- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Brunei Tinjau Kerjasama Dengan Sarawak

Must read

Brunei menyifatkan banyak yang boleh dipelajari daripada pengalaman Sarawak dalam pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Demikian menurut Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin Bin Haji Asar, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet/Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat setelah mengadakan Kunjungan Hormat terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Datu Wilson Baya Dandot baru-baru ini.

Menurut beliau, ia jelas membuka lebih banyak ruang kerjasama memandangkan sudah wujudnya pertalian serta kebudayaan yang hampir sama di antara Brunei dan Sarawak.

Lawatan ini menurutnya, adalah lawatan sebagai membalas lawatan rombongan daripada Sarawak pada tahun yang lepas.

Katanya delegasi ini berharap dapat berkongsi rahsia kejayaan Sarawak dalam pembangunan ICT.

Dalam pertemuan singkat tersebut, di pihak Kerajaan Negeri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datu Wilson Baya Dandot, turut menyentuh mengenai perjalanan pembangunan ICT di negeri ini.

Menurutnya lagi usaha pembangunan ICT sudah pun lama bertapak di Sarawak bermula sejak 15 tahun yang lepas.

Jelasnya, Sarawak mempunyai kemampuan serta kepakaran untuk bersaing dalam pembangunan ICT yang diperakui mengunakan sepenuhnya kepakaran anak tempatan.

Katanya, sokongan kepimpinan pentadbiran di bawah kepimpinan YAB Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu turut menyumbang kepada pembangunan pesat ICT.

“Kita bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan infrastruktur malah diperluaskan kepada infostruktur yang merangkumi pembinaan rangkaian SarawakNet daripada Sematan (Kuching sehingga ke Merapok (Limbang)”, jelas Setiausaha Kerajaan Negeri.

Jelasnya, penggunaan ICT telah mengubah tempo dan cara bekerja kakitangan awam yang telah berubah seiring dengan kepesatan teknologi.

Bagi mengerakkan jentera ICT negeri ini, SAINS (Sarawak Information System Sdn Bhd), sebuah syarikat milik kerajaan negeri telah ditubuhkan pada tahun 1991 bertujuan melaksanakan polisi dan strategi berkaitan ICT yang digunapakai oleh kerajaan negeri.

Antara kejayaan lain yang pernah ditempa syarikat tersebut ialah pengenalan e-syariah yang kini digunapakai di seluruh negara, penggunaan persidangan video, pembangunan beberapa aplikasi baru dan pengujudan pusat ICT di setiap daerah.

Malah Setiausaha Kerajaan Negeri turut menyifatkan langkah tersebut telah membuka ruang kepada kepakaran anak tempatan Sarawak serta secara beransur-ansur berusaha mentransformasikan ICT dalam perkhidmatan awam negeri.

Mengulas mengenai lawatan ini, menurut beliau boleh mengukuhkan lagi kerjasama sedia terjalin dengan negara Brunei.

Sepanjang berada di Sarawak, selain mengadakan kunjungan Hormat terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri rombongan tersebut melihat secara dekat perkembangan aplikasi e-Dun (Dewan Undangan Negeri) di samping mengetahui perkembangan terkini rangkaian infrastruktur untuk Bangunan baru Dewan Undangan Negeri.

Turut menyertai rombongan delegasi Brunei ini ialah Yang Mulia Datin Hajah Zaharah binti Haji Ja’afar, Isteri Yang Mulia Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya, Yang Mulia Dayang Rose Aminah Binti Haji Ismail, Penolong Jurutulis, Yang Mulia Awang Omar Bin Haji Tunjang, Setiausaha Sulit, Yang Mulia Awang Dayang Hajah Adiliana Binti Haji Damit, Pemangku Penolong Pegawai Kerja Tkt II, Yang Mulia Awang Abu Bakar Bin Haji Asmat, Pembantu Teknik.

Di samping itu, rakan perniagaan SAINS di Brunei, iaitu Zimac Silicon menyertai rombongan yang diwakili Pengarahnya, Encik Awang Mas Roslee Bin Dato Paduka Haji Idris dan Pengurus Besar, Puan Tay Eue Kam.


Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article