- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Jangkauan Masyarakat Berilmu

Must read

Kekuatan sesuatu negara amat bergantung kepada corak pemikiran budaya masyarakatnya terhadap ilmu pengetahuan, malah ‘aset” bernilai adalah masyarakat yang berilmu yang dilihat seiring dengan usaha kerajaan membentuk modal insan berkualiti dan ke arah k-society (masyarakat bermaklumat), kata Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Adalah dikhuatiri sekiranya masyarakat tidak dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya, matlamat misi ke arah negara maju menjelang 2020 tidak akan tercapai.

Menurut Ketua Menteri lagi, pada waktu itu amat memerlukan masyarakat yang benar-benar bersedia menghadapi cabaran malah persaingan dalam dunia yang penuh kompetitif.

Tambah beliau, bersama-sama ilmu pengetahuan, masyarakat diajak untuk berfikir ke hadapan dan setanding dengan rakyat di negara maju.

Jelasnya, dalam konteks pembangunan negeri Sarawak, pendedahan masyarakat luar bandar terhadap ilmu pengetahuan, pastinya akan memudahkan usaha kerajaan melaksanakan program dan dasar pembangunan untuk mereka.

Oleh itu menurut beliau, adalah penting generasi yang ada kini perlu dilengkapi dengan kesedaran ilmu pengetahuan yang tinggi.

Malah kini menurutnya, sudah wujud kecenderungan positif generasi muda terhadap ilmu pengetahuan hasil perkembangan pesat ICT berbanding generasi terdahulu.

“Semua prasarana sudah disediakan bagi menjadikan rakyat kita sebagai masyarakat berilmu”, jelasnya ketika berucap pada Majlis Menjunjung Budi dan Pelancaran Direktori Perpustakaan Awam Sarawak 2006 baru-baru ini.

Bagi meningkatkan keberkesanannya, pembentukan masyarakat berilmu perlulah dilihat dalam konteks menyeluruh bukan sahaja di kawasan bandar malah menjangkaui kawasan luar bandar.

Beliau turut menekankan betapa pentingnya satu jalinan dalam bentuk pelaksanaan program kesedaran serta penganjuran aktiviti yang menarik di perpustakaan awam yang mengalakkan pembudayaan ilmu pengetahuan tanpa mengira masyarakat di bandar mahupun di luar bandar.

Masyarakat yang membudayakan ilmu pengetahuan, jelasnya adalah terbukti masyarakat bersedia menerima perubahan dan sentiasa berusaha memajukan diri mereka.

Kerajaan menurut beliau, sentiasa mengalakkan pembinaan lebih banyak perpustakaan di kawasan luar bandar yang bukan sahaja memberikan akses kepada ilmu pengetahuan tetapi turut dilengkapi dengan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Beliau turut berharap agar negeri ini dapat mempelajari contoh kejayaan bandar raya Munich yang menghubungkan 700 perpustakaannya sehingga mampu mewujudkan bandar raya ilmu.

Terdahulu, semasa berucap pada majlis yang sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Wilson Baya Dandot berkata setakat ini, terdapat 249 perpustakaan negeri, bandar dan kampung seluruh Sarawak serta (9) sembilan perpustakaan bergerak yang memberi perkhidmatan kepada lebih 200 lokasi luar bandar.

Daripada jumlah tersebut, terdapat sekurang-kurangnya 210 buah perpustakaan awam termasuk di pekan-pekan kecil dan kawasan jauh di pedalaman yang telah dilengkapi dengan kemudahan internet.

Jelas beliau lagi, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, beberapa buah perpustakaan desa diwujudkan disamping pengantian bangunan baru dibina bagi mengantikan bangunan yang lama.

Pada penghujung tahun lepas (2006), terdapat 228 buah bangunan tetap perpustakaan awam di Sarawak dengan 52 buah terletak di bandar dan pekan utama, manakala selebihnya 176 buah terletak di kawasan desa.

Menambahkan lagi, akses perkhidmatan perpustakaan, turut disediakan kemudahan sembilan (9) perpustakaan bergerak di Kuching, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah dan Miri dengan dua unit daripadanya adalah e-pustaka (perpustakaan bergerak multimedia) yang beroperasi di Lawas dan Kuching.

Menurutnya lagi di bawah Rancangan Malaysia Ke-lapan (RMK 8), Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sejumlah peruntukan besar bagi membangunkan perpustakaan awam.

Sarawak, jelasnya turut menerima manfaat daripada perkembangan tersebut antaranya 11 buah daripadanya adalah di bawah projek Perpustakaan Desa Siber Ilmu (PDSI) dan 198 buah adalah di bawah projek Universal Service Provision (USP) manakala sebanyak 23 buah perpustakaan dibiayai penuh oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan lima (5) buah di bawah “projek khas” di bawah belanjawan negara untuk pengujudan perpustakaan seluruh negara.

Majlis tersebut diadakan bagi memberi penghargaan kepada organisasi-organisasi dan orang perseorangan yang telah memberi sumbangan kepada Pustaka dari segi wawasan, tenaga dan bahan manakala pelancaran direktori Perpustakaan Awam 2006 pula, mengetengahkan meliputi maklumat lokasi, perkhidmatan dan koleksi yang disediakan di Sarawak.



Info Terkini


  • Pada tahun 2006, terdapat seramai 667 staf perpustakaan di seluruh Sarawak
  • Koleksi keseluruhan berjumlah 3,928,818 bahan dan sebanyak 2,675,632 transaksi pinjaman pada tahun 2006
  • Seramai 406,640 orang keahlian perpustakaan dan seramai 3,265,044 pelawat berkunjung ke perpustakaan di seluruh Sarawak
  • Dalam RMK 8 (2001-2005), antara usaha pembangunan perpustakaan ini melibatkan projek Universal Service Provision (USP) yang bermula pada 2003 dengan menaiktaraf kemudahan ICT.Projek tersebut diterajui Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
  • Sembilan buah perpustakaan bergerak beroperasi di Sarawak, dua unit daripadanya adalah e-pustaka (perpustakaan bergerak multimedia) yang beroperasi di Lawas dan Kuching




Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article