- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Kesukarelawanan Membentuk Sahsiah Terpuji Belia

Must read

Melibatkan diri dalam kesukarelawanan mampu membentuk keperibadian individu dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan sosioekonomi negara.

Menjadi sukarelawan tidak memerlukan kemahiran spesifik ataupun sijil akademik yang tinggi tetapi cukup sekadar mempunyai ciri penting sukarelawan, iaitu suka, rela dan ikhlas.

Menurut Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBSNS), Encik Lamat anak Nyalau, sukarelawan bermaksud individu yang melakukan sesuatu kerja atau memberi khidmat secara suka rela tanpa mengharapkan sebarang imbuhan sama ada dalam bentuk wang ataupun material.

Pengarah JBSNS, Encik Lamat anak Nyalau Ketika ditemu bual RAKAN Sarawak

“Sukarelawan adalah gabungan dua perkataan, iaitu suka dan rela. Maksudnya, individu yang menjalankan kerja kerana dia mahu memberi faedah kepada orang lain tanpa mengharapkan bayaran ataupun balasan dalam bentuk material kerana dia faham dan berpandangan bahawa menjalankan kerja secara suka rela dapat memberi impak kepada orang yang dibantu,” jelas beliau ketika ditemu bual RAKAN Sarawak.

Melihat senario di Sarawak, beliau menerangkan, penerapan semangat kesukarelawanan melalui aktiviti anjuran JBSNS adalah lebih terbuka kepada semua peringkat umur dan lapisan masyarakat.

Pihak JBSNS tidak hanya menyasarkan penglibatan golongan muda dan mereka yang tidak bekerja, malah ramai dalam kalangan sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan awam dan swasta dewasa yang berkerjaya seperti pegawai perubatan, peguam, guru termasuk pegawai dari agensi keselamatan dan penguatkuasaan seperti polis, tentera dan sebagainya.

Di peringkat nasional, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenalkan program kesukarelawanan utama yang dinamakan Skuad Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) untuk dikendalikan di peringkat jabatan di setiap negeri.

Program SATRIA telah dilancarkan pada 2022 dengan tujuan untuk melahirkan sukarelawan dalam kalangan belia yang mempunyai pengetahuan, kemahiran, sikap dan tanggungjawab serta mempunyai nilai-nilai kesukarelawanan yang tinggi, saling membantu dan peka dengan keadaan sekeliling.

Setakat ini, seramai lebih 100 orang yang telah mendaftar dengan SATRIA di Sarawak.

Beliau menjelaskan, mereka yang telah mendaftar akan dipanggil untuk terlibat dalam program kesukarelawanan sekiranya diperlukan seperti membantu menjalankan kerja-kerja pemulihan pasca bencana, menyampaikan sumbangan kepada badan-badan amal, rumah ibadat dan bantuan kepada golongan memerlukan serta kerja-kerja amal yang lain.

KBS menyasarkan penyertaan belia dalam SATRIA dalam lingkungan individu berumur dari 15 tahun ke atas.

Peserta SATRIA akan menjalani beberapa peringkat latihan, iaitu Latihan Khusus tahap Asas untuk Pelaksana, Tahap Pertengahan untuk Penyelia dan Tahap Lanjutan untuk Pemimpin.

Selain itu, Latihan Efektif turut dijalankan yang merangkumi Kemahiran Khusus, Penempatan Latihan Amali dan Pelaksanaan Projek manakala skop latihan pula termasuklah Bantu Mula Psikologi, Pertolongan Cemas, Asas Rekreasi/Asas Ikatan, Pengurusan Acara, Pengurusan Organisasi dan banyak lagi.

Dalam temu bual tersebut, Encik Lamat turut berkongsi tentang statistik bilangan pertubuhan belia dan trend penglibatan belia dalam aktiviti kesukarelawanan di Sarawak.

Merujuk pada data yang dikeluarkan oleh Pendaftar Pertubuhan Belia Zon Sarawak (ROY), tiada badan khusus yang mendaftar atas nama sukarelawan setakat ini.

Walau bagaimanapun, pada tahun ini jumlah pertubuhan belia yang berdaftar dengan ROY di Sarawak adalah sebanyak 290 buah dengan jumlah keahlian seramai 7,376 orang belia yang berumur di bawah 30 tahun.

Tambah beliau, pertubuhan-pertubuhan belia tersebut juga adalah rakan strategik JBSNS yang kerap terlibat dalam penganjuran program-program berbentuk kesukarelawanan.

