Perniagaan berasaskan digital dan teknologi diyakini dapat dijalankan dengan lebih cekap dan produktif, berdaya saing dan berdaya tahan seiring dengan perkembangan pesat dalam teknologi.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YB Datuk Rubiah binti Wang menekankan perkara tersebut ketika merasmikan Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) Siri 4 yang disertai seramai 167 usahawan tempatan bertempat di Penview Convention Centre (PCC) Demak, Kuching pada 12 Ogos 2024.
Menurut beliau, PPU ialah inisiatif tambahan di bawah program Desamall yang bertujuan untuk merapatkan jurang digital dengan membantu usahawan desa meningkatkan produktiviti dan kecekapan sebagai persediaan kepada mereka menjalankan perniagaan secara dalam talian selari dengan perkembangan teknologi terkini dan situasi ekonomi semasa.
Beliau menjelaskan, KKDW merangka program Desamall dengan matlamat untuk memperluas rangkaian perniagaan di samping meningkatkan hasil jualan produk-produk usahawan desa dengan sasaran hasil peningkatan pendapatan antara 10% hingga 30% selepas tempoh setahun produk dipasarkan dalam talian.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), KKDW memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi melatih 4,000 usahawan desa menerusi PPU.
Sejak PPU diperkenalkan pada 2021, seramai 3,249 usahawan desa telah dilatih di bawah program berkenaan manakala sebanyak 6,000 produk usahawan desa pula telah dimasukkan ke dalam rekod sistem dagang Desamall.
Sasaran KKDW pada tahun ini adalah untuk melatih seramai 1,200 usahawan desa dalam lima (5) siri PPU yang telah dirancang untuk dilaksanakan.
Tiga (3) siri terdahulu PPU telah dijalankan pada Februari, Jun dan Julai dengan penyertaan seramai 554 usahawan dari seluruh negara.
Bagi memastikan pelaksanaan PPU relevan dan selari dengan trend perniagaan digital semasa, KKDW telah menjalin kerjasama strategik dengan rakan-rakan strategik terpilih yang berpengalaman dan terlibat secara langsung dalam perniagaan digital.
Usahawan yang terlibat dalam PPU diberi pendedahan secara langsung dan praktikal dalam 12 modul yang telah ditetapkan seperti Pendigitalan Kewangan, Point-of-Sale (POS)/Gudang Digital, eWallet/Payment Gateway, Perkhidmatan Internet, Aplikasi Perkhidmatan On Demand, Platform E-Dagang dan WhatsApp Business, Peruncitan Digital, Route to Halal, Tanda Dagangan, Penghasilan Kandungan dan Pemasaran Afiliasi, SMEs: Step Up Digital serta AI dan CI.
Pada majlis tersebut, beliau juga menggalakkan usahawan desa untuk mengambil peluang menerusi inisiatif Program Pemecutan Digital Alibaba Cloud di Malaysia yang dapat membantu membangunkan model AI lebih kecil dan sesuai dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Antara inisiatif utama yang ditekankan dalam program tersebut ialah latihan dan pembiayaan untuk syarikat pemula pendigitalan, jalinan kerjasama dengan universiti dan model studio untuk pembangunan AI generatif.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan seramai 67,508 usahawan desa sudah mendaftar dengan agensi di bawah KKDW di seluruh negara yang kebanyakan daripada mereka berada di bawah kategori PICO, iaitu yang mencatatkan perolehan pendapatan jualan kurang daripada 60,000 setahun.
Beliau menambah, sekiranya pendapatan jualan usahawan PICO dapat ditingkatkan hingga melebihi RM150,000 setahun, maka mereka akan beralih ke kategori usahawan kecil dan sederhana.
Menerusi PPU, KKDW berharap supaya daya saing usahawan desa dapat ditingkatkan selain mendapat bantuan pembiayaan.