- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Mengembangkan Industri Sagu Dan Nipah

Must read

Sagu merupakan tanaman komersial tertua di Sarawak yang dihasilkan daripada pokok rumbia. Sagu adalah salah satu komoditi pertanian utama yang menyumbang kepada hasil pendapatan Sarawak.

Sebagai pengeluar utama sagu di Malaysia, Sarawak mengeksport di antara 40,000 hingga 50,000 tan kanji sagu setahun dengan nilai sekitar RM80 juta hingga RM90 juta.

Sarawak juga merupakan pengeksport terbesar tepung sagu dunia. Pada tahun 2020, sebanyak 37,884 tan kanji sagu bernilai RM78.29 juta dieksport ke Semenanjung Malaysia dengan peratusan jumlah isi padu eksport 51.27 peratus dan Jepun dengan 35.47 peratus.

Jepun, Taiwan dan Singapura adalah antara negara yang mengimport tepung sagu dari Sarawak.

Sejak sekian lama, industri sagu Sarawak didominasi oleh sektor pekebun kecil yang menyumbang 92 peratus daripada jumlah anggaran kawasan tanaman seluas 32,329 hektar.

Kawasan utama perusahaan sagu ialah di Bahagian Mukah, Betong dan Sarikei dengan pekebun kecil sagu masih bergantung pada pendekatan penanaman tradisional.

Menyingkap sejarah, ekonomi Sarawak pada awal tahun 1850an berkembang melalui aktiviti perusahaan sagu.

Perkembangan pesat industri sagu ketika itu telah mendatangkan hasil yang lumayan kepada peniaga sagu di Sarawak, khususnya di Kuching hingga menimbulkan persaingan mendapatkan bekalan bahan sagu dari Mukah di antara pedagang Melayu, Cina dan peniaga dalam kalangan istana Brunei.

Sekitar 1840an, Singapura merupakan pengimport utama sagu Sarawak yang banyak diusahakan di kawasan rumbia oleh kaum Melanau di Oya, Mukah. Dari tahun 1847 hingga 1849, sebanyak 2000 tan sagu dieksport ke Singapura.

Permintaan tinggi terhadap kanji sagu untuk kegunaan industri tekstil di Amerika Syarikat dan Eropah pada masa itu juga menyebabkan permintaan terhadap sagu semakin meningkat.

Seterusnya, pentadbiran Kerajaan Brooke di Sarawak telah menjadikan sagu sebagai eksport utama Sarawak sehinggalah Limbang juga muncul sebagai pengeluar sagu pada 1891. Malah juga, industri sagu menguasai ekonomi Sarawak sehingga penghujung abad ke-19.

Batang rumbia yang sudah ditebang untuk diproses menjadi tepung sagu

Pada 2022, Dewan Undangan Negeri Sarawak telah meluluskan penubuhan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah (LKSN) sebagai sebuah agensi yang akan memacu perkembangan industri sagu dan nipah di negeri ini.

Penubuhan LKSN menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam mengembangkan industri sagu dan nipah serta memperkasa ekonomi masyarakat luar bandar.

LKSN berperanan membantu kerajaan dalam perancangannya memastikan kemampanan industri sagu dan nipah pada masa depan selain membawa kepada peningkatan dalam produktiviti, penggunaan teknologi baharu serta menggalakkan pembangunan yang lebih teratur dalam sektor huluan dan hiliran sagu dan nipah.

Objektif utama LKSN adalah untuk mempromosi, memudahkan serta membangunkan industri sagu dan nipah sebagai sempadan baharu untuk memaksimumkan pulangan ekonomi serta meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Lebih daripada itu, agensi berkenaan juga akan menggubal objektif strategik, dasar dan keutamaan bagi pembangunan dan pentadbiran sagu dan nipah di Sarawak.

Sebelum LKSN ditubuhkan, CRAUN Research Sdn Bhd adalah sebuah agensi yang mempelopori penyelidikan produk dan inovasi yang memfokuskan pada sagu dan juga nipah.

Tumbuhan nipah yang terdapat di Kampung Tambak, Pusa
Perusahaan gula apong di Kampung Tambak, Pusa

Susulan penubuhan LKSN, CRAUN Research telah diletakkan di bawah LKSN sebagai entiti komersial yang dimiliki sepenuhnya oleh LKSN.

Aktiviti komersial utama CRAUN Research tertumpu pada pelaksanaan projek-projek pembangunan sagu dan nipah termasuklah pengilangan dan pemasaran produk-produk sagu dan nipah.

