- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Tujuh Projek Basmi Kemiskinan Tegar di Bandar:

Must read

Sasar capai 2.8 peratus kemiskinan menjelang 2010

Kemiskinan, satu perkataan yang lazim dikaitkan dengan kedaaan sosioekonomi masyarakat yang mundur di kawasan luar bandar. Namun, dalam suasana negara meniti arus menuju sebuah negara maju menjelang 2020, kemiskinan pasti wujud tidak mengira di luar bandar mahupun di bandar.

Ramai mungkin bersetuju jika dikatakan bahawa berhadapan dengan kemiskinan di bandar lebih perit berbanding dengan mereka yang mendiami kawasan luar bandar.

Semua perkhidmatan dan barang keperluan di bandar memerlukan wang.

Kenyataan itu benar jika kita mengambil kira kos keperluan asas yang semakin meningkat. Lagipun ketiadaan tanah untuk dikerjakan dan sumber makanan alternatif dari hutan merumitkan keadaan.

Justeru, langkah kerajaan memberi perhatian kepada segenap lapisan masyarakat di bandar mahupun luar bandar dalam usaha membasmi kemiskinan harus mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak.

Usaha kerajaan mendokong matlamat untuk membasmi kemiskinan itu turut terkandung di dalam Teras Ketiga Misi Nasional iaitu untuk menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif.

Ketika ini, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Bandar di Sarawak ialah RM777.00, berbanding kira-kira RM500 ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

PGK terendah adalah di Pahang iaitu RM583.00 sementara tertinggi ialah di Sabah dengan RM886.00.

Angka PGK bandar itu telah digunakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Bahagian Pembasmian Kemiskinan Bandar untuk melaksanakan sebuah program khusus dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) yang dikenali sebagai Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).

PPKB melibatkan sejumlah 144 buah pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, 25 buah daripadanya adalah PBT di Sarawak.

Bagi menjayakan PPKB, sejumlah RM50 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan tujuh jenis projek.

Matlamat PPKB dalam RMK9 adalah membasmi kemiskinan tegar serta mengurangkan separuh kemiskinan keseluruhan kepada 2.8 peratus menjelang tahun 2010.

Kadar kemiskinan dalam negara berada pada tahap 5.7 peratus dan kemiskinan tegar pada tahap 1.2 peratus pada tahun 2004.

Sementara itu, misi PPKB adalah untuk meningkatkan kualiti hidup serta menanam sikap berdikari dan ingin maju di kalangan golongan miskin di bandar.

Golongan sasarnya adalah keluarga miskin di bandar yang mempunyai pendapatan isirumah yang kurang daripada PGK yang telah ditetapkan mengikut negeri serta mempunyai taraf warganegara Malaysia.


Tujuh Projek PPKB

KPKT telah memulakan pelaksanaan tujuh projek di bawah PPKB bermula pada tahun 2006 iaitu


1. Perumahan Keluarga Miskin

Bantuan sewa rumah untuk keluarga miskin yang meliputi semua jenis rumah kecuali rumah setinggan serta rumah program sewa kemudian beli milik Kerajaan Negeri.



2. Pengurangan Beban Tanggungan Keluarga

Meringankan beban tanggungan keluarga miskin melalui bantuan persiapan ke institusi pendidikan atau kemahiran, kos pusat jagaan kanak-kanak, kos pengangkutan ke sekolah atau tempat kerja dan kos rawatan dialisis buah pinggang.

3. Pusat Sejahtera

Pusat sehenti yang berfungsi sebagai pusat pendaftaran, maklumat dan aktiviti PPKB.


4. Mewujudkan Peluang Pekerjaan

Meningkatkan pendapatan keluarga miskin dengan mewujudkan peluang pekerjaan melalui kerjasama dengan majikan.


5. Pendidikan dan Latihan

Meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran keluarga miskin melalui latihan kemahiran dan program motivasi. Bantuan yang diberi adalah kos untuk mengikuti latihan dan elaun sara hidup.


6. Pangkalan Data

Mewujudkan satu pangkalan data kemiskinan bandar yang lengkap (Urban Poverty Information System, UPIS) sebagai rujukan dalam melaksanakan PPKB.


