- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Bahasa yang Berkesan dalam Keterampilan Mengarang

Must read

Tiga peringkat
penting proses mengarang adalah tahap persediaan atau tahap pra penulisan,
tahap penulisan sebenar dan tahap penyemakan atau pasca penulisan. Bagi setiap
tahap itu, terdapat pula langkah-langkah khusus yang perlu dilaksanakan.

Aspek bahasa
sebagai wahana kegiatan mengarang juga amat penting. Karangan yang terdiri
daripada fakta, buah fikiran, hujah, harapan dan sebagainya perlu disampaikan
melalui bahasa untuk disampaikan kepada khalayak pembaca. Oleh sebab itu, di
samping aspek kesempurnaan isi, aspek kesempurnaan bahasa sama pentingnya untuk
diberi perhatian oleh penulis. Ibarat hidangan atau sajian makanan, tidak cukup
tukang masak dan pelayan mementingkan bahan yang dimasak sahaja. Ia perlu turut
memberikan perhatian kepada aspek cara penyajian masakan itu, termasuk segala
rencah dan ramuan yang sepatutnya.

Ada tulisan yang
cukup isinya tetapi tidak dapat difahami dengan baik atau cepat oleh pembaca
disebabkan oleh kecacatan aspek bahasanya. Kecacatan itu mungkin disebabkan
maknanya yang kabur kerana salah memilih kata dan ungkapan atau mungkin juga
disebabkan binaan atau struktur bahasa yang tidak kemas atau salah. Bahkan ada
waktunya kesilapan tanda baca dapat juga menjejaskan kejelasan sesebuah
karangan.

Sila lihat dan
amati beberapa contoh yang menunjukkan bagaimana sesebuah karangan terjejas
keberkesanannya disebabkan oleh kecacatan aspek bahasanya. Dalam satu majlis
konvokesyen, pemidato ucap jasa seorang penerima Profesor Emeritus membaca
pernyataan yang berbunyi, “Ketika umurnya baru setahun jagung, beliau telah
melakukan sejumlah penyelidikan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.”

Bayangkanlkah
bagaimankah orang yang baru setahun jagung usianya dapat melakukan sejumlah
penyelidikan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Niat asal penulis pidato
ucap jasa itu yang pasti murni bertukar menjadi suatu bentuk penghinaan pula.
Ungkapan “umur baru setahun jagung” digunakan untuk menidakkan keupayaan
seseorang.

Dalam salah satu
program televisyen, pengacara menyebut, “Tetamu tidak sabar menyaksikan
mempelai dan pasangannya beradu di pelamin yang direka khas itu.”
Adakah
pengantin yang beradu atau tidur di atas pelamin? Mungkinkah hal itu tradisi
baru dalam istiadat perkahwinan?

Dalam berita,
sesekali dapat kita baca atau dengar ayat yang berbunyi “Mangsa kemalangan itu
dikejar ke hospital.”
Bukankah zalim orang yang mengejar mangsa kemalangan?
Mangsa itu sepatutnya dikejarkan ke hospital, bukan dikejar ke hospital.

Untuk memastikan
bahawa bahasa yang digunakan sewaktu mengarang membantu keberkesanan karangan
itu, tidak dapat dihindari usaha memahami sistem bahasa yang kita gunakan. Jika
kita mengarang dalam bahasa Melayu, maka sistem bahasa itu perlu kita kuasai
dengan baik. Demikianlah juga halnya jika kita mengarang dalam bahasa lain.
Tidak sewajarnya ada sikap dan anggapan bahawa bahasa hanya alat dan oleh itu
tidak begitu perlu diberi perhatian.

Secara umumnya, ada
dua aspek utama sistem bahasa yang perlu dikuasai. Yang pertama berkaitan
dengan makna, baik pada peringkat kata, frasa, ayat mahupun wacana. Yang kedua
berkaitan dengan aspek yang menjelmakan makna, iaitu tatabahasa, fonologi dan
kosa kata. Tatabahasa meliputi sistem yang berkaitan dengan kaedah membina kata
dan ayat. Dalam bahasa Melayu, binaan kata terdiri daripada kata tunggal, kata
terbitan, kata ganda dan kata majmuk. Setiap binaan kata itu ada aturannya.
Demikian juga ayat dalam bahasa Melayu ada binaannya yang tertentu, sama ada
dilihat daripada segi jenis ayat, golongan ayat, ragam ayat mahupun susunan
ayat.

Daripada sudut yang
lain pula, penguasaan bahasa dalam kegiatan karang-mengarang dapat juga
dibahagi dua. Yang pertama ialah penguasaan aspek mekanik bahasa (tatabahasa,
sistem ejaan, tanda baca.) yang kedua pula ialah penguasaan aspek dinamik
bahasa (pilihan kata, ungkapan dan pelbagai jenis gaya bahasa).


Dipetik dan disesuaikan dari Klik DBP 23
Januari 2008, halaman 11, ruangan Penerbitan Bermutu Masyarakat Berilmu,
Terampil Mengarang Bersama Profesor Dr. Awang Sariyan

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article