Politeknik Kuching Sarawak (PKS) bervisi untuk menjadi peneraju utama institusi Pendidikan Dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) yang unggul dengan menyediakan akses yang meluas kepada program pengajian yang diiktiraf.
Matlamatnya adalah untuk melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang serta memperkasa komuniti melalui program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dengan memanfaatkan sepenuhnya perkongsian pintar dengan pihak berkepentingan.
Secara ringkasnya, PKS telah ditubuhkan pada tahun 1988 dengan keluasan 112 ekar dan PKS merupakan politeknik kelima daripada 36 buah Politeknik di seluruh Malaysia.
Pengambilan pertama kemasukan pelajar ke PKS adalah pada Julai 1989 melalui enam (6) program peringkat Sijil manakala program peringkat Diploma telah mula ditawarkan pada tahun 1996.
Kini, PKS telah menawarkan 13 program di peringkat diploma dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan teknologi maklumat.
Kesemua program di PKS telah mendapat akreditasi penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Lembaga Jurutera Malaysia dan Malaysia Board of Technologists (MBOT).
Jumlah staf PKS ketika ini adalah sebanyak 500 orang, jumlah pelajar ialah 4000 pelajar manakala jumlah graduan yang telah dilahirkan adalah seramai 34, 082 orang.
Perkara ini dinyatakan Pengarah PKS, Encik Samsudin Bin Mohd. Saleh ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak pada 12 Mac 2024 (Selasa).
Beliau menjelaskan bahawa, PKS adalah salah satu institusi pendidikan yang telah menetapkan sasaran untuk melahirkan graduan yang diterima pasaran sama ada bekerja mahupun melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
Berdasarkan kajian kebolehpasaran graduan, PKS telah membuktikan peratus kebolehpasaran graduan PKS sejak tahun 2016 hingga tahun 2023 adalah melebihi 92% dan pencapaian bagi tahun 2023 adalah 96.4 %.
Justeru, PKS adalah institusi TVET yang telah terbukti mampu melahirkan graduan yang cemerlang dan diterima oleh pasaran.
Sebagai sebuah institusi yang telah diberi pengiktirafan dengan memenangi Anugerah Perak bagi Kategori Agensi Utama Trofi Premier Sarawak bersempena Hari Perkhidmatan Awam (HPA) baru-baru ini, PKS amat mengalu-alukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf untuk memilih PKS sebagai destinasi pengajian mereka di peringkat diploma.
PKS juga amat mengalu-alukan pihak industri atau agensi luar memberikan komitmen bersama dengan PKS untuk melahirkan graduan bagi pasaran kerja dalam negara.
Sehubungan itu, bagi memastikan PKS dapat memberikan perkhidmatan terbaik di samping terus mengangkat imej PKS, PKS perlu mempunyai sistem pengurusan kualiti yang dinamik dan menyeluruh di samping warga kerja yang komited untuk menjayakan visi dan misi institusi.
Menurut beliau, PKS telah mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui persijilan Asia Pasific Acreditation & Certification Commission (APACC).
Selain itu, PKS juga turut mendapat pengiktirafan dan mempunyai persijilan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015; MS ISO 14001:2015 (Pengurusan Alam Sekitar) dan MS ISO 45001:2018 (Pengurusan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan).
Begitu juga dengan kesemua Program Pengajian telah mendapat akreditasi dari Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), juga diiktiraf sebagai Pusat Latihan Bertauliah AirCond, Human Resource Development Fund (HRDF) dan sebagainya.
Berdasarkan penjelasan ini, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa warga PKS berada dalam persekitaran kerja yang berkualiti dan sentiasa berusaha untuk memastikan perkhidmatan cemerlang dapat diberikan kepada semua pelanggan PKS.
Segala perancangan dan pelan hala tuju PKS dibuat secara teratur dan sistematik dengan penglibatan daripada seluruh warga PKS, natijahnya PKS berjaya melahirkan graduan yang cemerlang memenuhi keperluan pasaran kerja.
Selain itu, PKS juga mempunyai jalinan kolaborasi yang kukuh dengan industri, misalnya melalui Projek 1 Pensyarah 5 Graduan (1L5G) dan Program Latihan Industri Berstruktur(SIP), PKS telah berjaya membuka peluang kerjaya yang luas kepada semua graduan.