- Advertisement -spot_img
4,797
published news
and counting

Mengurangkan Jejak Karbon

Must read

Urusan harian manusia, proses pembuatan, penghasilan produk dan industri secara keseluruhannya meninggalkan jejak karbon.

Jejak karbon individu merangkumi pelepasan karbon daripada pelbagai sumber seperti perjalanan harian menggunakan kenderaan bermotor, makanan yang diambil, pakaian yang dibeli, barang-barang yang dibuang dan banyak lagi.

Gas rumah hijau yang terperangkap dalam ruang atmosfera membebaskan haba, lalu menyebabkan pemanasan global dan menyumbang kepada perubahan iklim.

Semakin banyak jumlah jejak karbon dilepaskan, semakin besar kesannya terhadap alam sekitar. Untuk mengurus perubahan iklim bagi mengelak kesan yang lebih buruk, pelbagai langkah dapat diambil oleh individu, komuniti mahupun pihak kerajaan.

Aktiviti harian manusia dan organisasi di muka bumi meninggalkan jejak karbon

Peralihan ke ekonomi rendah karbon termasuk pembangunan tenaga alternatif yang lebih mampan adalah antara langkah besar yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dan organisasi swasta.

Salah satu sumber tenaga yang mampu mengurangkan jejak karbon ialah tenaga solar. Tenaga solar boleh diperbaharui, bersih serta menjadi alternatif kepada bahan api fosil untuk menjana elektrik.

Walaupun kesan gas rumah hijau adalah proses semula jadi yang memanaskan permukaan bumi kepada suhu yang boleh didiami, aktiviti seperti pembakaran bahan api fosil untuk menjana elektrik telah menyebabkan peningkatan jumlah gas rumah hijau dan memanaskan bumi dengan lebih cepat.

Penjanaan elektrik daripada panel solar tidak menghasilkan apa-apa gas rumah hijau dan seterusnya membantu mengurangkan kesan perubahan iklim jika digunakan secara meluas.

Jabatan Metereologi Malaysia menyatakan, secara purata, Malaysia menerima enam (6) jam sinaran matahari dalam masa sehari sementara suhu harian di seluruh negara ialah di antara 22 darjah Celsius (°C) hingga 32°C.

Sumber tenaga semula jadi yang kaya ini menyediakan peluang dan potensi untuk pihak kerajaan membangunkan tenaga solar bagi tujuan kegunaan yang lebih luas. Sekiranya sumber ini tidak dimanfaatkan, maka menjadi satu kerugian kepada masyarakat dan negara.

Sebagai salah satu langkah mengurangkan jejak karbon dalam usaha menangani perubahan iklim, Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan kerjasama syarikat dari China dan syarikat tempatan telah membangunkan projek ladang solar terapung pertama di Empangan Batang Ai, Lubok Antu.

Projek ladang solar terapung di Batang Ai, Lubok Antu dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak sebagai salah satu usaha mengurangkan jejak karbon menerusi pembangunan tenaga boleh diperbaharui – Foto SEB

Projek berkenaan yang bakal beroperasi pada Oktober tahun ini dijangka akan melonjakkan jumlah penjanaan tenaga solar dan hidroelektrik di Batang Ai kepada 158 megawatt (MW).

Projek tersebut juga adalah projek janaan tenaga pertama di Malaysia yang mengeluarkan dua (2) jenis tenaga boleh diperbaharui secara hibrid.

Pada masa ini, penjanaan tenaga daripada ladang solar terapung dianggarkan lebih kurang 50MW manakala Empangan Batang Ai pula menjana tenaga hidroelektrik sebanyak 108MW.

Ini bermakna, apabila projek ladang solar tersebut siap kelak, kawasan Batang Ai akan mengeluarkan 158MW tenaga, iaitu gabungan di antara tenaga hidroelektrik dan solar.

Keluasan kawasan Batang Ai sekitar 8,500 hektar berpotensi untuk meningkatkan penjanaan tenaga solar kepada kira-kira 2,000MW menerusi pelaburan daripada syarikat luar negara mahupun syarikat swasta.

Sehubungan dengan itu, SEB sebagai entiti bertanggungjawab mempunyai pelan jangka masa panjang untuk menjayakan projek peningkatan tenaga solar di Batang Ai serta membuat kajian bagi memperluas inisiatif tenaga hijau di Sarawak.

Secara dasarnya, tenaga solar merupakan sumber tenaga boleh diperbaharui yang berkesan dalam mengurangkan jejak karbon, seterusnya membantu memperlahankan perubahan iklim.

Teknologi tenaga solar yang mendapat sumber daripada cahaya matahari boleh dibina secara fleksibel pada satu skala serta membolehkan tenaga yang dikumpul disimpan untuk kegunaan pada suatu waktu yang seterusnya.

Rujukan:

  1. https://www.hmetro.com.my/rencana/2024/09/1131948/pacu-usaha-kurang-jejak-karbon
  2. https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/06/1261051/projek-ladang-solar-terapung-pertama-sarawak-beroperasi-oktober-ini
  3. https://www.conservation.org/stories/what-is-a-carbon-footprint#:~:text=A%20carbon%20footprint%20estimates%20the,and%20contribute%20to%20climate%20change.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article