7. Bantuan Ihsan Penduduk Miskin di Bandar

Bantuan untuk meringankan beban keluarga miskin yang ditimpa kesusahan seperti diberhentikan kerja, musnah tempat kediaman, hilang upaya akibat kemalangan (bekerja sendiri), kematian ketua keluarga dan musnah tempat bekerja (bekerja sendiri).


Pelaksanaan PPKB

Semua 144 buah PBT telah meletakkan seorang Pegawai Penyelaras di organisasi masing-masing yang berfungsi sebagai liaison officer bagi perancangan dan pelaksanaan projek-projek di bawah PPKB.

Buat permulaan PBT terlibat secara langsung dalam enam projek kecuali projek pangkalan data.

Pada tahun 2005, Jabatan Perangkaan telah mengadakan banci di 58 buah bandar yang meliputi 55 buah PBT.

Usaha itu bertujuan untuk mengenalpasti golongan sasar iaitu keluarga miskin di kawasan bandar yang layak mendapat manfaat daripada PPKB.

Bancian itu telah mengenalpasti sejumlah 15,272 keluarga miskin. Senarai dari bancian tersebut kemudian dikemukakan kepada semua PBT berkenaan untuk tujuan semakan semula dan pengesahan.

Bagi 88 buah PBT yang tidak terlibat dengan bancian, usaha untuk mengenalpasti golongan sasar dibuat melalui sumber lain khususnya dari Kerajaan Negeri masing-masing.

PBT juga boleh mendaftar keluarga miskin yang dikenalpasti oleh mana-mana pihak seperti Ahli Majlis PBT, Pegawai PBT, Wakil Rakyat, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Penghulu, Pengerusi Persatuan Penduduk atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Setiap PBT seterusnya akan mengesahkan dan memperakui permohonan sebelum dikemukakan kepada KPKT yang kemudiannya akan menyemak borang tersebut bagi tujuan pengagihan peruntukan kepada PBT serta untuk rekod daftar keluarga miskin.

Borang yang tidak lengkap akan dikemukakan semula kepada PBT untuk pembetulan manakala keluarga yang tidak layak tidak akan dipertimbangkan.

Apabila diluluskan, KPKT akan mengeluarkan ‘kad sejahtera’ kepada ketua isu rumah keluarga miskin sebagai pengenalan diri.

Bagi memastikan keberkesanaan serta manfaat program itu sampai kepada golongan sasaran, maklumat berhubung golongan sasar akan dikemaskini setiap akhir tahun sebelum peruntukan untuk tahun berikutnya diberikan.

Sementara itu, setiap Pegawai Penyelaras PPKB pula dikehendaki menyediakan laporan prestasi perbelanjaan PPKB di PBT dengan menunjukkan butiran terperinci serta pengiraan perbelanjaan bagi setiap projek yang telah dilaksanakan di bawah PPKB setiap bulan.

Oleh kerana PPKB merupakan program yang baru untuk dilaksanakan dalam RMK9, peranan Kerajaan Negeri dan PBT begitu penting khususnya dalam proses pelaksanaannya.

Selaku perancang dan pengurus bandar, PBT juga harus melihat kemiskinan bandar sebagai isu mustahak yang perlu ditangani selain daripada isu lazim seperti kebersihan dan kawalan pembangunan.

Apabila berjaya dilaksanakan dengan berkesan, tidak mustahil untuk negara mencapai matlamat menurunkan kadar kemiskinan keseluruhan kepada 2.8 peratus menjelang tahun 2010.


Info PPKB

Bantuan Sewa Rumah

  • Bayaran sewa rumah RM124 atau kadar sebenar mengikut yang terendah.
  • Kategori rumah yang layak adalah rumah PPR, rumah majlis, rumah transit, rumah panjang, rumah milik persendirian dan bilik.
  • Tidak meliputi rumah setinggan dan rumah program sewa kemudian beli milik Kerajaan Negeri.
  • Bayaran sewa bilik RM70 atau kadar sebenar mengikut yang terendah.
  • Tempoh bantuan adalah Januari/bulan sebenar keluarga menyewa hingga Disember tahun semasa.