Masyarakat mungkin beranggapan bahawa golongan belia hari ini lebih gemar menyendiri dan tidak peka terhadap persekitaran kehidupan bermasyarakat, apatah lagi melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan kerana terlalu asyik dengan peranti digital dan media sosial.

Sungguhpun begitu, apabila JBSNS menganjurkan program yang memerlukan khidmat sukarelawan, perkara sebaliknya yang berlaku. Menurut beliau, sambutan daripada belia untuk terlibat begitu memberangsangkan.

Sebagai contoh, apabila pengambilan sukarelawan dibuka untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 yang akan diadakan di Sarawak pada Ogos tahun ini, jumlah belia yang memohon jauh melebihi jumlah sukarelawan yang diperlukan.

Hal tersebut menurut beliau menunjukkan bahawa semangat kesukarelawanan masih tinggi dalam kalangan belia hari ini, khususnya di Sarawak.

Setiap program anjuran JBSNS akan menerapkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia kerana belia hari ini ialah bakal pemimpin pada masa akan datang.

Encik Lamat berpandangan bahawa belia ialah aset terpenting negara. Oleh yang demikian, corak pemerintahan dan pembangunan sosioekonomi masa depan negeri dan negara akan ditentukan oleh belia hari ini.

Belia kini tidak hanya berperanan sebagai tenaga utama untuk membangunkan negara, malah juga belia diharapkan untuk menghasilkan cetusan idea-idea terkini serta berkeupayaan dalam melaksanakan pembaharuan sosial.

“Oleh kerana itulah, sebagai seorang belia yang kita boleh harapkan untuk memimpin negeri kita suatu hari kelak, salah satu perkara yang paling penting yang perlu ada dalam diri belia ialah semangat kesukarelawanan.

“Tidak perlu kita bercakap tentang perkara yang besar, kita beri contoh kecil misalnya, apabila kita terjumpa sampah dibuang merata tempat, kita sendiri perlu ada sikap sukarela untuk mengutip dan membuangnya di tempat yang sepatutnya,” tegas beliau.

Beliau memberikan contoh, di negara maju seperti Jepun, semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan dalam menjaga kebersihan sudah menjadi budaya dan mendarah daging dalam masyarakat mereka dan bukan kerana mereka hanya mematuhi peraturan dan undang-undang semata-mata.

Sikap sukarela dan kesedaran sedemikianlah yang perlu diterapkan di peringkat usia yang lebih awal bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai semangat kesukarelawanan, tambah beliau.

Beliau turut mencadangkan supaya budaya kesukarelawanan sebaik-baiknya diterapkan lebih awal seperti di peringkat sekolah.

“Saya sangat percaya bahawa sebenarnya, jika kita nak sematkan budaya kesukarelawanan dari awal, saya rasa ia harus diterapkan ke dalam sistem pendidikan di peringkat pra sekolah ataupun sekolah rendah selain daripada program dan aktiviti yang jabatan dan pihak lain laksanakan pada masa ini,” ujar beliau.

Jelas beliau lagi, penglibatan belia dalam aktiviti kesukarelawanan akan melahirkan belia bersikap altruism, iaitu sikap individu yang mengutamakan keperluan, kebajikan dan kesenangan orang lain.

Penglibatan belia dalam aktiviti kesukarelawanan juga akan melahirkan modal insan yang menghayati nilai kasih sayang sesama insan serta peka dan sensitif terhadap sekeliling dan keperluan individu lain.

Penglibatan belia dalam aktiviti kesukarelawanan juga menggalakkan kerjasama dengan individu dari latar belakang yang berbeza, seterusnya dapat membentuk belia yang memahami, menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya dan sosial, terutama di Sarawak yang mempunyai bilangan penduduk pelbagai etnik yang paling banyak di Malaysia.

Atas sebab itulah pentingya program kesukarelawanan anjuran JBSNS diharapkan dapat membentuk sahsiah terpuji dalam melahirkan belia yang peka terhadap sekeliling.

Lebih daripada itu, pihak JBSNS mahu belia tempatan faham bahawa mereka hidup dalam satu komuniti dan menyumbang khidmat bakti kepada komuniti tanpa mengharapkan ganjaran.

Mengakhiri bual bicara, Encik Lamat merumuskan bahawa setiap individu, khususnya belia di Sarawak dapat melakukan perubahan dalam diri mereka dan menganggap kesukarelawanan sebagai cabang hidup.

Belia perlu melibatkan diri dengan aktiviti kesukarelawanan bagi menimba ilmu dan pengalaman berharga yang dapat menjadi bekalan untuk mereka menempuh khidupan pada masa akan datang.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article