- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

Perasaan Persaudaraan Melalui Perjumpaan Jabatan

Must read


YB SUK menyampaikan ucapan aluannya sebelum
mendengar taklimat daripada Jabatan Muzium dan SALCRA
YB Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datu Wilson Baya Dandot berharap perjumpaan dengan jabatan atau agensi kerajaan yang lebih kerap akan dapat mewujudkan perasaan persaudaraan (sense of togetherness) serta lebih mengenali di antara satu sama lain.

Sebagai SUK yang baru memegang jawatan itu, adalah penting untuk beliau serta kerajaan negeri mengetahui pelbagai perkembangan yang berlaku dalam setiap agensi dan jabatan kerajaan negeri.

Dengan cara itu, semua pihak akan dapat saling membantu dalam memberi cadangan serta saranan bagi memperbaik mutu perkhidmatan dan sistem penyampaian kepada orang ramai.

Ia katanya amat perlu memandangkan tahun 2007 merupakan tahun pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan adalah amat penting bagi kerajaan mempergiat usaha ke arah membuat impak dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya sebelum mendengar taklimat daripada dua buah agensi kerajaan negeri, Jabatan Muzium serta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia.

Taklimat berkenaan aktiviti dan pembangunan Muzium telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Tuan Hj. Sanib bin Hj. Said.

Secara umumnya, taklimat Jabatan Muzium itu bertujuan membolehkan kerajaan negeri mendengar dan mengetahui aktiviti dan pembangunan jabatan terutama dalam usahanya menggalakkan industri pelancongan di Sarawak dan sempena Tahun Melawat Malaysia 2007.

Antara perkara yang telah disentuh ialah situasi terkini yang berlaku dalam jabatan serta masalah-masalah yang dihadapi seperti kewangan yang terhad, keadaan bangunan yang perlu diperbaik dan situasi sumber manusia jabatan.

Sementara itu, Pengurus Besar SALCRA, Datu Vasco Sabat Singkang telah menyampaikan taklimat berkenaan aktiviti SALCRA daripada perspektif polisi.

Tujuannya adalah supaya kerajaan negeri mengetahui perkembangan aktiviti dan polisi organisasi SALCRA terutama dalam pembangunan tanah di Sarawak.

Dalam taklimatnya, Datu Vasco telah menyampaikan perkembangan terkini dalam organisasi, profil lembaga termasuk aktiviti yang sedang dalam pelaksanaan, keadaan kewangan dan keuntungan pada pihak SALCRA dan peserta program pembangunannya serta status pelaksanaan program baru seperti ternakan lembu di ladang.

Siri taklimat jabatan seperti ini akan diperluas untuk agensi lain kerajaan negeri. Sebelum ini, YB SUK juga telah mengadakan beberapa siri lawatan ke beberapa buah agensi kerajaan persekutuan dalam usahanya menjalinkan kerjasama yang lebih erat untuk memantapkan lagi perkhidmatan awam di Sarawak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article