- Advertisement -spot_img
4,807
published news
and counting

SCSICA Membudayakan Inovasi dan Kreativiti Perkhidmatan Awam

Must read

Secara dasarnya, inovasi dan kreativiti dalam perkhidmatan awam bermatlamat untuk mencari solusi kepada sesuatu masalah yang turut membuka ruang kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan, tindakan yang lebih responsif terhadap tugas dan amanah, seterusnya menimbulkan kepuasan dalam kalangan rakyat.

Di dalam buku bertajuk ‘Budaya Inovasi: Prasyarat Model Baharu Ekonomi’ tulisan Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, kreativiti membabitkan pemikiran, idea dan gagasan baharu manakala inovasi pula menjurus ke arah penambahbaikan dan penyesuaian kepada pemikiran, idea yang sedia ada sehingga memberi nilai tambah baharu yang boleh diguna pakai, dimanfaatkan serta boleh dijadikan sebagai produk atau perkhidmatan yang boleh dikomersialkan.

Budaya kerja inovatif dan kreatif juga akan melahirkan warga perkhidmatan awam yang mampu menghasilkan sesuatu produk atau perkhidmatan yang telah ditambah baik yang akan memberi manfaat kepada rakyat mahupun pihak kerajaan.

Pembudayaan inovasi dan kreativiti dalam perkhidmatan awam adalah penentu utama bagi mewujudkan pembaharuan penyampaian perkhidmatan yang inovatif, kreatif dan berkesan untuk terus bergerak maju ke hadapan

Perkhidmatan awam Sarawak telah memperkenalkan Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) yang merupakan satu bentuk penganugerahan kepada jabatan dan agensi kerajaan yang membudayakan inovasi dan kreativiti bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan masing-masing.

Objektif penganjuran SCSICA adalah untuk melestarikan budaya inovatif dan kreatif dalam kalangan penjawat awam di Sarawak dan juga sebagai platform untuk penjawat awam menggilap kebolehan, keupayaan dan meningkatkan kompetensi diri dalam berinovasi.

Selain itu, SCSICA juga bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan atas penghasilan projek inovasi yang dihasilkan oleh penjawat awam sebagai galakan untuk meningkatkan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan.

Dalam erti kata lain, SCSICA menyemarakkan lagi usaha dan budaya inovasi dalam kalangan penjawat awam ke arah kecemerlangan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan negara.

Melalui penganjuran SCSICA, penjawat awam dapat berkongsi idea, pengetahuan dan pengalaman di samping dapat meningkatkan pendedahan terhadap trend teknologi dan digital serta inisiatif terkini yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Selari dengan usaha Sarawak mencapai status maju dan berpendapatan tinggi yang dipacu oleh data dan inovasi menjelang tahun 2030 seperti yang digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, SCSICA boleh dijadikan sebagai pentas untuk memperkukuh perkhidmatan awam yang akan memacu usaha tersebut.

Pada tahun ini, SCSICA 2024 yang telah berlangsung dari 21 hingga 25 Oktober menyaksikan 50 buah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dari pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan di seluruh Sarawak mempertandingkan projek masing-masing yang diharapkan dapat memberi impak kepada rakyat dan organisasi kerajaan.

Sebanyak enam (6) kategori dianugerahkan kepada KIK terbaik, iaitu Anugerah Inovasi Premier, Anugerah Inovasi SCSICA, Anugerah Persembahan Terbaik, Anugerah Inovasi Digital dan Anugerah Green Innovation yang baru saja diperkenalkan pada tahun ini.

Anugerah Green Innovation diperkenalkan buat pertama kali pada penganjuran SCSICA 2024

Acara tersebut dilangsungkan sebagai kemuncak Sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak 2024 yang bermula dari Julai 2024.

Sebagai kesimpulan, pembudayaan inovasi dan kreativiti dalam organisasi kerajaan adalah penentu utama bagi mewujudkan pembaharuan penyampaian perkhidmatan yang inovatif, kreatif dan berkesan untuk terus bergerak maju ke hadapan.

Dalam masa yang sama, inovasi dan kreativiti perkhidmatan awam juga dapat menggalakkan daya saing dan mampu melonjakkan negeri dan negara ke peringkat yang lebih tinggi supaya dapat bersaing dengan negara-negara maju.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article