pertama kali di Taman Fitrah pada tahun 2001 dan pada ketika itu dikenali sebagai Kejiranan Mesra.
Pada tahun ini, DBKU telah merancang untuk melancarkan sebuah lagi kawasan baru yang akan menambah bilangan K3M iaitu di Taman Sepakat Jaya di Demak Laut. Pihak CMD menjangka ia akan dilancarkan pada April tahun ini.
Bagi Karnival K3M Bandar Baru Samariang yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 23 Februari di Bandar Baru Samariang, pihaknya menjangka kira-kira 10,000 pengunjung bakal membanjiri karnival berkenaan setiap hari.
Ia berikutan populasi Bandar Baru Samariang sahaja yang telah mencecah kira-kira 10,000 pintu rumah.
Sebanyak 30 buah gerai pameran yang disediakan bakal menarik perhatian pengunjung di karnival itu. Ia akan disertai pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, swasta dan institusi pendidikan. Turut disediakan ialah sebanyak 10 unit gerai makanan dan minuman.
Menurut En. Muhd., sokongan padu daripada pelbagai pihak terutamanya swasta dalam membiayai penganjuran karnival itu sesungguhnya amat dialu-alukan.
Jelasnya, sokongan itu menunjukkan komitmen tinggi pihak swasta dalam aktiviti K3M yang selama ini menitikberatkan kehidupan masyarakat yang mesra, muafakat dan makmur.
Oleh kerana peruntukan untuk aktiviti K3M yang agak terhad, pihaknya amat memerlukan sokongan secara berterusan daripada pelbagai pihak untuk turut sama menjayakan semua aktiviti K3M pada tahun ini.
Antara aktiviti utama pada karnival itu ialah ‘Bandar Baru Samariang Karaoke Star Search 07’. Selain itu, pelbagai aktiviti tapak seperti dart, tendangan penalti, pertandingan mewarna, memasak, bayi sihat, pertandingan bercerita, persembahan pentas, muzikal dan kebudayaan turut akan diadakan.
Berkenaan pencapaian K3M, En. Muhd. Abdullah menjelaskan bahawa sehingga kini, sebanyak 17 kawasan perumahan, taman dan kampung di kawasan DBKU telah mempunyai Program K3M.
Kawasan-kawasan itu iaitu di Taman Fitrah, Kawasan Sungai Maong, Kampung Lintang, Kampung Rampangi, Kampung Bako, Kampung Pinang Jawa, Kampung Tunku, Taman Sourabaya Indah, Bandar Baru Samariang, Kampung Buntal , Boyan Gersik, Kampung No. 6 Satok, Taman Hussein, Kampung Kudei Baru, Kampung Sungai Bedil Besar, Kampung Sejingkat dan Kampung Muara Tebas.
Menurutnya, secara keseluruhan Program K3M adalah amat memuaskan. Setiap dua bulan sekali, pihaknya akan mengadakan aktiviti serta perjumpaan dengan Jawatankuasa K3M di kawasan terbabit sebagai salah satu cara mereka mengetahui program, aktiviti, masalah dan perancangan yang dibuat di peringkat kawasan.
Pada setiap hujung tahun, pihak DBKU juga mengadakan Majlis Makan Malam dan Anugerah K3M sebagai cara menghargai sokongan dan kerjasama kawasan kejiranan untuk mencapai wawasan dan matlamat penubuhan K3M.
Apa kata Pengerusi K3M Bandar Baru Samariang Tentang Aktiviti K3M?
Kawasan Perumahan Rakyat Bandar Baru Samariang mempunyai kira-kira 5,000 buah pintu rumah.
Jika dikira termasuk perumahan swasta dan kampung-kampung berhampirannya terdapat kira-kira 10,000 buah buah pintu rumah sebenarnya di sekitar Bandar Baru Samariang yang telah mendapat manfaat daripada kewujudan K3M selama ini.Demikian menurut Mohd Nizam Maulana Zaini, Pengerusi Kejiranan Mesra Bandar Baru Samariang ketika ditanya tentang perkembangan K3M Bandar Baru Samariang yang diterajuinya.
Dari penampilannya sahaja sudah jelas menunjukkan bahawa dia merupakan seorang yang amat komited dengan usahanya selama ini untuk menjadikan K3M di Bandar Baru Samariang di antara K3M yang disegani di kawasan DBKU.
Melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan, kewujudan K3M di kawasan mereka selama ini juga sebenarnya telah dapat dirasai oleh para penduduk di situ.
Mana tidaknya kerana sejak ditubuhkan pada tahun 2002, K3M Bandar Baru Samariang tidak pernah sunyi daripada mengadakan aktiviti yang melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat tidak mengira umur dan jantina.
Katanya, antara aktiviti utama yang pernah diadakan ialah gotong-royong setempat, pertandingan bola sepak jalanan, aktiviti kemasyarakatan, keagamaan, sambutan perayaan, program motivasi pelajar dan usaha yang terbaru ialah penganjuran Karnival K3M Bandar Baru Samariang.
Justeru, tidak menghairankan apabila K3M Bandar Baru Samariang telah merangkul Anugerah Kampung Aktif dalam Anugerah Kejiranan Mesra 2001-2005 yang diadakan pada Disember 2005.
Menurut Mohd Nizam, paling penting ialah kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh 18 orang Ahli Jawatankuasa K3M Bandar Baru Samariang yang sentiasa berusaha menghadirkan diri pada mesyuarat yang diadakan setiap tiga bulan.
Dalam mesyuarat itu, selalunya mereka membincangkan tentang pelbagai masalah berbangkit di kawasan kediaman mereka.
