Datu Wilson melihat persekitaran dan aktiviti di Rajawali Oil Mill
Majlis Sukan dan Kebajikan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) Bintulu dipuji kerana usaha mereka dalam penganjuran Program MAKSAK Sarawak Turun Ladang ke Bintulu dengan jayanya.
YB Datu Wilson Baya Dandot , Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Yang Dipertua MAKSAK Sarawak berkata demikian pada majlis makan malam yang diadakan bersempena dengan program itu di sebuah hotel di Bintulu pada awal Julai lepas.
Katanya, usaha itu membuktikan kesungguhan dan komitmen MAKSAK Bintulu yang cekap, efisien dan kreatif untuk mencapai matlamat bukan sekadar untuk berhibur dan bergembira tetapi juga untuk merealisasikan bakat kepimpinan, kebijaksanaan untuk bekerjasama, di samping menguji kredibiliti para kakitangan kerajaan di Bahagian Bintulu.
Beliau menjelaskan bahawa dalam satu mesyuarat yang dipengerusikannya awal tahun ini, beliau telah meminta supaya MAKSAK Bintulu menganjurkan sebuah program berupa lawatan di bahagian itu.
Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa siri lawatan yang telah diadakan bukan sahaja telah memberi mereka peluang untuk mendekati bagaimana kilang memproses kelapa sawit diuruskan melalui penekanan pada aspek Total Quality Management (TQM), tetapi juga telah mewujudkan talian kerjasama di antara agensi kerajaan dan swasta.
Menurutnya, kerjasama itu akan membolehkan kedua-dua pihak bergandingan dengan lebih rapat dalam perkara berkaitan perkhidmatan awam pada masa hadapan.
Jelasnya, melalui jalinan hubungan persefahaman dan kerjasama di antara kedua pihak, masing-masing akan memainkan peranan mencari jalan dan peluang untuk terus membangunkan negeri ini ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020.
Sungguhpun demikian, beliau berharap agar MAKSAK Bintulu yang diketuai oleh Residen Bintulu, Dr Razali Abon akan terus mengadakan pelbagai jenis aktiviti di sana demi kemajuan MAKSAK Bintulu.
Kira-kira 40 ahli MAKSAK yang diketuai oleh Datu Wilson telah menyertai program itu yang melibatkan beberapa siri lawatan iaitu lawatan ke Austral Edible Oil (AEO) in Tanjung Kidurong, Ladang Sawit Rajawali disusuli dengan kunjungan ke Rajawali Oil Mill.
Turut diadakan ialah Program Health Screening MAKSAK Bintulu anjuran Kelab Perubatan Bintulu dan aktiviti permainan golf di Rajawali Golf Course.