- Advertisement -spot_img
4,803
published news
and counting

CeIO Perkukuh Budaya Integriti Dalam Masyarakat

Must read

Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) bukan hanya berperanan membudayakan integriti dalam organisasi, malah juga memainkan peranan besar dalam memperkukuh budaya integriti dalam masyarakat.

Hal tersebut penting agar penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada pemegang taruh dan rakyat bukan sahaja berkualiti, tetapi juga berlandaskan ketelusan dan integriti yang tinggi.

Apabila penyampaian perkhidmatan kerajaan dilaksanakan sedemikian, kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan juga akan menjadi semakin kukuh dan keyakinan pelabur untuk terus menyumbang kepada ekonomi Sarawak juga akan meningkat.

Demikian antara perkara yang ditekankan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg ketika beliau menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Perdana Integriti (MAP-i) 2024 di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Kuching pada 10 Oktober 2024.

Menurut beliau, sejak diperkenalkan, Sarawak telah melahirkan seramai 211 orang CeIO yang telah ditempatkan di pelbagai agensi.

Setakat ini, seramai 25 pegawai ditempatkan di Kementerian, 64 pegawai di jabatan, 55 pegawai di badan-badan berkanun, 28 pegawai di agensi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), 27 pegawai di Pejabat Residen dan 12 pegawai di agensi-agensi yang lain.

Jumlah tersebut menjadikan Sarawak sebagai negeri yang mempunyai bilangan CeIO paling ramai berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Walaupun beliau mengakui ia adalah satu pencapaian yang membanggakan buat Sarawak, apa yang penting ialah CeIO dapat melaksanakan peranan dan fungsi mereka dengan cemerlang, penuh akuantabiliti dan berintegriti.

Beliau turut mengingatkan, masa depan negara bergantung pada kemampuan untuk membanteras rasuah secara berkesan.

Sekiranya tidak ditangani dengan berkesan, rasuah akan merosakkan integriti negara, meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap pihak kerajaan dan mewujudkan ketidakadilan sosial yang memudaratkan ekonomi negara.

Dalam majlis tersebut, Kerajaan Sarawak telah menerima Anugerah Khas Integriti sebagai pengiktirafan atas usaha pembudayaan integriti, tadbir urus yang baik dan antirasuah di Sarawak.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg Tan Sri Dato’ Seri Shamsul Azri bin Abu Bakar kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki mewakili Kerajaan Sarawak menerima Anugerah Khas Integriti daripada Ketua Setiausaha Negara, YBhg Tan Sri Dato’ Seri Shamsul Azri bin Abu Bakar sambal disaksikan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg – Foto JAPEN Sarawak

Turut dilangsungkan ialah penyerahan sijil MS ISO 3701:2016 Anti Bribery Management System (ABMS) kepada enam (6) projek rintis yang telah berjaya memperolehi pensijilan tersebut.

Agensi-agensi yang terlibat ialah Jabatan Premier Sarawak (JPS), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).

Pensijilan ABMS adalah usaha agensi-agensi terlibat dalam mengukuhkan sistem kawalan dalaman bagi membina budaya integriti dan mencegah salah laku rasuah dalam sesebuah organisasi.

MAP-i 2024 yang bertemakan ‘Fostering Integrity for Our Future Generation’ dianjurkan secara kerjasama di antara Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) dengan Institut Integriti Malaysia (IIM).

Yang turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), YB Datuk Dr. Juanda Jaya dan Ketua Ombudsman Sarawak, YBhg Dato Sri Abdul Ghafur bin Shariff.

Premier Sarawak bersama tetamu-tetamu kehormat serta para penjawat awam Negeri dan Persekutuan merakam gambar pada akhir Majlis Amanat Integriti (MAP-i) 2024 yang bertemakan ‘Fostering Integrity for Our Future Generation’ – Foto JAPEN Sarawak
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article