- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Majlis Daerah Lawas Tumpu Pelaksanaan Projek RMK9

Must read


Majlis Daerah Lawas (MDL) akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada semua projek yang diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) sebagai sebahagian daripada usahanya memastikan projek berkenaan memberi faedah maksimum kepada masyarakat.

Menurut Encik Flavian S.C. Liaw, Pemangku Setiausaha MDL, pihaknya juga akan terus memberi penekanan kepada pembangunan mapan dan seimbang di antara kawasan bandar dan luar bandar.

Jelasnya, ia adalah sejajar dengan dasar kerajaan untuk memberi kemudahan kepada segenap lapisan masyarakat.

Di dalam RMK9, sejumlah 18 buah projek telah diperuntukkan untuk pelaksanaan di kawasan jagaan MDL.

Projek-projek berkenaan ialah pembangunan Pejabat Majlis Daerah Lawas (Fasa 2), pembelian dan pemasangan kanopi di tamu/gerai makan, membina Lawas Town Square,  projek-projek kemudahan asas, Taman Millennium Lawas, program pengindahan, tapak pelupusan sisa pepejal Lawas, pondok menunggu bas, membina dan naik taraf pejalan kaki, membina dan naik taraf sistem perparitan, pemasangan lampu hiasan/dekoratif, pembinaan Bin Centre, menaik taraf Padang Bola Sepak Banting, pemasangan lampu jalan, membina Perpustakaan Desa Kampung Punang, Perpustakaan Teknologi Maklumat dan menaiktaraf kemudahan perkelahan Pantai Sungai Bangat.

Keseluruhan 18 buah projek itu melibatkan peruntukan berjumlah RM66.450 juta dan bakal memberi keselesaan kepada seluruh warga majlis menjelang tahun 2010.

Kata Encik Flavian, antara projek utama yang bakal memberi implikasi besar kepada Daerah Lawas ialah projek Pembinaan Lawas Town Square yang terletak di tengah Bandar Lawas.
Projek berkenaan melibatkan peruntukan berjumlah RM12 juta dan akan disiapkan dalam jangka masa tiga tahun iaitu sebelum penghujung RMK9.

Antara kemudahan yang akan disediakan di situ ialah lapangan dan laluan pejalan kaki, lapangan pameran, kawasan permainan kanak-kanak, padang permainan, taman dan menara jam.

Menurutnya, projek itu dilaksanakan dengan tujuan untuk menyediakan kemudahan rekreasi kepada penduduk tempatan dan pelancong yang datang dari luar Daerah Lawas seperti dari Sabah dan Brunei. Ia berikutan kedudukan Daerah Lawas yang dikelilingi oleh sempadan negeri dan antarabangsa.

Sehubungan itu, projek berkenaan akan mampu meningkatkan aktiviti pelancongan di Daerah Lawas. Malah, potensi dan produk pelancongannya akan dapat dipertingkat dan dipromosikan secara lebih agresif dan meluas.

Apabila aktiviti pelancongannya semakin berkembang, ia seterusnya akan memajukan aktiviti ekonomi berasaskan pelancongan dan meningkatkan sosio ekonomi Daerah Lawas dan negara khasnya.

Info Majlis Daerah Lawas
Mempunyai dua daerah kecil iaitu Trusan dan Sundar

Luas Kawasan:  3,810.46 km persegi
Jumlah Penduduk: 32,669 orang
Etnik utama: Melayu, Lun Bawang, Cina dan Tagal
Pekerjaan penduduk: Pertanian, Perikanan, Penternakan dan Perniagaan
Bilangan rumah kedai: 232 unit kedai dengan 26 unit milik Bumiputera
Bilangan rumah kediaman: 45,000 unit

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article