- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Jelajah Penerangan Dan Penjelasan Isu-Isu Semasa

Must read

Kita sedia maklum bahawa Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg sentiasa tampil dengan pelbagai inisiatif mahupun idea-idea baharu demi memastikan Sarawak kekal di landasan menjadi negeri maju menjelang 2030.

Misalnya Strategi Pembangunan Pasca COVID (PCDS 2030) yang dilancarkan pada Julai 2021 merupakan inisiatif bagi Sarawak menjadi sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 melalui inovasi dan data, di mana seluruh rakyat menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

Visi dan Tiga Teras Utama Dalam PCDS 2030

Begitu juga dengan idea-idea ekonomi baharu termasuk tenaga boleh diperbaharui, tenaga hidrogen, penyimpanan karbon, perdagangan karbon, perubahan iklim dan sebagainya perlu difahami oleh segenap masyarakat termasuk pegawai-pegawai kerajaan.

Maka itulah pentingnya Program Jelajah Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) ini diadakan kerana tidak dinafikan, masih ramai di kalangan masyarakat di negeri ini yang belum betul-betul faham akan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan.

Justeru, program tersebut bertujuan untuk menjelaskan kepada masyarakat di negeri ini termasuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), agensi-agensi kerajaan dan swasta, pensyarah, guru-guru serta pelajar-pelajar sekolah mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan inisiatif kerajaan.

Sehubungan itu, Program Jelajah Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa Siri 1/2024 yang diadakan pada 11 Mac 2024 (Isnin) di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak telah melibatkan penyertaan KMKK, agensi-agensi kerajaan dan swasta, pensyarah, guru-guru serta pelajar di sekitar Kuching.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol telah menjelaskan antara tanggungjawab dan peranan UKAS sebagai media rasmi kerajaan Sarawak adalah untuk memastikan jurang pemahaman mengenai polisi dan perancangan kerajaan kepada masyarakat dapat dikecilkan.

Justeru, input-input daripada rakyat baik dalam bentuk keluhan mahupun saranan kepada pihak kerajaan akan sentiasa diambil berat melalui aduan kepada pegawai dan kakitangan UKAS yang telah ditetapkan di setiap daerah di Sarawak.

Beliau menegaskan bahawa, semua pegawai UKAS perlu bertindak aktif dalam mengetahui, peka dan prihatin kepada keluhan dan maklum balas daripada masyarakat untuk dibawa ke perhatian dan tindakan pemimpin atasan.

Tegas beliau juga, UKAS akan membuat laporan khas setiap bulan untuk Premier Sarawak supaya beliau mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Program Jelajah Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa yang berlangsung di Pustaka Negeri Sarawak pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa pihak UKAS amat mengalu-alukan orang ramai yang ingin mengadakan kerjasama dalam usaha menyebarkan maklumat mengenai usaha kerajaan terutamanya kepada masyarakat di kawasan luar bandar melalui penganjuran program secara bersama pada masa yang akan datang.

Pada program tersebut, UKAS telah menjemput Encik Mohd Hafiz bin Ali dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak dan Encik Mohamad Irwan Aman, Pengurus Besar Kelestarian Sarawak Energy Berhad (SEB) sebagai penceramah.

Transmisi dan pengagihan tenaga dari 2010 sehingga 2030 dibentangkan oleh Encik Mohamad Irwan Aman
Stesen janakuasa hidroelektrik dikendalikan oleh SEB

Encik Mohd Hafiz bin Ali telah menerangkan tentang pencapaian PCDS 2030 manakala Encik Mohamad Irwan Aman menerangkan tentang signifikan tenaga hijau terhadap pembangunan Sarawak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article