- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Meningkatkan Kesejahteraan Anggota Perkhidmatan Awam Sarawak

Must read

Anggota perkhidmatan awam adalah tulang belakang pentadbiran yang bertanggungjawab memastikan dasar dan matlamat yang ditetapkan oleh kerajaan dilaksanakan.

Menyedari hal ini, Kerajaan Sarawak mengiktiraf dedikasi dan sumbangan Perkhidmatan Awam Sarawak dalam memacu pembangunan negeri.

Oleh yang demikian, kesejahteraan dan kebajikan anggota perkhidmatan awam negeri menjadi keutamaan dan kewajipan yang dipikul oleh kerajaan.

Dari segi definisi, kesejahteraan bermaksud keselamatan, kesenangan, kesentosaan dan ketenteraman yang terkait dengan respons emosi, kepuasan hidup dan penilaian kehidupan secara keseluruhan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada November 2023, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg mengkhabarkan bahawa beberapa inisiatif bagi meningkatkan kesejahteraan anggota Perkhidmatan Awam Sarawak telah diluluskan pada tahun 2023.

Antaranya ialah Insentif Perubatan di Hospital atau Klinik Swasta, penambahbaikan dalam Skim Kemudahan Pinjaman Kerajaan dan Kemudahan Perubatan Untuk Ibu Bapa, khusus untuk ibu bapa anggota Perkhidmatan Awam Sarawak yang telah bersara.

Berdasarkan Pekeliling Perjawatan Negeri Sarawak Bilangan 1 Tahun 2023 bertarikh 17 Januari 2023, dokumen tersebut dikeluarkan bertujuan untuk memaklumkan keputusan Kerajaan Sarawak untuk memberi Kemudahan Rawatan Perubatan di Hospital atau Klinik Swasta yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia kepada pegawai Perkhidmatan Awam Sarawak.

Di dalam pekeliling tersebut, Pegawai Gred 41 ke atas dan ahli keluarga (pasangan dan anak) juga telah diberikan kemudahan rawatan perubatan di Pusat Perubatan Normah Sarawak melalui Surat Pekeliling (Perj. Bil. 9/96), Surat Pekeliling (Perj. Bil. 26/96) dan Surat Pekeliling (Perj. Bil. 43/96).

Kemudahan yang diberikan berdasarkan pekeliling tersebut adalah Rawatan Perubatan Sebagai Pesakit Luar dengan kadar kelayakan sebanyak RM500 setahun dan Rawatan Perubatan Sebagai Pesakit Dalam dengan kadar kelayakan mengikut kos sebenar.

Pegawai yang layak mendapatkan kemudahan rawatan di hospital atau klinik swasta ialah Pegawai Lantikan Tetap dan Berpencen, Pegawai Lantikan Tetap, Memilih Skim KWSP, Pegawai Lantikan Jawatan Berasaskan Caruman, Pegawai Lantikan Kontrak Jangka Masa Panjang Hingga Umur Persaraan Wajib dan Pegawai Lantikan Kontrak Jangka Masa Pendek (tertakluk pada terma dan syarat perjanjian).

Bagi Skim Kemudahan Pinjaman Kerajaan, Kerajaan Sarawak telah membuat keputusan untuk menambah baik peraturan, prosedur dan syarat skim berkenaan agar dapat diurus secara efektif dan efisien.

Menurut Premier, Kerajaan Sarawak juga telah melancarkan program kesedaran untuk mempersiapkan anggota perkhidmatan awam dengan maklumat serta teknik bagaimana untuk mengekalkan kesejahteraan kewangan, fizikal dan mental mereka.

Memastikan kesejahteraan dan kebajikan anggota Perkhidmatan Awam Sarawak menjadi keutamaan dan tanggungjawab Kerajaan Sarawak

Kerajaan turut memberi perhatian kepada kesejahteraan di tempat kerja untuk anggota Perkhidmatan Awam Sarawak.

Persekitaran kerja yang kondusif penting bagi memastikan jentera perkhidmatan awam dapat berfungsi dengan baik.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Sarawak telah memulakan inisiatif menyediakan persekitaran kerja kondusif dengan memperuntukkan RM28 juta bagi menyelenggara bangunan Kerajaan Negeri termasuk pejabat dan kuarters.

Lebih daripada itu, sejumlah RM360 juta juga diperuntukkan untuk menaik taraf bangunan kerajaan sedia ada serta menjalankan pembinaan bangunan baharu.

Kesemua inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak membuat pembaharuan terhadap Perkhidmatan Awam Sarawak.

Matlamatnya adalah bagi membina perkhidmatan awam yang lebih responsif dan berkesan supaya dapat berdepan dengan cabaran semasa dan akan datang.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article