Amalan moden yang dipacu teknologi, Sarawak berkembang menjadi sebuah wilayah dengan jaminan sekuriti makanan yang berpotensi menjadi pengeksport makanan bersih.
Kerajaan Sarawak mengakui cabaran dalam sekor ini serta komited untuk menanganinya melalui inovasi dan kerjasama dan salah satu daripada penyelesaian tersebut ialah Dana Impak Kelestarian Teknologi Agro Makanan Sarawak.
Dana ini menyediakan modal yang diperlukan untuk meningkatkan dan mengembangkan usaha niaga Teknologi Agro makanan, memastikan Sarawak memanfaatkan teknologi sempadan untuk meningkatkan pengeluaran dan produktiviti makanan di Sarawak.
Berdasarkan statistik, populasi dunia diunjurkan mencecah 8.5 bilion menjelang 2030 dan meningkat lagi kepada 9.7 bilion pada 2050 dan 10.4 bilion menjelang 2100, permintaan untuk makanan dijangka meningkat dengan ketara. Sarawak, seperti kebanyakan wilayah di dunia, kini sangat bergantung kepada import makanan.
Pada tahun 2023 sahaja, import makanan Malaysia berjumlah RM78.8 bilion, dengan Sarawak menyumbang RM6.8 bilion daripada jumlah tersebut.
Pergantungan kepada import ini menunjukkan Sarawak tidak mampan dan Sarawak telah mengambil langkah progresif beralih ke arah sara diri dan berusaha ke arah menjadi pengeksport makanan bersih.
Malah bertepatan dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, makanan dan pertanian telah dikenal pasti sebagai sektor ekonomi utama yang akan memacu pertumbuhan Sarawak dengan visi untuk memodenkan dan mengkomersialkan sektor makanan dan pertanian dengan mengamalkan Teknik Pertanian Pintar dan Perkongsian Global dalam mempercepatkan pengeluaran.
Sudah pasti, pemodenan sektor ini nanti akan menyokong pemprosesan makanan hiliran terutama memberi nilai tambah yang lebih tinggi, terutamanya untuk pasaran eksport.
Bagi mencapainya, Kerajaan Sarawak telah menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta yang aktif untuk mempercepatkan penggunaan amalan pertanian moden serta menyokong inisiatif lain yang telah pun dilaksanakan di Sarawak termasuklah mewujudkan taman agro, taman akuakultur dan taman agroteknologi
Zon khusus untuk pertanian moden ini nanti yang dilengkapi dengan infrastruktur bakal menarik pelaburan swasta dan menyokong pertumbuhan industri berasaskan pertanian.
ilai eksport makanan Sarawak hanya mencatatkan RM1.23 bilion menunjukkan kelemahan ketara berbanding import makanan sebanyak RM6.8 bilion.
Memetik ucapan penggulungan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, YB Dato Sri Stephen Rundi Utom sewaktu Persidangan Dewan Undangan Sarawak tahun lepas (2023) berkata eksport makanan menyumbang hanya 17.8 peratus daripada jumlah nilai import.
Walaubagaimanapun, terdapat trend peningkatan dalam eksport makanan Sarawak dalam tempoh empat tahun lepas, mencecah RM1.23 bilion pada 2022, meningkat daripada RM855.92 juta pada 2019.