- Advertisement -spot_img
4,841
published news
and counting

SCSICA 2024 Menampilkan Pelbagai Projek Inovasi Perkhidmatan Awam

Must read

Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2024 telah melabuhkan tirai pada 25 Oktober lepas apabila kesemua pemenang diumumkan pada satu majlis penganugerahan yang berprestij.

SCSICA dianjurkan setiap tahun bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan atas penghasilan projek inovasi yang dihasilkan oleh penjawat awam agensi kerajaan negeri dan persekutuan sebagai galakan untuk meningkatkan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan awam.

Sepanjang konvensyen yang berlangsung dari 21 hingga 24 Oktober 2024 di salah sebuah hotel di Kuching, RAKAN Sarawak berpeluang menemu bual tiga (3) daripada 50 buah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang bertanding bagi mendapatkan penerangan ringkas tentang projek serta jangkaan daripada projek yang dihasilkan oleh setiap kumpulan.

Kumpulan Alpha Dynamic dari Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak (JPNS) membentangkan projek bertajuk Proses Pengeluaran Resit Yang Kurang Cekap dengan memperkenalkan sistem SAS Receipting.

Kumpulan Alpha Dynamic membentangkan projek sistem SAS Receipting ketika berlangsungnya SCSICA 2024

Penambahbaikan terhadap proses pengeluaran resit rasmi jabatan melalui sistem elektronik berkenaan telah berjaya dibuktikan kecekapan penggunaannya sejak 1 Januari 2023 untuk semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) Pemungut agensi kerajaan negeri.

Seterusnya pada Disember 2023, sistem berkenaan mula diguna pakai oleh agensi-agensi persekutuan yang menguruskan penerimaan Kerajaan Sarawak, antaranya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut Malaysia. 

Menurut ketua kumpulan, Nurul Jannah binti Edrus, projek berkenaan telah mempermudah proses kerja dalaman bagi pihak jabatan dan memudahkan urusan pembayar kerana resit berkenaan boleh dicetak sendiri dengan mengakses sistem SAS Receipting berbanding dengan kaedah lama menggunakan mesin pencetak khas yang hanya dapat diakses dan dikendalikan oleh kakitangan JPNS yang diberi kuasa.

Nurul Jannah binti Edrus

Sebelum ini, resit rasmi yang dikeluarkan untuk akuan terima semua jenis terimaan Kerajaan Negeri dijana menggunakan resit pra cetak dan mesin cetak khas.

Namun, penggunaan resit rasmi pra cetak mempunyai beberapa kelemahan seperti kos yang tinggi dan proses yang kurang sistematik.

Tambah beliau, sistem SAS Receipting lebih efisien, menjimatkan masa dan kos penyelenggaraan jika dibandingkan dengan kaedah lama yang mana mesin pencetak khas sering mengalami masalah teknikal.

Impak daripada projek tersebut, ketirisan urusan terimaan yang lazimnya melibatkan jumlah transaksi yang besar dapat dikurangkan memandangkan resit boleh dicetak lebih cepat dan tepat pada masa sebenar (real time).

Kumpulan QFA dari Lembaga Pelabuhan Miri tampil dengan projek Employee Self-Service (ESS), iaitu inovasi penambahbaikan sistem tuntutan kerja lebih masa daripada manual kepada digital.

Kumpulan QFA merakam gambar sebagai tanda kenangan selepas membentangkan projek Employee Self-Service (ESS) pada SCSICA 2024

Fasilitator kumpulan, Jane Hii Ing Yie menjelaskan, projek tersebut merupakan inisiatif pendigitalan proses kerja di peringkat dalaman yang memudahkan kakitangan membuat tuntutan kerja lebih masa secara dalam talian.

Jane Hii Ing Yei

Sistem ESS membolehkan proses tuntutan dari peringkat permohonan, pengiraan, penghantaran dan kelulusan dari pihak pengurusan dapat dilakukan dengan mudah, sistematik dan lebih teratur.

Menurut beliau, proses tuntutan kerja lebih masa melalui sistem tersebut lebih menjimatkan masa dan beliau menjangkakan inovasi tersebut dapat memberi inspirasi kepada agensi-agensi kerajaan yang lain untuk diguna pakai dengan meluas.

Tambah beliau, inovasi terhadap proses kerja tersebut juga sebagai satu inisiatif memanfaatkan teknologi digital dalam kalangan warga kerja yang selari dengan transformasi ekonomi digital Sarawak dan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Kumpulan 7-Rings dari Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) Bahagian Kapit mempertaruhkan projek inovasi RISWAS (Smart River Safety Warning System) sebagai penyelesaian kepada masalah Ketiadaan Tanda Amaran Arus Deras Berbahaya di Batang Rajang yang dijadikan sebagai tajuk projek.

Menurut ketua kumpulan, Stephenie Lyvan Jalong, LSS sebagai agensi peneraju dalam hal keselamatan sungai menyahut cabaran untuk memperkukuh keselamatan pengguna, khususnya di kawasan arus deras Sungai Rajang.

Stephenie Lyvan Jalong

RISWAS merupakan alat yang berfungsi sebagai tanda amaran berbahaya yang dipasang di kawasan arus deras, jeram dan pusaran air berbahaya bagi memberi peringatan langsung kepada pengguna-pengguna pengangkutan sungai.

Jelas Stephenie, pemasangan alat tersebut dijangka dapat mengurangkan risiko kemalangan di sungai di Bahagian Kapit yang selama ini berlaku atas faktor kekurangan tanda amaran berbahaya.

Beliau menambah, inovasi tersebut juga diharap dapat mendidik masyarakat tentang betapa pentingnya keselamatan sungai serta membuka ruang penambahbaikan aspek keselamatan di sepanjang laluan sungai serta peningkatan kemudahan yang boleh mengurangkan risiko kemalangan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article