- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

DCC Perkasa Golongan Wanita Yang Berniaga

Must read

Ekonomi digital bukanlah satu perkara baharu kerana ia sudah pun bermula sejak lebih 20 tahun yang lalu dengan penubuhan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia atau Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) pada 1996 bagi menerajui ekonomi digital Malaysia.

Fokus MDEC adalah untuk memajukan ekonomi digital negara melalui inisiatif seperti pengembangan talian jalur lebar, pembangunan kemahiran teknologi maklumat dan sokongan kepada industri teknologi.

Dalam usaha untuk meningkatkan inovasi dan daya saing negara dalam era digital, MDEC telah menjadi pemangkin utama dalam mewujudkan ekosistem digital yang berkembang di Malaysia, menyokong pelbagai sektor seperti e-dagang, teknologi maklumat dan industri kreatif.

MDEC juga berperanan dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara melalui digitalisasi.

Dalam konteks Sarawak, mungkin kita hanya menyedari era ekonomi digital bermula apabila Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg mengumumkan Strategi Ekonomi Digital (2018-2022) pada penghujung tahun 2017.

Dalam tempoh tiga tahun setelah Strategi Ekonomi Digital (2018-2022) dilancarkan, pada 8 Oktober 2020, Premier Sarawak telah melancarkan 42 DCC (32 diselia oleh MPHLG dan 10 diselia oleh Pustaka) secara maya semasa Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS).

Penubuhan 42 DCC itu dilihat sebagai medium pemerkasaan kemahiran dan kemampuan rakyat Sarawak dalam transformasi ekonomi digital.

Usaha berkenaan juga adalah sebagai langkah untuk membawa rakyat Sarawak agar tidak ketinggalan dalam dunia arus perdana.

RAKAN Sarawak berpeluang menemu bual Ketua Seksyen Pendidikan Komuniti MPHLG, Encik Lloyd Huffman Miko untuk mendapatkan maklumat tentang pelaksanaan dan pencapaian DCC sejak ia dilancarkan pada 2020.

Menurut beliau, DCC di bawah MPHLG telah menganjurkan sebanyak 3,375 program atau aktiviti melibatkan seramai 83, 435 orang peserta sejak 2022.

Di samping itu, DCC juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program kolaborasi bersama agensi luar seperti The Asia Foundation dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

The Asia Foundation yang disokong oleh AT&T dan Visa serta rakan pelaksana iaitu StartupMalaysia bagi Malaysia dan Asosiasi Pusat Pengembangan Sumberdaya Wanita (PPSW) bagi Indonesia telah melaksanakan Program Accelerate bermula pada 26 April dan tamat pada September 2022.

Encik Lloyd Huffman Miko menerangkan tentang program kolaborasi yang diadakan dengan The Asia Foundation

Program ini bertujuan untuk memperkasa golongan wanita yang memiliki perniagaan sedia ada atau perniagaan baharu dengan menyediakan literasi asas keusahawanan, digital dan kewangan agar mereka tidak ketinggalan di dalam arus pembangunan.

Antara program yang dirangka di dalam Accelerate adalah Program Pementoran, Kisah Kejayaan, #JadiSavvy, Training of Trainers (TOT) serta Program Sarawak MSME Entrepreneurship Weekend and Accelerate Summit & Expo (Virtual).

Kerjasama diantara MPHLG dengan The Asia Foundation telah melibatkan seramai 114 pegawai DCC daripada 32 DCC di seluruh Sarawak dengan berjaya menarik penyertaan komuniti seramai 2,289 orang, iaitu lebih daripada sasaran asal seramai 2,550 orang atau 89.8%.

Di bawah program ini, MPHLG telah berjaya mengenal pasti beberapa orang peniaga daripada golongan wanita yang sangat berpotensi antaranya ialah Puan Hamsiah binti Gis dari Kampung Sebangan, Samarahan.

Facebook (page) milik Puan Hamsiah binti Gis, ejen Anas Popcorn

Beliau merupakan seorang suri rumah, tetapi giat membantu suaminya dalam memperkembangkan perniagaan mereka sebagai agen Anas Popcorn.

