Ekonomi Kitaran adalah satu anjakan sistemik bagi meningkatkan daya tahan jangka panjang yang mengutamakan ketahanan, guna semula, pembaikan, kitar semula dan pembuatan semula.
Amalan dalam Ekonomi Kitaran melibatkan pengurangan sisa buangan ke tahap minimum. Apabila sesuatu produk mencapai jangka hayat, bahan-bahannya disimpan untuk dikitar semula dan digunakan secara produktif berulang kali sehingga menjadi sesuatu yang bernilai.
Ekonomi Kitaran adalah peralihan dari Ekonomi Linear. Dalam dunia yang sejak sekian lama didominasi oleh model Ekonomi Linear yang berkonsepkan ‘ambil, buat dan buang’, konsep Ekonomi Kitaran semakin popular sebagai alternatif yang mampan.
Ekonomi Linear melibatkan pengambilan bahan mentah untuk menghasilkan produk dan produk tersebut kemudian digunakan dan dibuang setelah hayat penggunaannya berakhir.
Model ekonomi ini bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah juga mengakibatkan pengurangan sumber semula jadi yang tidak mampan.
Ekonomi Kitaran sebaliknya merangkumi prinsip-prinsip penting seperti pengurangan pembaziran, penggunaan semula bahan, pemulihan dan kitar semula produk.
Pendekatan dalam model ekonomi ini lebih mampan dan berkesan dalam pengurusan sisa pepejal dan sumber semula jadi.
Konsep Ekonomi Kitaran membawa beberapa manfaat yang signifikan seperti berikut:
1. Kelestarian Alam Sekitar
Mengguna dan mengitar semula produk membantu memperlahankan penggunaan sumber semula jadi, seterusnya mengurangkan gangguan terhadap landskap dan habitat serta membantu menghadkan kehilangan kepelbagaian bio.
Langkah ini juga akan mengurangkan pembaziran dan membantu melindungi alam sekitar.
2. Mengurangkan Kebergantungan Terhadap Bahan Mentah
Peningkatan populasi dunia menyebabkan permintaan tinggi terhadap bahan mentah. Walau bagaimanapun, bekalan untuk bahan mentah yang penting adalah terhad.
Menurut Eurostat, negara-negara Eropah mengimport kira-kira separuh daripada bahan mentah yang digunakan dengan jumlah nilai dagangan (import tambah eksport) di antara Kesatuan Eropah (EU) dengan seluruh dunia telah meningkat hampir tiga (3) kali ganda sejak 2002, iaitu eksport berkembang lebih cepat berbanding dengan import.
Sungguh pun begitu, EU lebih banyak mengimport berbanding mengeksport hingga menyebabkan berlaku defisit perdagangan sebanyak 35.5 bilion euro pada 2021.
Oleh itu, kitar semula bahan mentah mampu mengurangkan risiko berkaitan aktiviti bekalan seperti turun naik harga, ketersediaan dan kebergantungan pada import.
Amalan seperti ini diguna pakai untuk bekalan bahan mentah kritikal yang diperlukan dalam menghasilkan teknologi yang signifikan untuk inisiatif hijau seperti bateri dan enjin elektrik.
3. Penciptaan Pekerjaan dan Inovasi
Peralihan ke Ekonomi Kitaran turut memerlukan kemahiran dan kepakaran baharu yang kemudiannya mencipta peluang pekerjaan baharu seperti dalam bidang kitar semula, pemulihan serta reka bentuk (dalam pembinaan dan lain-lain) yang lebih mampan.
Reka semula bahan dan produk untuk kegunaan kitaran juga dapat merangsang inovasi menjangkaui pelbagai sektor ekonomi.
Hal ini akan menggalakkan persaingan dan memacu pertumbuhan ekonomi. Pada masa yang sama, pengguna mempunyai lebih banyak pilihan dalam produk inovatif yang lebih tahan lama dan menjimatkan serta mampu meningkatkan kualiti hidup.
Amalan dalam model Ekonomi Kitaran turut membuka peluang untuk inovasi penghasilan produk dan perkhidmatan yang lebih baik serta menepati keperluan kelestarian.
Bagi merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat melalui pelaksanaan Ekonomi Kitaran, antara usaha yang perlu dilaksanakan termasuklah menggalakkan pengasingan sisa di punca, meningkatkan sistem pengumpulan sisa pepejal, menyediakan infrastruktur yang sesuai dan mewujudkan platform kerjasama untuk agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti.
Rujukan:
- https://cem.upm.edu.my/artikel/pembentukan_ncec_kelestarian_ekonomi_kitaran-75067
- https://www.europarl.europa.eu/topics/en/article/20151201STO05603/circular-economy-definition-importance-and-benefits