- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Rapatkan Jurang Inovasi dalam sektor awam seiring perubahan semasa

Must read

Dalam konteks era ekonomi berasaskan pengetahuan, inovasi memainkan peranan penting sebagai satu sumber dalam meningkatkan ‘competitive advantage’ atau kelebihan daya saing kepada sesebuah negara mahupun organisasi. Namun, persoalan yang sering timbul ialah tidak banyak organisasi yang mampu melaksanakan inovasi secara sistematik untuk meraih competitive advantage.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Weiss dan Legrand (2007), kegagalan untuk mengaplikasikan inovasi bagi mencapai kelebihan daya saing adalah kerana sesebuah organisasi hanya memberikan tumpuan berinovasi terhadap satusatu elemen pada setiap waktu, khasnya dalam bidang pengenalan produk dan perkhidmatan yang baharu.

Lantas, mereka mengambil langkah melatih individu-individu tertentu dan membentuk sebuah unit khas untuk aktiviti inovasi dan sebagainya. Walaupun langkah tersebut telah diambil, mereka masih mengalami apa yang dipanggil ‘jurang inovasi’ (innovation gap).

Perkara tersebut dinyatakan Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani ketika merasmikan penutupan Persidangan Inovasi Sektor Awam (PERISA) Zon Sarawak anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dengan kerjasama INTAN Wilayah Tengah (INTENGAH) dan Persatuan Kreativiti dan Inovasi Malaysia (MACRI) yang diadakan di Dewan Kompleks Islam Sarawak di Kuching pada 29 November yang lepas.

Turut hadir ialah Pengarah INTENGAH Encik Saiful Yazan Alwi, Pengarah Unit Pemodenan Perkhidmatan dan Kualiti (UPPQ) Jabatan Ketua Menteri Dr Sabariah Putit, Ahli Jawatankuasa Eksekutif MACRI Encik Hussein Ariff serta Ketua-ketua Jabatan dari pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Beliau mengingatkan penjawat awam bahawa YAB Perdana Menteri sering menyentuh mengenai betapa pentingnya memiliki minda yang kreatif dan inovatif dalam perkhidmatan awam.

“Jurang” bermaksud perbezaan di antara apa yang diingini dan apa yang diperolehi sekarang, dan menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, apa yang diingini Perdana Menteri ialah untuk melihat Negara mencapai hasrat ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang digerakkan melalui pelbagai Program Transformasi seperti GTP, ETP, Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) dan sebagainya.

“Falsafah ‘Rakyat Didahulukan’ itu sendiri memberikan cabaran besar bukan sahaja kepada kementerian dan jabatan yang terlibat dalam program transformasi, malah yang tidak terlibat secara langsung juga perlu mendahulukan rakyat dalam sistem penyampaian mereka.”

Perubahan semasa dalam system penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan pantas di peringkat global serta kerenah dan pemikiran pelanggan terutamanya generasi muda menuntut penjawat awam agar tidak boleh lagi bergantung kepada cara lama dalam melaksanakan sesuatu.

Ia juga memerlukan penjawat awam mencari cara baru justeru amat penting untuk menutup atau mengurangkan jurang inovasi yang wujud, ujar beliau.

Memberi contoh kajian yang telah dijalankan oleh Boston Consulting Group pada tahun 2008 mengenai cabaran membangunkan organisasi yang berinovatif, beliau menggariskan tiga cabaran utama untuk diatasi dalam kajian tersebut: pertama – Mengatasi cabaran kurangnya pemahaman mengenai inovasi, bagaimana ia berlaku dan apakah yang menghalangnya; kedua – Mengatasi cabaran kurangnya pemimpin yang berinovatif; dan ketiga – Mengatasi cabaran kurangnya praktis dan pembudayaan untuk mengimarahkan inovasi dalam organisasi.

Mengenai cabaran pertama, YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi menerangkan bahawa apa yang perlu didepani oleh penjawat awam ialah menguatkan pemahaman inovasi.

Menurut beliau, ramai di kalangan penjawat awam memberi pengertian inovasi hanya dalam bentuk teknologi mahu pun penyelidikan saintifik sedangkan sesebuah organisasi memerlukan inovasi dalam setiap bidang atau bahagian.

Beliau menjelaskan bahawa untuk cabaran yang kedua, ia memerlukan seorang pemimpin yang inovatif dan memahami peranan penting yang dimainkan dalam inisiatif inovasi di dalam sesebuah organisasi.

Pemimpin tersebut juga perlu membangunkan individu dan pasukan yang inovatif.

