Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi (MESTR) ditubuhkan atas falsafah pendidikan adalah sangat penting untuk Sarawak.
Menurut Setiausaha Tetap MEITD, YBhg Datu Haji Azmi bin Haji Bujang, pihak Kerajaan Sarawak merasakan perlunya sebuah kementerian di peringkat negeri ditubuhkan untuk memantau dan membantu meningkatkan pendidikan secara amnya di Sarawak.
Jelas beliau, walaupun pendidikan adalah di bawah skop Kerajaan Persekutuan, ini tidak menghalang Kerajaan Sarawak untuk membantu dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan pendidikan dan kualiti pendidikan di negeri ini.
Sebelum penubuhan MEITD, peranan dalam hal ehwal pendidikan negeri dimainkan sedikit sebanyak oleh Yayasan Sarawak yang mewakili Kerajaan Sarawak dalam beberapa perkara berkaitan pendidikan.
Namun begitu, fokus utama Yayasan Sarawak adalah menyalurkan bantuan pendidikan, biasiswa dan sebagainya.
Penubuhan Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) dan Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS)
Apabila MEITD ditubuhkan, kementerian berperanan menggubal dasar pendidikan negeri, menjalankan kajian saintifik, mengetengahkan inovasi serta menggubal dasar berkaitan pembangunan bakat.
Di bawah portfolio Penyelidikan Teknologi sebuah badan berkanun, iaitu Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) ditubuhkan di bawah kementerian.
SRDC berperanan mengkoordinasi semua program penyelidikan dan aktiviti bagi menyediakan dana untuk penyelidikan teknologi di Sarawak yang menjurus kepada pengkomersialan idea dan penghasilan produk.
Pada ketika itu juga inisiatif menubuhkan sekolah menengah antarabangsa dimulakan. Tujuannya ialah untuk memberi peluang kepada anak-anak Sarawak yang berpendapatan rendah menikmati taraf pendidikan di peringkat global yang boleh diikuti di negeri ini, terutama untuk pelajar-pelajar di luar bandar.
“Umum mengetahui kos kemasukan ke sekolah antarabangsa agak tinggi dan kebiasaannya hanya golongan berpendapatan tinggi yang mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah berkenaan.
“Atas faktor tersebutlah kerajaan menubuhkan sekolah antarabangsa yang mampu dicapai oleh anak-anak tempatan, terutama yang berpendapatan rendah,” jelas Datu Haji Azmi.
Mengulas lanjut tentang cadangan awal penubuhan sekolah antarabangsa, beliau memaklumkan bahawa antara salah satu syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ialah, sekolah antarabangsa perlu ditubuhkan dan didaftarkan di bawah entiti swasta.
Bagi memenuhi syarat tersebut, sebuah syarikat di bawah Yayasan Sarawak ditubuhkan, iaitu YS International Education Sdn Bhd (YSIE).
Kemudian pada 2022, sekolah antarabangsa pertama milik Kerajaan Sarawak telah direalisasikan dengan dinamakan sebagai Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS) yang terletak di Petra Jaya.
Menurut Datu Haji Azmi, sekolah antarabangsa kedua akan dibuka di Batu 12, Kuching pada tahun ini.
Dalam tempoh dua (2) tahun dari sekarang, pihak kementerian juga merancang untuk membuka sekolah antarabangsa milik Yayasan Sarawak di Bahagian Sibu, Bintulu dan Miri.
Penubuhan sekolah antarabangsa adalah sesuatu yang beliau sifatkan sebagai sebuah kejayaan paling besar bagi MEITD.
Walaupun YSISS diletakkan di bawah seliaan Yayasan Sarawak, namun pihak MEITD berperanan dalam menggubal dasar, pengurusan serta hal-hal berkaitan pendekatan dan sebagainya.
Fokus Pada Pembangunan Infrastruktur Pendidikan
Sejak ditubuhkan, MEITD telah memberi fokus terhadap isu berkaitan kemudahan pendidikan yang sering berbangkit seperti isu sekolah daif.
