Daerah Subis yang meliputi Daerah Kecil Niah-Suai adalah seluas 3,849-kilometer persegi mempunyai penduduk seramai 57,286 orang (data 2020 yang telah dikemaskini pada 25 Oktober 2022).
Mengikut pecahan penduduk, Daerah Subis terdiri daripada Kaum Iban seramai 33,456 orang; Bumiputera lain seramai 10,598 orang; Melayu seramai 8,822 orang; Cina seramai 2,635 orang; Melanau seramai 802 orang; Bidayuh seramai 401 orang; India seramai 57 orang; dan kaum-kaum lain seramai 515 orang.
Daerah Subis dapat dihubungi terus melalui perjalanan darat selama lebih kurang 45 minit dari Bandaraya Miri iaitu 48 kilometer (km) jika melalui jalan pesisir pantai dan 68km jika melalui jalan Bintulu-Miri.
Daerah Subis mempunyai sejumlah 250 buah kampung berdaftar iaitu 109 Kampung di Daerah Subis dan 141 buah kampung di Daerah Kecil Niah-Suai.
Kesemua kampung yang berdaftar ini boleh dihubungi melalui jalan sungai melalui laut daripada Miri dengan memakan masa selama dua (2) hingga tiga (3) jam, namun kini alternatif ini sudah jarang digunakan.
Daerah Subis merupakan antara lokasi persinggahan popular sebelum meneruskan perjalanan ke Suai, Niah dan Bintulu.
Secara amnya, Daerah Subis terkenal dengan tanaman kelapa sawit yang merupakan mercu tanda daerah kecil ini, justeru tidak hairanlah adanya replika buah sawit yang terdapat di pekan Bekenu menggambarkan bahawa daerah ini sememangnya terkenal dengan tanaman kelapa sawit.
Selain itu, daerah ini juga terkenal dengan hasil produk sungai dan laut, sayuran hutan, buah-buahan yang segar dan menyihatkan.
Pelbagai produk keluaran tempatan termasuk produk pelancongan juga terkenal di Daerah Subis antaranya produk madu kelulut di Bekenu, belacan (shrimp paste) di Bekenu/Niah, Tusan Ice Cream di Bekenu, Subis Regatta di Bekenu, Niah Regatta di Batu Niah dan Program Makan Tahun Perdana di Bekenu.
Daerah Subis dilihat sebagai kawasan yang mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan kerana mempunyai banyak tempat tarikan pelancongan seperti Pantai Tanjung Bungai, Pantai Peliau, Pantai Tusan, Miri Sibuti Coral-Reef, Taman Negara Lambir dan banyak lagi tempat-tempat menarik yang lain.
Pengunjung yang ingin bermalam di Daerah Subis ini juga boleh tinggal di Inap Desa seperti Bungai Lodge, Peliau, Tusan Dabai Homestay, Dewan Homestay Kedayan, Kuala Sibuti, Izara Homestay Kuala Sibuti dan Rumah Panjang Patrick Libau.
Dari segi ekonominya pula, kegiatan utama penduduk di sini ialah kebanyakan mereka terlibat dalam sektor pertanian, perladangan, nelayan, pelancongan, berniaga secara kecil-kecilan dan peruncitan.
Daerah Subis turut dilengkapi dengan agensi-agensi kerajaan seperti Majlis Daerah Subis, Pejabat Daerah Subis, Jabatan Pertanian, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Pengaliran dan Saliran, Jabatan Hutan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Polis Diraja Malaysia, Pejabat Pelajaran Daerah Subis dan sebagainya.
Di samping itu, Daerah Subis ini juga mempunyai kemudahan kesihatan dengan adanya sebuah klinik desa iaitu Klinik Kesihatan Sibuti yang sentiasa memberikan perkhidmatan kepada penduduk.
Dalam perkembangan lain, Daerah Subis bakal mempunyai Pejabat Daerah yang baharu di mana kerja-kerja pembinaan kini sedang berjalan lancar dan 50 peratus siap.
Bangunan Pejabat Daerah Subis baharu yang terletak di kawasan Kampung Rambai (sebuah kampung di seberang Sungai Sibuti yang berhadapan dengan bandar Bekenu) itu bernilai RM5.9 juta dan dijangka siap pada Mac 2024.
Selain daripada pembinaan Pejabat Daerah Subis, terdapat juga projek-projek rakyat yang sedang giat dilaksanakan seperti pembinaan Dewan Masyarakat Subis, jambatan Kampung Bulau dan projek tebingan sungai (waterfront) Kampung Rambai.