Mengulas mengenai cabaran ketiga, secara sedar atau tidak sedar, organisasi kadangkala menghalang inovasi melalui praktis mereka seperti tidak mengambil kira inovasi dalam perancangan, bajet, ganjaran dan sebagainya.

Kebanyakan organisasi juga kadang-kadang tidak mahu mengambil risiko dan lebih menggunakan inovasi untuk jangka masa yang pendek.

Tambah beliau, agak sukar untuk menutup jurang inovasi apabila sesebuah organisasi tidak membina budaya inovasi dan tidak mengubah praktis atau amalan mereka yang masih di takuk lama.

YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi turut menyuarakan pandangan beliau tentang perbezaan antara era ekonomi berasaskan industri sejak 20 tahun lalu, dengan era ekonomi masa sekarang yang berasaskan pengetahuan.

Menurut beliau, era ekonomi sekarang telah banyak mengubah cara bekerja berbanding era ekonomi berasaskan industri yang hanya memerlukan beberapa orang pemimpin elit dalam sebuah organisasi untuk menjadi inovatif dan orang lain hanya melaksanakan apa yang dicadangkan oleh pemimpin tersebut. Contohnya, apabila timbul masalah pemimpin elit tersebut akan mencari penyelesaiannya sendiri berbanding era ekonomi kini yang berasaskan pengetahuan, keupayaan intelek kesemua pekerja amat perlu berikutan perubahan cara bekerja dan persekitaran kerja yang menjadi semakin kompleks di setiap peringkat organisasi.

Perubahan ini berlaku kerana isuisu yang timbul pada masa sekarang berubah daripada sesuatu yang ‘complicated’ kepada sesuatu yang ‘complex’ berdasarkan kehendak dari stakeholders yang pelbagai, perubahan semasa peringkat global serta perkembangan teknologi yang pantas, guna tenaga kerja atau pasukan kerja yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan sebagainya.

Untuk berdepan dengan isu-isu kompleks ini, pemikiran yang inovatif amat diperlukan.
Justeru, harapan YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi ialah agar PERISA akan dapat melahirkan pemikiran yang inovatif.

Melihat konteks Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS), beliau menerangkan, PANS sememangnya peka akan keperluan  dalam perubahan yang menjurus kepada transformasi kerajaan. Ia dapat dilihat melalui Budaya Kerja Berteraskan ‘Inovatif dan Kreatif’ sebagai salah satu daripada tujuh teras strategik dalam Sarawak Civil Service Action Plan 2010-2020 atau singkatannya ‘SCS 10-20’ ke arah mencapai visi “A World Class Civil Service’.

PANS juga tidak dapat lari daripada perubahan semasa dan peningkatan kehendak pelanggan dan stakeholders, maka penambahbaikan system penyampaian perkhidmatan mesti dibuat.

Selain itu, beliau menambah, pembudayaan inovasi melalui penubuhan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) juga salah satu usaha PANS dalam berdepan dengan persekitaran penyampaian perkhidmatan yang kompleks.

Seiring dengan perubahan semasa, KIK yang dipertanggungjawabkan kepada INTAN telah mengalami perubahan penting termasuklah pemantauan ke atas projek yang dipertandingkan bagi memastikan projek tersebut benar-benar dilaksanakan.

Persembahan projek KIK kini juga lebih kepada penilaian projek secara keseluruhan dan diselitkan dengan pameran bagi tujuan perkongsian ilmu.

YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi berharap agar perubahan yang berlaku dalam konvensyen KIK tidak lagi menjadi sesuatu yang bersifat “ritual” malah mencapai hasratnya untuk meraikan kumpulan KIK sebagai satu insentif kepada mereka dan juga sebagai platform berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai projekprojek yang bertanding.

Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, beliau percaya INTAN akan terus mencari cara baru dalam usaha memperkasakan aktiviti kreativiti dan inovasi dalam sektor awam walaupun perubahan yang dilakukan adalah sedikit demi menyumbang kepada penambahbaikan perkhidmatan dan kemakmuran negara.

YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi turut berharap agar persidangan selama dua hari tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para peserta bagi menajamkan kreativiti dan meluaskan potensi inovasi dalam organisasi masing-masing.

Beliau juga menyifatkan persidangan tersebut sebagai satu platform untuk berkongsi ilmu inovatif dan idea-idea kreatif di kalangan penyelaras-penyelaras inovasi yang akan memberi faedah kepada perkhidmatan awam secara keseluruhan

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article