Datu Haji Azmi memaklumkan, sebelum wujudnya MEITD, permohonan peruntukan oleh kerajaan negeri bagi membiayai sekolah-sekolah daif di Sarawak perlu dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan tidak boleh dikemukakan secara terus kepada KPM di Putrajaya.
Selepas tertubuhnya MEITD, permohonan boleh dibuat secara terus daripada MEITD kepada KPM.
“Sebelum MEITD ditubuhkan, permohonan perlu dikemukakan kepada JPNS tetapi sekarang kita boleh mengemukakan permohonan secara terus kepada KPM, iaitu di antara kementerian dengan kementerian. Jadi, dalam hal ini, kita telah menambah baik struktur dalam urusan tersebut,” ujar beliau.
Dalam menangani isu sekolah daif, pihak MEITD telah mengadakan beberapa siri lab bagi mengenal pasti jumlah sekolah daif di Sarawak.
Mengikut data yang diperolehi daripada lab pertama, MEITD mendapati sebanyak 1,020 sekolah di Sarawak dikategorikan sebagai sekolah daif.
Walau bagaimanapun, berikutan pengkategorian semula sekolah daif oleh KPM pada 2022 daripada mengguna pakai sistem Kategori 1 hingga Kategori 3 kepada sistem Kategori 1 hingga Kategori 7, sebanyak 461 buah sekolah di Sarawak berada dalam Kategori 6 dan 7, iaitu berstatus daif dan tidak selamat.
Daripada jumlah sekolah yang dikenal pasti itu, peruntukan disalurkan oleh KPM dan kerajaan negeri turut melaksanakan inisiatif membina sendiri sekolah-sekolah baharu.
Sekolah pertama yang dibina ialah SK Sungai Ulu Segan di Bintulu yang kini telah siap dan beroperasi sepenuhnya selain menaik taraf SK Merpati Jepang di Kuching.
Memenuhi Keperluan Bakat Tempatan
Selaras dengan penambahan portfolio Inovasi dan Pembangunan Bakat yang disusuli dengan perubahan nama kementerian, MEITD juga memberi fokus kepada pembangunan bakat sejajar dengan pembangunan Sarawak yang memerlukan ramai bakat dalam inovasi dan teknologi.
MEITD menjalinkan kolaborasi dengan para pelabur, pemain industri termasuk pihak universiti bagi memenuhi keperluan bakat dan kemahiran dalam bidang yang diperlukan oleh pihak pelabur dan industri.
“Apabila pelabur datang, kita berbincang mengenai apakah bidang kemahiran yang diperlukan oleh pelabur ataupun pihak industri yang ingin melabur di Sarawak.
“Dari situ, kita akan bekerjasama dengan pihak universiti ataupun institut latihan kemahiran bagi menyediakan kursus dalam bidang kemahiran yang diperlukan oleh pihak industri.”
Sungguhpun begitu, menurut Datu Haji Azmi, pihak universiti tidak semestinya dapat menawarkan kursus secara spesifik seperti yang diharapkan oleh pihak industri.
Namun, pihak universiti boleh menawarkan kursus kemahiran asas dalam bidang tertentu dan sekiranya pihak industri mahukan latihan khusus untuk memenuhi keperluan mereka, maka pihak industri sendiri perlu menawarkan latihan tersebut, jelas beliau.
Beliau menambah, bidang kerjaya yang ditawarkan oleh pihak industri perlulah menarik minat bakat tempatan yang mempunyai kemahiran tinggi misalnya dalam bidang elektronik dan automasi.
Dalam hal ini, peluang latihan kemahiran dan pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak industri perlulah setaraf dengan bakat dan kemahiran yang dimiliki oleh rakyat tempatan.
“Pihak industri perlu bijak menarik bakat tempatan sesuai dengan kemahiran yang mereka miliki dan jika tidak, bakat-bakat ini akan mencari peluang di luar Sarawak,” tegas beliau.