Ia merupakan antara kunci penting yang membawa kepada pintu kejayaan penganjuran pelbagai aktiviti di kawasan mereka.
Justeru, kejayaan pada masa lalu telah memberanikan mereka untuk membuat permohonan kepada DBKU bagi penganjuran aktiviti yang lebih besar pada hujung tahun 2006. Mereka telah memohon untuk diadakan ‘karnival’ dan bukannya ‘pesta’ sebagai salah satu usaha meningkatkan imej K3M Bandar Baru Samariang.
Walaupun bunyinya seakan lebih kepada bentuk hiburan, menurutnya, masih terselit pelbagai pengajaran dan manfaat daripada penganjuran karnival itu.
Selain menggabung dan merapatkan hubungan antara penduduk di situ, ia juga menyampaikan pelbagai jenis maklumat berguna melalui aktiviti yang diadakan.
Jelasnya, sasaran utama K3M Bandar Baru Samariang melalui aktiviti karnival kali ini ialah untuk meningkatkan kesedaran tentang perlunya kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani masalah jenayah.
Sehubungan itu, pihaknya akan berusaha meningkatkan penyertaan para penduduk dalam aktiviti ‘Rakan Cop’ iaitu salah satu jalinan kerjasama di antara ahli masyarakat dengan pihak berkuasa polis dalam membanteras gejala jenayah.
Katanya, jika karnival tahun ini mendapat sambutan yang baik, pihaknya tidak akan terburu-buru menjadikannya sebagai acara tahunan pada masa hadapan.
Menurutnya, penganjuran aktiviti seperti karnival juga amat penting kerana dapat dijadikan landasan bagi semua penduduk di K3M Bandar Baru Samariang saling mengenali antara satu sama lain yang merupakan antara matlamat asal penubuhan K3M.
Selepas karnival itu nanti, K3M Bandar Baru Samariang merancang akan mengadakan sebuah lagi aktiviti berkaitan dengan kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar iaitu selaras dengan matlamat Local Agenda 21 yang diusahakan oleh DBKU.
Info Kejiranan Mesra (K3M)
Diilhamkan oleh YAB Ketua Menteri Sarawak pada September 1999 yang kemudiannya disusuli oleh bengkel selama dua hari bermula 27 Mac 2000 di Pustaka Negeri Sarawak.Ketika ini sebanyak 17 buah kawasan perumahan dan kampung telah dilancarkan K3M yang kesemuanya terletak di dalam kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU). Taman Fitrah merupakan K3M yang pertama ditubuhkan.
K3M diwujudkan bagi memupuk hubungan kekeluargaan berjiran melalui amalan nilai-nilai murni dalam konteks masyarakat majmuk yang berteraskan penggemblengan tenaga, fikiran dan tindakan secara sukarela dan kolektif.
Wawasan
“Masyarakat yang bermuafakat, berdikari, sejahtera, berwawasan dan boleh mengawalselia diri”
- Kumpulan manusia yang hidup bersama dengan aturan dan cara tertentu
- Berunding untuk mencapai sesuatu tujuan
- Tidak terlalu mengharapkan bantuan daripada pihak luar
- Mesra, aman, makmur dan tenteram
- Mempunyai pandangan jauh bagi mencapai matlamat penting bersama
- Mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota masyarkat tanpa memerlukan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang
Matlamat
- Memupuk perasaan kasih sayang dan sikap bertanggungjawab dikalangan individu dalam masyarakat
- Mengeratkan hubungan silaturahim antara jiran
- Memperingkatkan suasana harmoni dalam masyarakat.
Ciri-ciri
- Berjawatankuasa Rasmi – Mempunyai jawatankuasa yang mengelola aktiviti-aktiviti kejiranan bagi setiap kawasan yang tidak melebihi 400 unit rumah
- Kepimpinan Berwawasan – Mempunyai pemimpin-pemimpin yang berpandangan jauh dan proaktif bagi mencapai matlamat bersama
- Berdikari – Bertindak secara proaktif dan sukarela tanpa terlalu bergantung kepada pihak lain
- Prihatin – Sedar, faham & bertindak secara positif terhadap persekitaran sekeliling
- Bermuafakat – Bertindak dengan penuh kesefahaman dan bergerak sebagai satu pasukan
- Mesra – Ramah, saling mengenali, menyayangi dan menghormati
- Aman, Makmur dan Sejahtera – Keadaan selamat daripada gejala sosial, gangguan awam dan penyakit
Selain daripada Program K3M, terdapat juga beberapa program dan aktiviti anjuran agensi kerajaan lain yang menjurus kepada konsep hidup berjiran dalam sesebuah komuniti.
Antaranya ialah Gerakan Daya Wawasan (GDW) anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat Persekutuan (KEMAS), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) anjuran Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negara dan Komuniti Bestari (dahulu dikenali K3P) anjuran Jabatan Penerangan.
Namun, bagi pihak DBKU Program K3M mempunyai keunikannya tersendiri daripada segi penyertaan dan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan agensi pelaksana.
Ia jelas di dalam tiga peringkat struktur pelaksanaannya. Pertama ialah Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan wakil rakyat dan keahliannya disertai pihak berkuasa tempatan (PBT), Setiausaha Kewangan Negeri, Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Residen, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Yayasan Sarawak, KEMAS dan Pemanca.
Jawatankuasa Bertindak pula dipengerusikan pihak berkuasa tempatan atau Residen yang keahliannya disertai Jawatankuasa Kejiranan, PDRM, BOMBA, Pejabat Daerah dan Jabatan Kesihatan.
Sementara itu, Jawatankuasa Kejiranan Mesra Kampung pula mempunyai pengerusi dan ahli jawatankuasa yang dipilih oleh komuniti setempat.