- Advertisement -spot_img
4,807
published news
and counting

Kamus English-Iban Beri Impak Positif Kepada Galeri Bahasa Negara

Must read

Kamus terjemahan English-Iban telah diusahakan oleh pensyarah-pensyarah Jabatan Pengajian Bahasa Iban, Institut Perguruan (IPG) Kampus Rajang, yang juga ahli-ahli Association For The Educational Development Of Iban Language (AEDIL) bersama Dr. Lambat Anak Lindong yang merupakan penyelaras kepada projek yang berimpak besar ini,

Dr. Lambat Anak Lindong berucap semasa Majlis Pelancaran Kamus Terjemahan English – Iban Sumber foto: FB IPG Kampus Rajang

Selari dengan Malaysia yang telah dikenali di persada antarabangsa yang terbina atas kerukunan pelbagai bangsa, maka masyarakat Iban bolehlah menonjolkan keunikan bahasa mereka kepada masyarakat antarabangsa.

Caranya adalah dengan menghasilkan kamus yang boleh digunakan untuk meningkatkan pengetahuan tentang bahasa Iban, khasnya pihak luar yang ingin mendalami dan belajar bahasa Iban.

Demikian dikatakan Timbalan Premier Sarawak, Merangkap Menteri Kewangan Dan Ekonomi Baru (II) Serta Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa berucap pada Majlis Pelancaran Kamus Terjemahan English – Iban di IPG Kampus Rajang pada 25 Januari 2024 (Khamis).

Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Kamus Terjemahan English – Iban di IPG Kampus Rajang pada 25 Januari 2024 (Khamis) Sumber foto: FB IPG Kampus Rajang

Selaku individu yang menyalurkan dana untuk projek penerbitan kamus terjemahan ini, beliau sendiri mengikuti perkembangan usaha untuk menerbitkan kamus ini yang memakan masa bertahun-tahun.

Usaha yang begitu lama ini sangat mahal dan bermakna kerana selain daripada berjaya melunaskan amanah yang telah dipertanggungjawabkan, beliau juga percaya usaha yang murni ini mampu menyuntik semangat kepada golongan-golongan cendekiawan Iban agar terus menghasilkan penerbitan yang seumpamanya atau penerbitan lain yang berbentuk ilmiah.

Dengan usaha ini, ia mampu mengangkat martabat bahasa Iban agar setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia ini.

Penerbitan kamus terjemahan ini juga membuka peluang kepada mereka yang berminat dalam penulisan yang berkaitan dengan akademik, budaya, keagamaan dan seumpamanya, kerana para penulis boleh memilih perkataan-perkataan yang lebih sesuai mengikut keperluan penulisannya.

Kamus terjemahan yang mengandungi 698 muka surat ini sudah semestinya menyajikan pilihan perkataan yang cukup banyak untuk disesuaikan dengan bentuk penulisan mahupun penggunaannya dalam pertuturan seharian.

Kerana itu, beliau sangat berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana telah memberi pengiktirafan  kepada IPG Kampus Rajang, IPG Kampus Sarawak, Miri dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak Darul Ridzuan  sebagai pusat pengajian tinggi di Malaysia yang pernah dan masih menawarkan kursus Bahasa Iban.

Guru-guru bahasa Iban yang dilahirkan oleh pusat pengajian tinggi tersebut  akan memainkan peranan penting pada masa akan datang, terutamanya berperanan sebagai penggerak kepada kemajuan bahasa Iban itu sendiri.

Justeru, beliau amat berharap agar pengambilan dan penawaran program bahasa Iban di institusi-institusi tersebut diteruskan setiap tahun, bagi menampung keperluan guru-guru bahasa Iban yang masih belum mencukupi.

Berdasarkan data Bahasa Iban Sesi Akademik 2022/2023, jumlah guru bahasa Iban sekolah rendah ialah seramai 2,836 orang, namun hanya 385 orang guru yang opsyen bahasa Iban.

Untuk sekolah menengah pula, seramai 282 orang guru bahasa Iban, dan daripada jumlah tersebut hanya 63 orang sahaja yang mempunyai opsyen bahasa Iban.

Beliau berkata agak runsing apabila tiada pengambilan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) Opsyen Bahasa Iban oleh KPM dua tahun berturut-turut bermula tahun 2021 dan 2022.

Jelas beliau, jika ia tidak ditangani, isu ini boleh melumpuhkan pendidikan Bahasa Iban yang telah dilaksanakan mulai tahun 1963.

Setakat ini hanya terdapat seorang pegawai yang menguruskan Bahasa Iban di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak justeru, beliau mohon agar bilangan ini ditambah bagi melicinkan lagi pengurusan berkaitan Bahasa Iban.

Isu kekurangan pensyarah Bahasa Iban di UPSI juga sangat kritikal di mana ramai guru Bahasa Iban yang layak memohon menjadi pensyarah tetapi kerana lokasi yang jauh dan kekangan keluarga menyebabkan mereka terpaksa membatalkan niat untuk berkhidmat di sana.

Kerana itu, beliau mencadangkan agar pusat pengajian Bahasa Iban dipindahkan ke universiti-universiti tempatan di Sarawak, terutamanya di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bagi mengatasi isu kekurangan pensyarah Bahasa Iban yang sangat kritikal di UPSI.

Salah satu lagi isu ialah kekurangan bahan rujukan dalam Bahasa Iban sehingga menyebabkan para guru hanya berpandukan dan merujuk kepada teks semasa proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dilaksanakan.

Oleh itu, pelbagai usaha perlu digerakkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat Iban tentang peri pentingnya bahasa, budaya dan sastera Iban dijunjung dalam erti kata dihormati, dipelihara, dan dikembangkan sehingga menjadi lebih mantap, agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article