- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

RM500 Juta Diperuntukan Untuk Sistem Pengairan Padi Pada 2025

Must read

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg memaklumkan Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan RM500 juta untuk sistem pengairan padi pada tahun 2025 dan tambahan RM500 juta pada tahun 2026.

Selain itu, Kerajaan Sarawak turut merancang untuk membangunkan lebih banyak kawasan pengeluaran padi di Limbang dan Lawas.

Menurut beliau, dengan rancangan tersebut, beliau yakin Sarawak akan dapat menghasilkan 400,000 hingga 500,000 metrik tan padi setahun bermula pada tahun hadapan.

Tambah beliau, apabila rancangan tersebut berjaya membuahkan hasil setelah ia dilaksanakan, maka Sarawak akan dapat kongsikan hasil pengeluaran padi dengan rakan-rakan di Semenanjung Malaysia selain mengeksport padi di luar negara.

Premier Sarawak menerima cenderamata berupa buku “Underutilised Fruits of Malaysia” Jilid 1 daripada Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI

Selain itu, beliau turut menekankan peranan penting penyelidikan dan teknologi dalam pertanian dan industri makanan bagi masa depan Sarawak.

Jelas beliau, teknologi adalah penting, justeru menurut beliau, Malaysia terkenal akan perkara itu serta mempunyai budaya penyelidikan yang baik.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa himpunan daripada hasil kajian adalah penting untuk meningkatkan pengeluaran dan hari ini ia harus lestari menerusi pembangunan dan penyelidikan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Serantau Kedua mengenai Pemuliharaan Agrobiodiversiti dan Penggunaan Lestari (RAC2) 2024 di sebuah hotel di Kuching pada 12 Jun 2024.

Persidangan itu dianjurkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kerajaan Sarawak.

Antara aktiviti yang diselitkan sempena RAC2 2024

Persidangan yang bermula pada 11 hingga 13 Jun ini menghimpunkan 185 peserta daripada agensi kerajaan, penggubal dasar, ejen pengembangan, penyelidik, usahawan, ahli akademik, pelajar, pengurus ladang dan anggota sektor swasta.

Persidangan ini memberi tumpuan kepada tema dan topik kritikal seperti Mengurus Agrobiodiversiti dalam Perubahan Iklim; Kawalan Biologi dan Kejuruteraan Ekologi; Penggunaan Sumber Agrobiodiversiti dan Alternatif; dan Tanaman Berpotensi untuk Keselamatan Makanan.

Sempena Majlis Perasmian persidangan tersebut, Premier Sarawak turut melancarkan buku “Underutilised Fruits of Malaysia” Jilid 1 yang mendokumentasikan penyelidikan mengenai kepelbagaian biologi buah-buahan nadir di MARDI sejak tahun 1980-an.

Tujuan utama penyelidikan ini ialah untuk mengumpul dan memulihara sumber genetik daripada kepupusan disebabkan pembangunan dan industrialisasi.

Setakat ini, terdapat lebih daripada 143 spesies buah-buahan nadir yang disimpan di bank gen ladang MARDI yang diperolehi daripada eksplorasi di hutan seluruh Malaysia.

Secara dasarnya, penghasilan buku “Underutilised Fruits of Malaysia” Jilid 1 ini juga adalah bagi mendokumentasikan maklumat dan hasil kajian sebagai rujukan tempatan dan antarabangsa.

Konsep buku ini berdasarkan maklumat berkaitan kepelbagaian buah-buahan nadir serta kajian di lapangan yang melibatkan pengumpulan, pencirian dan pemuliharaan spesies.

Aspek yang dititikberatkan adalah berkaiatan dengan kegunaan, nilai nutrisi, pemuliharaan, prospek masa hadapan dan keperluan penyelidikan dan pembangunan berkaitan setiap spesies buah-buahan nadir yang diketengahkan di dalam Vol.1 ini.

Bagi Vol. 1, sebanyak 51 spesies buah-buahan nadir terpilih didokumentasikan secara terperinci ditambah pula dengan ilustrasi spesies buah yang menarik, unik dan sukar ditemui dalam negara kerana mula mengalami kepupusan akan mendapat perhatian, penghargaan dan tumpuan pembaca.

Justeru, penerbitan buku ini akan dapat menjadi salah satu impak visibiliti MARDI untuk buah-buahan nadir atau tanaman baharu yang semakin menarik minat awam kerana keunikannya untuk diketengahkan khususnya melibatkan penyelidikan dan pembangunan.

Buku ini juga akan menjadi sumber rujukan asas kepada penyelidik dan pelajar untuk menjalankan kajian yang lebih mendalam pada masa hadapan untuk tanaman baharu atau buah-buahan nadir Malaysia.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article