Pada mulanya, beliau hanya fokus membuat jualan secara di luar talian (offline) sahaja disebabkan faktor kurang keyakinan dalam menggunakan teknologi digital untuk mempromosi produk jualan beliau.

Hasil daripada menyertai program Accelerate ini, beliau berjaya membuka medium jualan menggunakan media sosial Facebook (Page) dan Instagram.

Selain itu, beliau juga sudah mula mencuba untuk memahirkan diri menggunakan ‘aplikasi Canva’ untuk menghasilkan bahan pemasaran yang kreatif dan menarik minat pelanggan.

Selain itu, Elizebel Danil yang berbangsa Lun Wang dan menetap di Sri Aman juga merupakan salah seorang daripada peserta program Accelerate.

Facebook (page) milik Elizebel Danil, pengasas Agape Cakes and Gifts

Beliau mempunyai pengalaman bekerja sebagai eksekutif di salah sebuah bank, namun sewaktu pandemik Covid-19 melanda dunia, beliau telah mengambil keputusan untuk berhenti dan memulakan perniagaan iaitu membuat dan menjual kek.

Bagi menambahkan kemahiran dalam membuat kek, Elizebel mengambil inisiatif untuk menyertai kursus pembuatan kek seterusnya mendaftarkan perniagaannya pada tahun 2021 yang dikenali dengan nama ‘Agape Cakes and Gifts’.

Beliau telah memanfaatkan laman sosial seperti Facebook dan Instagram sebagai medium utama untuk beliau memasarkan perniagaan keknya.

Pada 17 Mei 2022, beliau telah menyertai program Accelerate yang mengandungi tiga (3) modul utama iaitu;

  1. Kemahiran Keusahawanan dan Literasi Perniagaan
  2. Kemahiran Literasi Kewangan
  3. Kemahiran Literasi Digital

Beliau telah berjaya melengkapkan ketiga-tiga modul pembelajaran tersebuut secara kendiri melalui portal pembelajaran Accelerate.

Salah satu matlamat beliau menyertai program Accelerate ini adalah kerana berharap agar pada masa akan datang, beliau akan dapat menambah baik kemahiran dari segi pemasaran produk dan pengurusan perniagaannya memandangkan kini beliau kini berada dalam era ekonomi digital.

Ramai lagi peserta-peserta Program Accelerate lain yang berpotensi dalam mengembangkan perniagaan mereka seperti Roziana Maulad Ebidin dari Kabong (perniagaan kuih kering tradisional); Fatin Farhana binti Wira dari Sadong Jaya (peniaga produk kecantikan); Alia dari Seropak, Bau (peniaga kedai runcit); dan sebagainya.

Sementara, kolaborasi bersama dengan PERKESO pula adalah bertujuan untuk menjadikan DCC sebagai Pusat Satelit MYFutureJobs.

MYFutureJObs merupakan satu inisiatif untuk mempromosikan Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO dan DCC pula akan memainkan peranan sebagai one-stop centre untuk pencarian pekerjaan bagi Portal MYFutureJobs serta mengkhusus kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan.

Menurut beliau, kerjasama antara MPHLG denan PERKESO ini telah bermula pada 25 Oktober 2021, dan setekat suku pertama 2024, pihak PERKESO telah mengadakan sebanyak 50 sesi temuduga dengan penglibatan sebanyak 180 majikan di Sarawak.

Hasil daripada sesi temuduga tersebut, seramai 349 daripada 1,732 orang calon yang menghadiri temuduga telah berjaya mendapat pekerjaan.

Berkenaan perancangan bagi tahun 2024-2025, Encik Llyoid memaklumkan setakat ini, pihak MPHLG dengan kerjasama PUSTAKA sedang dalam proses menambah lebih banyak DCC di seluruh Sarawak secara berperingkat di mana Perpustakaan Desa sedia ada yang memenuhi kriteria akan dipilih untuk dinaik taraf menjadi DCC.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article