- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Memperkasa Masyarakat Digital

Must read

Bagi menjayakan usaha memperkasakan masyarakat digital, kerajaan berperanan menyediakan akses dan infrastruktur digital yang merupakan aspek utama dalam mewujudkan persekitaran digital selain merangka dasar dan hala tuju strategik, mempromosi literasi digital serta melaksanakan inisiatif keterangkuman digital untuk memastikan tiada individu yang terpinggir.

RAKAN Sarawak telah menemu bual Pengarah, Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, iaitu YBhg Datu Lester Matthew, bagi mendapatkan penjelasan beliau tentang peranan EPU Sarawak dalam memperkasa masyarakat digital.

Menurut beliau, EPU Sarawak adalah agensi yang memainkan peranan utama dalam merangka pelan pembangunan Sarawak secara menyeluruh, yang menerangkan hala tuju, fokus serta strategi bagi mencapai status ekonomi maju dan berpendapatan tinggi seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

EPU Sarawak bersama-sama pihak berkepentingan juga terlibat dalam merangka Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 (SDE 2030) yang dirangka berdasarkan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 untuk memastikan hala tuju pelan tindakan tersebut selari dengan aspirasi dan fokus pembangunan di bawah PCDS 2030.

Dalam hal ini, EPU Sarawak perlu memastikan projek-projek yang dirancang memberi perhatian kepada aplikasi teknologi bagi meningkatkan produktiviti, baik dari segi sektor ekonomi mahupun pembangunan infrastruktur.

Selaku Pengerusi dalam Jawatankuasa Kerja Digital Sektor Ekonomi, EPU Sarawak juga bertanggungjawab untuk mengurus, menilai dan memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Selain itu, Bahagian Pengurusan Prestasi (Performance Management Division) juga telah ditubuhkan bertujuan untuk menyelia, memantau dan menilai pelaksanaan inisiatif di bawah PCDS 2030 termasuk ekonomi digital bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya dan mengambil tindakan intervensi apabila dirasakan perlu.

Dalam mentransformasi ekonomi Sarawak ke arah digital, fokus utama EPU Sarawak ialah untuk meningkatkan ketersediaan digital seperti yang terangkum dalam Fasa 1 pelaksanaan SDE 2030 dengan mengutamakan pembangunan infrastruktur digital dan kesalinghubungan, pembangunan bakat digital termasuk memperkukuhkan ekosistem untuk syarikat pemula (start-up) dan inovasi, keselamatan siber serta pengurusan data.

Antara inisiatif pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan ialah Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN), Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) serta pelaksanaan rangkaian 5G di samping menyediakan latihan ICT di Pusat Digital Komuniti (DCC) dan National Information Dissemination Centre (NADI).

Tumpuan terhadap keselamatan siber turut diperkukuhkan dengan menubuhkan Majlis Keselamatan Siber (CS) Sarawak yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak bagi memastikan data kerajaan dilindungi.

Beliau menjelas lanjut, kerajaan berperanan memastikan ketersediaan infrastruktur digital seperti capaian telekomunikasi yang menyeluruh dan akses internet berkelajuan tinggi meliputi seluruh pelosok negeri dan dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.

Pihak EPU Sarawak percaya bahawa platform digital mampu meningkatkan produktiviti dan seterusnya membantu meningkatkan output dan daya saing sektor-sektor ekonomi.

Dari segi capaian internet, beliau memaklumkan bahawa Sarawak kini mempunyai liputan perkhidmatan internet sebanyak 80.9%.

Bagi menyokong operasi perniagaan dan aplikasi digital, Kerajaan Sarawak juga menyediakan kemudahan pusat data dan perkhidmatan pengkomputeran awan selain terus komited menyediakan perkhidmatan kerajaan secara dalam talian bagi memudahkan urusan rakyat dan komuniti perniagaan, khususnya dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sejak November 2017, Kerajaan Sarawak telah menyediakan platform e-dompet SPay Global yang terbukti memudahkan transaksi digital yang cepat dan selamat.

“Pada dasarnya, kerajaan berperanan menggubal polisi dan peraturan yang bersesuaian serta menyelaras strategi untuk menyokong pembangunan ekonomi digital di Sarawak.

“Ini penting untuk meningkatkan keyakinan pengguna, organisasi dan pihak berkepentingan dalam melaksanakan transformasi digital,” jelas Datu Lester.

Kerajaan Sarawak turut berperanan dalam memudahcara pelaburan dan berkolaborasi dengan pelbagai pihak untuk memacu inovasi dalam ekonomi digital.

Penubuhan InvestSarawak misalnya, ditubuhkan untuk memudahcara pelaburan di Sarawak termasuk pelaburan digital.

Ditanya mengenai tahap kebergantungan masyarakat Sarawak terhadap gaya hidup yang dikuasakan oleh digital, beliau memberi respon dengan berkongsikan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Berdasarkan Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah, peratusan capaian telefon pintar oleh isi rumah di Sarawak dicatatkan sebanyak 93.6%.

Peratusan individu di Sarawak menggunakan komputer untuk menghantar e-mel berserta fail adalah    sebanyak 81.5% manakala peratusan individu yang menggunakan perbankan dalam talian pula adalah sebanyak 60.4%.

Peratusan individu menggunakan internet untuk membuat pesanan barangan atau perkhidmatan dalam talian selain e-dagang adalah sebanyak 25.5% dan 48.5% individu membeli barangan atau perkhidmatan melalui e-dagang.

Penggunaan internet untuk tujuan hiburan kini sangat meluas dan popular dalam kalangan pengguna di seluruh dunia.

