Sasar Capai Pengguna Bijak
Pengarah KPDNHEP Sarawak, Rodin bin Mamat menunjukkan watak yang digunakan oleh KPDNHEP dalam kempen penggunanya
Kiri: Pemeriksaan kesihatan asas secara percuma tarik minat pengunjung ke kempen
Kanan: Kakitangan Jabatan Kesihatan memberi penerangan cara mengenalpasti ubat-ubatan yang tidak berdaftar
Pengumuman kenaikan gaji dalam sektor awam pada Mei lalu telah mengundang banyak aduan tentang peningkatan harga barangan dan perkhidmatan, sungguhpun kenaikan gaji itu hanya berkuatkuasa bermula Julai tahun ini.
Justeru, pelbagai langkah telah diatur oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara dalam usaha menangani masalah yang membebankan pengguna itu.
Pengarah KPDNHEP Sarawak, Rodin bin Mamat berkata pengguna perlu mengetahui hak mereka dan memainkan peranan masing-masing dengan bekerjasama dengan kementeriannya.
Katanya mereka harus membuat aduan serta laporan tentang sebarang kenaikan dalam harga barangan dan perkhidmatan.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan kempen ‘Hak Dan Tangggungjawab Pengguna’ di sebuah pusat membeli belah di Kuching baru-baru ini.
Jelasnya terdapat agensi yang diwujudkan di bawah kementerian itu untuk menjaga hak dan kepentingan pengguna seperti Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Walau bagaimanapun, kekurangan pengetahuan di kalangan orang ramai tentang kewujudan agensi itu menyebabkan mereka sering menjadi mangsa kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab.
Dalam perkembangan berkaitan, KPDNHEP katanya juga telah mengadakan perjumpaan bersama-sama pengusaha restoran dan kedai kopi baru-baru ini.
Menurutnya, pihak berkenaan telah memberi jaminan untuk tidak menaikkan harga makanan dan minuman sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini.
Dalam memastikan perkara itu, katanya kementerian itu telah mewujudkan Pasukan Petugas Khas untuk memeriksa dan memantau sebarang kenaikan harga barangan makanan dan minuman di restoren dan kedai kopi.
Senarai harga menu makanan dan minuman itu dikumpul oleh Pasukan Petugas Khas berkenaan yang akan membuat pemantauan dan perbandingan harga dari semasa ke semasa.
Selain membuat pemantauan harga di restoran dan kedai kopi, beliau juga menjelaskan bahawa pihaknya mengadakan program perbandingan harga di enam pasar raya utama di Kuching bermula awal bulan ini.
Menurutnya persefahaman telah dicapai untuk mewujudkan kerjasama dengan enam buah pasar raya tempatan untuk menyenaraikan harga 100 jenis produk barangan pengguna di dalam suratkhabar tempatan.
Dengan cara itu, orang ramai dapat membuat perbandingan harga seterusnya menjayakan kempen pengguna bijak berbelanja.
Selain itu, dia turut menjelaskan bahawa TTPM telah menerima kira-kira 150 aduan pengguna di seluruh negeri ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan dari 110 aduan bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Dari jumlah aduan itu, kira-kira 30 peratus adalah berkaitan dengan peraduan ‘gores dan menang’.
Sementara itu, Noor Liza Abu Hassan, Ketua Cawangan TTPM Sarawak menjelaskan bahawa pihaknya mensasarkan dapat menyelesaikan kira-kira 50 aduan sebulan berbanding antara 20 hingga 30 aduan pada ketika ini.
Katanya, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran berkenaan memandangkan negeri-negeri lain juga telah berjaya mencapai kadar penyelesaian yang tinggi.
Kempen yang disertai khidmat nasihat dan pameran pengguna itu berlangsung selama seminggu. Antara yang menjayakan kempen itu ialah Jabatan Kesihatan Sarawak dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Selain mendapat maklumat terkini berkenaan isu kepenggunaan, orang ramai turut berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan asas secara percuma.
Info
- Institusi yang melindungi kepentingan pengguna adalah seperti
- Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri Sarawak dan Bahagian
- Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)
- Seksyen Penguatkuasa, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sarawak
- Seksyen Hal Ehwal Pengguna, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sarawak
- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)
- Persatuan-persatuan Pengguna
- KPDNHEP Sarawak membuka Kaunter Timbang danSukat/ Harga Barang Kawalan yang mula beroperasi pada 25 Mei 2007. Tujuannya memberi peluang kepada pengguna memastikan bahawa barang yang telah dibeli adalah tepat dari segi sukatan dan timbangan, mendapatkan senarai harga barang kawalan yang terkini dan membuat aduan di kaunter. Kaunter dibuka di Pasar Satok pada hari Ahad minggu pertama dan ketiga, sementara di Pasar Gambir pada Ahad minggu kedua dan keempat. Pegawai KPDNHEP berada di kaunter bermula 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari
- Kempen Hak dan Peranan Pengguna diadakan pada setiap bulan di tempat-tempat awam anjuran seksyen-seksyen di dalam KPDNHEP dan beberapa agensi kerajaan untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada pengguna supaya tidak mudah ditipu oleh pelbagai taktik seperti gores dan menang, skim cepat kaya, pelaburan internet, jualan langsung dan sebagainya
- Sesi penerangan mengenai kenaikan harga diadakan secara berterusan sehingga Disember 2007 bagi memberi pendedahan kepada masyarakat tentang gejala itu dan bagaimana pengguna boleh membendungnya dengan menggunakan hak pengguna
- Pengguna yang bijak harus dapat membuat imbangan antara tanggungjawabnya sebagai pengguna dan dalam masa yang sama menuntut apa yang berhak mereka dapat. Namun, mereka tidak akan mendapat hak itu melainkan
- Mengetahui hak-haknya
- Menuntut hak itu daripada pihak yang wajar memberikannya
- Memainkan tanggungjawab dan peranan mereka dan berusaha mendapatkan hak-hak itu
- Insiden yang menjejaskan hak dan kepentingan pengguna adalah seperti
- Kegiatan menyorok barang
- Tiada tanda harga
- Pelabelan barangan yang tidak lengkap
- Sukatan dan timbangan yang tidak tepat
- Barang palsu
- Halal dan haram serta banyak lagi
- Lima tanggungjawab yang perlu dilaksana oleh pengguna ialah
- Kesedaran mengkritik
- Penglibatan dan tindakan
- Tanggungjawab sosial
- Tanggungjawab alam semulajadi
- Bersatupadu
Sumber info: Kenyataan akhbar untuk kempen kesedaran pengguna – ‘Hak-hak dan tanggungjawab pengguna’