- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Teknologi Dalam Menjadikan Sarawak Hub Padi

Must read

Di Sarawak, antara mesin dan teknologi baharu yang telah diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) ialah traktor pertanian, mesin pembajak tanah, mesin jentuai lengkap, mesin pelerai padi dan mesin pengiling beras.

Traktor pertanian yang mempunyai kuasa kuda traktor dari 15-100 HP dilengkapi dengan implemen yang bersesuaian untuk kegunaan membajak tanah dan kerja-kerja pengangkutan.

Manakala, mesin pembajak tanah pula digunakan di kawasan tanah lapang atau kebun untuk tujuan penyediaan kawasan atau tanah.

Contohnya, implemen yang dipasang di mesin pembajak adalah seperti mould plough, bajak piring dan bajak rotor untuk tujuan menggembur tanah.

Seterusnya, mesin jentuai lengkap yang mempunyai julat kuasa kuda dalam 15-105 HP dapat meningkatkan produktiviti pertanian dengan menuai hasil besar-besaran tanaman padi dan menjimatkan masa serta kos.

Mesin pelerai padi digunakan untuk melerai padi, menggantikan aktiviti manual seperti membanting padi dan ia mampu meleraikan padi dengan kapasiti lebih dari 1,500-kilogram dalam satu jam.

Mesin pengiling beras digunakan untuk mengisar sekam padi sehingga menjadi beras dan ia mampu menghasilkan pengeluaran besar sehingga 150-kilogram dalam masa satu jam.

Kaedah menuai padi menggunakan teknologi moden

Salah satu teknologi baharu yang digunakan dalam sektor pertanian di Sarawak ialah teknologi dron yang kini dilihat semakin popular dan mendapat tempat dalam kalangan petani moden.

DJI Agras T10 yang berharga RM60, 000 adalah dron pertama yang dibeli oleh Jabatan Pertanian Sarawak untuk membantu meringankan kerja-kerja petani seperti meracun, menabur baja dan benih dalam masa yang sangat singkat.

Justeru, pembudayaan teknologi baharu ini amat penting kerana ia mampu merealisasikan usaha Sarawak untuk mengubah landskap pertanian padi dan penggunaan sumber air yang cekap.

Semasa berucap pada Majlis Samarindok Aidilfitri 2024M/1445H anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak di salah sebuah hotel terkemuka di Kuching pada 7 Mei 2024;

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata bahawa Sarawak mempunyai azam untuk mengubah landskap pertanian padi di Sarawak dengan memanfaatkan teknologi canggih.

Premier Sarawak ketika berucap pada Majlis Samarindok Aidilfitri 2024M/1445H anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak

Beliau berkata demikian kerana mendapati Sarawak pada masa kini masih mengimport beras walaupun negeri kita memiliki tanah dan air yang mencukupi untuk mengeluarkan beras sendiri.

Walaupun demikian, beliau pada masa yang sama amat teruja untuk berkongsi kejayaan kajian yang dijalankan oleh Kerajaan Sarawak bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) di beberapa lokasi di negeri ini termasuk di Gedong dan Lubok Punggor.

Menurut beliau, antara kejayaan yang telah diraih menerusi tersebut ialah, Sarawak telah mampu mengeluarkan lapan (8) tan padi dalam sehektar tanah berbanding menggunakan kaedah lama sebelum ini yang hanya mampu mengeluarkan satu (1) tan sahaja.

Kerana itu, beliau menegaskan bahawa, ini telah membuktikan bahawa Sarawak boleh mencapai potensi pengeluaran beras yang luar biasa dengan suntikan teknologi baharu.

Mengenai penggunaan sumber air yang cekap di Stumbin, Lingga pula, beliau menyifatkan ia sebenarnya merupakan satu inisiatif yang sangat menguntungkan rakyat.

Jelas beliau, air dipam dari sungai Batang Lupar ke tangki aras tinggi; kemudian air akan dilepaskan semula melalui pemasangan paip dan akhirnya ia akan memutarkan dinamo dan turbin sehingga menghasilkan elektrik seperti teori graviti.

Tambah beliau, air yang dikeluarkan juga boleh digunakan untuk mengairi tanaman padi serta mewujudkan sistem yang cekap dan mampan sekaligus akan dapat meningkatkan pendapatan rakyat di kawasan pesisir yang kebanyakannya didiami oleh orang Melayu.

Premier Sarawak berkata, jika kita boleh menguasai teknologi, maka pendapatan kita juga boleh meningkat.

Ini bermakna, penggunaan teknologi sangat penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi pertanian mapan selain membantu meningkatkan status pendapatan petani, nelayan, penternak dan usahawan tani.

Bila kerja kita lebih cepat, kita juga dapat menikmati hasil yang lebih cepat dengan memperoleh hasil yang lebih berkualiti dengan bantuan teknologi baharu masa kini.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article