Masyarakat Sarawak turut tidak terkecuali dalam perkembangan ini dan peratusan individu yang menggunakan internet untuk hiburan seperti menonton televisyen dalam talian adalah sebanyak 69.1%.

Statistik tersebut juga menunjukkan 21.3% individu menggunakan internet untuk berinteraksi dengan organisasi kerajaan.

Hari ini, penggunaan teknologi digital semakin perlu diterapkan dalam kehidupan harian sama ada bagi pihak kerajaan mahupun di peringkat masyarakat.

Jelas Datu Lester, teknologi digital dapat menjadikan proses-proses kerja menjadi mudah, lebih efisyen serta mampu meningkatkan produktiviti.

Teknologi dapat mengautomasikan tugas, mengurangkan kerja manual yang melibatkan tugas-tugas rutin, seterusnya meningkatkan kecekapan dalam pelbagai sektor perkhidmatan selain mengurangkan pembaziran dan mengoptimumkan penggunaan sumber.

Penggunaan teknologi digital juga mampu meningkatkan capaian data dan maklumat yang diperlukan untuk membuat keputusan dan membawa kepada peningkatan produktiviti, penggubalan dasar, peruntukan sumber dan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik. 

Transformasi digital membuka dunia tanpa sempadan dan lantaran itu, perkongsian maklumat menjadi lebih terbuka dan membolehkan aksesibiliti yang lebih baik kepada perkhidmatan dan maklumat.

“Kemudahan digital membolehkan kerajaan menyebarkan maklumat dan berita dengan lebih telus, mudah dan meluas kepada seluruh lapisan masyarakat serta membuka pintu kepada lebih ramai lapisan masyarakat untuk mendapat manfaat daripada pelbagai kemudahan yang ditawarkan.”

Menurut beliau lagi, teknologi digital turut memudahcara urusan perniagaan dan pelaburan. Sebagai contoh, pendigitalan perkhidmatan kerajaan seperti e-kerajaan, aplikasi untuk pembayaran secara dalam talian dan pengurusan dokumen dalam talian menyediakan perkhidmatan yang lebih cepat, efisyen dan mudah diakses oleh masyarakat.

Masyarakat juga dapat mendapat manfaat daripada kemudahan transaksi kewangan secara digital yang lebih pantas, mudah dan selamat seperti aplikasi e-dompet SPay Global atau Touch and Go dan sebagainya tanpa perlu bergantung pada transaksi secara fizikal atau wang tunai.

Beliau berpendapat, apabila masyarakat dan kerajaan memanfaatkan teknologi dan inovasi digital, ia mampu merangsang penciptaan teknologi baharu dan berupaya menarik pelaburan dalam teknologi digital.

Teknologi digital juga terbukti telah mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi hasil daripada transformasi digital yang mendorong inovasi produk dan perkhidmatan yang mewujudkan pekerjaan baharu seperti pakar industri kecerdasan buatan (AI), Internet of Thing (IoT), fintech dan pakar analisis data.

Lebih daripada itu, pertumbuhan e-dagang dan penggunaan strategi pemasaran digital telah mencipta peluang pekerjaan dalam bidang pemasaran digital, analisis pasaran digital, pengurusan media sosial termasuk pembangunan platform e-dagang.

Perkembangan tersebut telah membuka peluang perniagaan kepada masyarakat untuk memajukan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup.

Mengulas mengenai penerimaan umum terhadap era digital, beliau berpandangan bahawa masyarakat Sarawak menerima baik perkembangan digital dengan berpandukan pada statistik DOSM.

Beliau memberikan contoh, pengguna aplikasi SPay Global dilaporkan semakin meningkat, iaitu dari hanya 42,000 pengguna pada 2018 selepas aplikasi berkenaan diperkenalkan dan meningkat ke 749,000 pengguna pada Mac 2024 dengan jumlah transaksi sebanyak RM3.94 bilion.

Jumlah peniaga yang berdaftar dengan SPay Global juga telah meningkat dari hanya 800 pada tahun 2018 ke 68,000 pada Mac 2023.

Statistik DOSM juga menunjukkan peratusan individu menggunakan telefon pintar telah meningkat dari 96.6% pada 2018 ke 98.2% pada 2023.

Begitu juga dari segi peratusan individu yang menggunakan komputer untuk mencari maklumat, memuat turun, memasang dan mengkonfigurasi perisian juga telah meningkat sebanyak 71.7% pada 2023 berbanding dengan 49.2% pada 2018.

Penggunaan e-dagang turut menunjukkan peningkatan apabila lebih ramai usahawan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak memanfaatkan platform dalam talian untuk menjual produk mereka.

Adaptasi masyarakat terhadap platform digital untuk berkomunikasi termasuklah menjalankan aktiviti perniagaan dapat dilihat berdasarkan pada penggunaan meluas platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan WhatsApp.

Peratusan individu yang menggunakan internet untuk menjalani kursus formal dalam talian juga meningkat, iaitu dari hanya 2.7% pada tahun 2018 ke 21.2% pada tahun 2023.

Beliau menambah, penglibatan masyarakat Sarawak menceburi bidang dalam ekonomi gig melalui platform seperti Grab, Foodpanda dan sebagainya serta yang bekerja bebas (freelance) dalam pekerjaan berasaskan digital turut menunjukkan bahawa masyarakat menerima baik gaya hidup yang dikuasakan oleh digital.

Secara keseluruhannya, beliau berpandangan bahawa masyarakat Sarawak sangat menerima baik era digital berdasarkan pada statistik daripada DOSM yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article