- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam

Must read

Berdasarkan data yang diperolehi daripada laman sesawang Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Statistik Penyakit Pekerjaan di Malaysia 2023 menunjukkan angka yang agak membimbangkan di mana terdapat 11,747 kes dilaporkan, dengan 8,155 kes telah disahkan.

Angka ini secara tidak langsung mencerminkan adanya peningkatan dalam kesedaran mengenai penyakit pekerjaan, tetapi pada masa yang sama, ia juga menunjukkan keperluan untuk meningkatkan langkah pencegahan dan kesihatan di tempat kerja.

Dari segi jantina, statistik menunjukkan bahawa 7,218 kes melibatkan lelaki, manakala 937 kes melibatkan perempuan.

Statistik ini menunjukkan bahawa lelaki lebih terdedah kepada risiko penyakit pekerjaan, yang mungkin disebabkan oleh jenis pekerjaan yang sering melibatkan tenaga fizikal yang lebih tinggi atau pendedahan kepada bahan berbahaya.

Namun, perhatian juga perlu diberikan kepada isu-isu yang dihadapi oleh pekerja wanita, terutamanya dalam sektor-sektor tertentu yang mungkin kurang mendapat perhatian.

Analisis lanjut mengenai warganegara menunjukkan bahawa 6,042 kes dilaporkan melibatkan warga negara Malaysia manakala 2,113 adalah bukan warganegara sekali gus menggambarkan bahawa majoriti kes penyakit pekerjaan melibatkan pekerja tempatan.

Infografik menunjukkan statistik penyakit pekerjaan negara 2023

Tahun 2023 mencatatkan pelbagai kategori penyakit pekerjaan di Malaysia yang menunjukkan keperluan mendesak untuk menangani isu ini secara menyeluruh.

Kategori terbesar adalah Penyakit Pendengaran Akibat Bunyi Bising dengan 6,754 kes; seterusnya, Penyakit Muskuloskeletal mencatatkan 696 kes.

Kategori penyakit lain termasuk Penyakit Disebabkan Agen Fizikal (359 kes), Keracunan (187 kes), dan Penyakit Paru-paru (67 kes), masing-masing menunjukkan keperluan untuk pemantauan yang lebih ketat terhadap pendedahan bahan berbahaya.

Jumlah kes Penyakit Kulit adalah 47, manakala Penyakit Disebabkan Agen Biologi mencatatkan 37 kes, menunjukkan risiko yang dihadapi oleh pekerja di sektor perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan makanan.

Walaupun angka untuk Kanser (4 kes) dan Gangguan Psikososial (3 kes) adalah rendah, ia tetap perlu diberi perhatian.

Data yang diperoleh pada tahun 2023 memberikan gambaran jelas tentang keadaan penyakit pekerjaan di Malaysia.

Infografik menunjukkan jumlah pekerja yang mengalami penyakit pekerjaan negara mengikut kategori

Dengan jumlah kes yang dilaporkan dan disahkan yang tinggi, terdapat keperluan mendesak untuk memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan.

Majikan perlu lebih peka terhadap kesihatan pekerja mereka, dan kerajaan harus mengambil langkah proaktif untuk memastikan peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dipatuhi.

Melalui usaha bersama antara majikan, pekerja, dan pihak berkuasa, sudah pasti angka-angka ini akan dapat dikurangkan pada masa akan datang seterusnya akan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan sihat untuk semua.

Dalam sektor perkhidmatan awam, risiko kecederaan fizikal mungkin lebih rendah berbanding sektor berisiko tinggi seperti pembinaan, tetapi pekerja awam masih terdedah kepada risiko seperti ergonomik yang buruk, penggunaan peralatan yang tidak selamat, dan kemalangan di tempat kerja.

Infografik menunjukkan kumpulan umur yang mengalami penyakit pekerjaan negara

Di samping itu, kesihatan mental pekerja juga penting kerana tekanan kerja yang berlebihan, gangguan emosi, atau masalah dengan persekitaran kerja yang tidak kondusif boleh menjejaskan kesihatan mental pekerja perkhidmatan awam.

Persekitaran kerja yang selamat dan sihat akan memastikan pekerja dapat bekerja dalam keadaan terbaik, sekali gus meningkatkan produktiviti.

Dalam sektor perkhidmatan awam, produktiviti ini sangat penting kerana perkhidmatan yang disediakan memberi impak langsung kepada masyarakat.

Pekerja yang berada dalam keadaan fizikal dan mental yang baik lebih cenderung untuk memberikan perkhidmatan berkualiti, menjadikan operasi jabatan dan agensi lebih cekap dan efektif.

Kerana itu setiap sektor, termasuk sektor perkhidmatan awam, perlu mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, seperti Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) di Malaysia.

Kegagalan mematuhi undang-undang ini bukan sahaja akan menyebabkan tindakan undang-undang dikenakan, tetapi juga boleh menyebabkan reputasi jabatan atau agensi terjejas.

Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang KKP dalam sektor perkhidmatan awam adalah penting untuk memastikan setiap jabatan beroperasi mengikut standard keselamatan yang ditetapkan.

Salah satu cabaran utama dalam pelaksanaan KKP di sektor perkhidmatan awam adalah kurangnya kesedaran dalam kalangan pekerja mengenai kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Sesetengah pekerja mungkin menganggap bahawa mereka kurang terdedah kepada risiko pekerjaan berbanding dengan sektor lain, dan ini menyebabkan mereka tidak memberikan perhatian sewajarnya terhadap langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil.

Sektor perkhidmatan awam sering kali menuntut tahap komitmen yang tinggi daripada pekerjanya, terutamanya dalam bidang yang melibatkan perkhidmatan langsung kepada masyarakat seperti pendidikan, kesihatan, dan keselamatan.

Tekanan untuk mencapai sasaran, bekerja dalam waktu yang panjang, serta cabaran dalam pengurusan sumber manusia boleh menyebabkan persekitaran kerja yang tertekan sehingga akhirnya akan menjejaskan kesihatan mental pekerja.

Kerana itu, mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja, tetapi juga kepada masyarakat yang menerima perkhidmatan awam tersebut.

Dengan komitmen daripada pihak pengurusan, kesedaran yang tinggi di kalangan pekerja, serta pelaksanaan langkah-langkah yang berkesan, sektor perkhidmatan awam dapat menjadi contoh dalam pelaksanaan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang terbaik.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article