Untuk menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D) berterusan dalam membangunkan teknologi dan aplikasi berkaitan sagu dan biojisim sagu, peruntukan sebanyak RM23 juta disalurkan kepada CRAUN Research pada tahun ini bagi membolehkan agensi berkenaan menjalankan operasi dan projek R&D.

Usaha Kerajaan Sarawak meningkatkan penghasilan sagu juga dapat dilihat melalui Program Tanaman Baharu Rumbia secara berkelompok yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Sarawak di kawasan seluas 43.6 hektar di Kalaka.

Program tersebut yang bernilai RM520,000 telah dimulakan pada 2022 dan berakhir pada 2023 dengan penglibatan 15 orang peserta yang terdiri daripada pekebun-pekebun kecil rumbia.

Program dijalankan bertujuan untuk menambah kawasan tanaman rumbia sedia ada bagi meningkatkan penghasilan produk berasaskan sagu.

Proses penghasilan sagu secara tradisional di Mukah
Tepung sagu yang juga dikenali sebagai lemantak dalam kalangan masyarakat Sarawak

Bukan itu sahaja, Sarawak juga sedang membangunkan biogas yang terhasil daripada sisa sagu sebagai usaha pelaburan ke arah teknologi hijau dan sumber tenaga allternatif yang boleh diperbaharui.

Selain dapat dirawat bagi menghasilkan air bersih, sisa cecair sagu boleh menjana tenaga dengan mengeluarkan biogas kerana mengandungi gas metana.

CRAUN Research telah diberi kepercayaan membangunkan Model Penyaliran Biogas Termurni Daripada Sisa Cecair Sagu Untuk Kegunaan Isi Rumah yang diilhamkan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Projek tersebut adalah kesinambungan daripada Projek Loji Rintis Sisa Rawatan Cecair Sagu di Kampung Tabo, Mukah yang dilancarkan oleh Premier pada 23 November 2022.

Sisa cecair sagu yang mengandungi gas metana boleh menghasilkan biogas sebagai bahan bakar alternatif

Biogas yang dihasilkan oleh loji rintis sagu itu akan ditulenkan dan seterusnya diedarkan sebagai sumber gas memasak alternatif hijau, lestari dan lebih murah berbanding dengan gas petroleum cecair (LPG) komersial.

Dari aspek keselamatan, biogas ditulenkan yang mengandungi gas metana melebihi 90 peratus adalah lebih selamat digunakan sebagai gas memasak berbanding dengan gas LPG kerana gas metana lebih ringan daripada udara, seterusnya menyebabkan ia lebih cepat meruap apabila berlaku kebocoran.

Sebagai permulaan, penyaliran biogas ditulenkan untuk kegunaan memasak ini akan memberi manfaat kepada penduduk Kampung Teh dan Kampung Tabo di Mukah, Sarawak.

Inisiatif tersebut akan memberi nilai tambah kepada produk hiliran sagu, iaitu sama ada untuk kegunaan memasak masyarakat setempat ataupun untuk kegunaan lain.

Dari sudut industri, projek tersebut berupaya meningkatkan nilai rantaian sagu dan pada masa yang sama membuka jalan penyelesaian secara bersepadu terhadap masalah pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada sisa buangan sagu.

Seperti sagu, nipah juga sejenis tanaman malar (perennial) dan hasilnya boleh dituai empat (4) tahun selepas ditanam dan mampu mengeluarkan hasil selama lebih 50 tahun.

Nipah mempunyai potensi untuk berkembang dengan kawasan tanaman seluas kira-kira 111,351 hektar di kawasan pesisir dan muara sungai Sarawak.

Industri nipah amat signifikan dengan penghasilan produk gula nipah yang dikenali sebagai ‘gula apong’ dalam dialek tempatan Sarawak.

Sehubungan dengan penubuhan LKSN, perusahaan gula apong yang lazimnya diusahakan pekebun kecil luar bandar seakan-akan mendapat nafas baharu.

Idea pewujudan Taman Agro Nipah di Kampung Tambak, Pusa pada 2019 dengan peruntukan RM2 juta memperlihatkan suntikan elemen transformasi terhadap penghasilan gula apong.

Ladang nipah dibangunkan secara tersusun dan teratur dengan sistem rangkaian jalan dan air yang sesuai bagi memodenkan industri dan meningkatkan pengeluaran gula apong.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article