- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Jabatan Kerajaan Perlu Wujud Unit Pantau

Must read

Aset Dan Kemudahan

Perdana Menteri, Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 13 Ogos 2007, dipetik oleh BERNAMA mengarahkan semua
jabatan kerajaan menubuhkan unit pemantau untuk membuat pemeriksaan berkala
bagi kesemua aset dan kemudahan yang disediakan di pejabat masing-masing untuk
memastikan ia sentiasa diselenggara dengan baik.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata langkah itu boleh
dilaksanakan dengan melantik penjawat awam di jabatan masing-masing untuk membuat
pemeriksaan secara bergilir-gilir.
"Tugaskan kakitangan secara tetap untuk memeriksa setiap aset dan kemudahan
misalnya tandas bagi memastikan ia tidak sahaja bersih malah berbau harum, atau
sebarang tanda atau masalah yang perlu ditangani serta-merta dan membuat
laporan segera kepada jabatan penyelenggaraan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di
Konvensyen Pengurusan Aset dan Fasiliti Negara (Nafam) 2007 di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, berkata seperti di rumah, seharusnyalah
aset dan kemudahan di pejabat juga dipastikan sentiasa dalam keadaan bersih
serta selamat bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini.

Beliau turut menegaskan bahawa matlamat menambah baik sistem
penyelenggaraan aset negara boleh dicapai dengan mengadakan perubahan minda dan
sikap kepada mentaliti kelas pertama.

Perdana Menteri juga
mengarahkan
Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk
menyediakan rangka kerja baru yang lebih cekap dan berkesan dalam usaha
meningkatkan lagi pengurusan aset dan kemudahan negara.

Rangka kerja tersebut akan menjadi asas pelan tindakan yang
akan mengandungi garis panduan yang jelas serta peraturan terperinci yang
merangkumi sistem pengurusan kesemua aset dan kemudahan negara.

Beliau berkata kes kerosakan aset dan kemudahan negara sejak
kebelakangan ini seperti insiden siling bocor, lebuh raya yang mengalami
kerekahan dan bangunan baru yang tidak mengikuti piawaian, tidak sepatutnya
berlaku.

Ini kerana kejadian sebegitu boleh memberi tanggapan negatif
mengenai prestasi dan kebolehan sektor awam serta sektor swasta dalam
menguruskan aset dan kemudahan negara, katanya.
Perdana Menteri berharap konvensyen itu dapat menghasilkan cadangan yang
konkrit, praktikal serta realistik yang boleh menyumbang kepada pembentukan
rangka kerja pengurusan aset yang menjadi asas kepada pelan tindakan kerajaan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article