Bantuan Kemasukan ke Sekolah/IPT

  • Sekolah : 2 pasang pakaian seragam, 2 pasang kasut sekolah, 1 beg dan alat tulis (1 dozen pensil, 1 dozen pen, 1 kotak pensil warna dan 1 pembaris) setiap tahun.
  • IPT : Tunai RM1000 sekali kemasukan ke IPT.


Bantuan Kos Jagaan Kanak-Kanak ke Taska/Tadika/Jiran/Individu

  • Hanya layak kepada ibu yang bercadang untuk bekerja buat pertama kali/ bekerja semula sahaja sebagai galakan untuk mereka bekerja.
  • Permohonan dibuat hanya setelah ibu mendapat pekerjaan.
  • Bayaran bulanan RM200 atau kadar sebenar mengikut yang terendah.
  • Hanya melibatkan kanak-kanak sehingga darjah 3 sahaja.
  • Bantuan diberi pada bulan penerima didaftar di bawah skim bantuan KPKT sehingga Disember tahun semasa.


Bantuan Kos Pengangkutan ke Tempat Kerja dan Sekolah

  • Bayaran bulanan RM30 untuk setiap pelajar dan RM50 untuk ibu bekerja.
  • Hanya layak kepada ibu yang bercadang untuk bekerja buat pertama kali sahaja sebagai galakan untuk mereka bekerja. Permohonan dibuat hanya setelah ibu mendapat pekerjaan.
  • Bantuan diberi pada bulan penerima didaftar di bawah skim bantuan KPKT sehingga Disember tahun semasa.


Bantuan Kos Rawatan Dialisis Buah Pinggang

  • Kos rawatan – mengikut kadar yang dikenakan oleh pusat dialisis.
  • Sekiranya bantuan diterima dari agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Baitulmal, NGO dan jumlah bantuan kurang dari kos rawatan, PBT akan membiayai perbezaan kos rawatan tersebut.
  • Kos pengangkutan – Pengangkutan awam (termasuk teksi). Resit/ tiket tidak diperlukan.
  • Bantuan diberi pada bulan pesakit didaftar di bawah skim bantuan KPKT sehingga Disember tahun semasa.


Latihan Kemahiran

  • Kos sebenar yang ditetapkan oleh institusi latihan/penganjur.
  • Hanya melibatkan institusi latihan awam sahaja.
  • Kursus/ latihan teknikal yang bertaraf sijil.
  • Bagi yang telah memiliki sijil, kursus/ latihan yang bertaraf diploma dibenarkan untuk diikuti.
  • Elaun saraan hidup RM150 sebulan semasa mengikuti kursus/ latihan.


Bantuan Ihsan Penduduk Miskin di Bandar

  • Pemberian one off maksimum sebanyak RM3,000 untuk keluarga miskin tegar.
  • Pemberian sekali sahaja, maksimum sebanyak RM2,000 untuk keluarga miskin.
  • Kategori kejadian yang layak.

(i) Diberhentikan kerja (masalah majikan) dan telah menganggur lebih 3 bulan

(ii) Musnah tempat kediaman

(iii) Hilang upaya akibat kemalangan (bekerja sendiri)

(iv) Kematian ketua keluarga

(v) Musnah tempat bekerja (bekerja sendiri).


PBT di Sarawak yang terlibat dalam PPKB

Dewan Bandaraya Kuching, Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Majlis Bandaraya Miri, Majlis Perbandaran Padawan, Majlis Perbandaran Sibu, Majlis Daerah Bau, Majlis Daerah Betong, Majlis Daerah Dalat dan Mukah, Majlis Daerah Konowit, Majlis Daerah Kapit, Majlis Daerah Lawas, Majlis Daerah Limbang, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu, Majlis Daerah Lubuk Antu, Majlis Daerah Lundu, Majlis Daerah Maradong dan Julau, Majlis Daerah Marudi, Majlis Daerah Matu dan Daro, Majlis Daerah Samarahan, Majlis Daerah Saratok, Majlis Daerah Sarikei, Majlis Daerah Serian, Majlis Daerah Simunjan, Majlis Daerah Sri Aman dan Majlis Daerah Subis.


Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article