Townhall 8 Tahun Bersama YAB Premier Sarawak
Penandaarasan yang betul mampu menjadikan Sarawak muncul sebagai sebuah negeri dengan ekonomi maju serta rakyatnya yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
Dalam hal tersebut, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menjadikan beberapa buah negara Scandinavia yang mempunyai persamaan dengan Sarawak dari segi sumber, saiz dan populasi sebagai model ekonomi maju.
Menurut beliau, saiz dan populasi negara-negara seperti Sweden, Norway, Finland dan Denmark tidak jauh bezanya jika dibandingkan dengan Sarawak, tetapi negara-negara ini jauh lebih maju dari sudut ekonomi.
Melalui pengamatan beliau, apa yang membolehkan negara-negara berkenaan maju seperti yang dilihat pada hari ini adalah hasil daripada keazaman dan dasar ekonomi yang betul di samping kualiti yang ada pada rakyatnya yang begitu mahir dan pakar dalam pelbagai bidang.
Norway misalnya jelas beliau, kaya dengan sumber minyak dan gas yang mana Sarawak juga turut memiliki sumber tenaga berkenaan selain negara berkenaan turut membangunkan tenaga bersih dengan kemajuan teknologi terkini.
Beliau menegaskan, Sarawak perlu belajar daripada negara-negara tersebut dengan melihat faktor persamaan yang dimiliki sebagai penanda aras untuk memajukan ekonomi negeri.
Beliau menjelaskan perkara tersebut sebagai respons kepada soalan daripada Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Aila Abdul Latif dalam program Townhall 8 Tahun Bersama YAB Premier Sarawak.
Program yang berlangsung di Hikmah Exchange, Kuching pada 13 Januari 2025 juga telah disiarkan secara langsung menerusi salah sebuah saluran televisyen tempatan dan beberapa platform media sosial media tempatan.
Dr. Aila yang dijemput sebagai salah seorang daripada moderator dalam program tersebut bertanya kepada Premier Sarawak tentang strategi Sarawak untuk mengejar kemajuan serta bagaimana beliau menilai ketidaktentuan dalam pendekatan-pendekatan berani yang beliau ambil dalam membangunkan negeri ini supaya rakyat lebih memahaminya.
Premier Sarawak menjelas lanjut, Sarawak perlu merangkumkan semua faktor yang membolehkannya untuk terus maju ke hadapan supaya tidak lagi terkebelakang.
Tanpa mengira seberapa pantas Sarawak perlu melangkah untuk terus maju, Sarawak perlu berada di hadapan dengan berusaha lebih keras.
Dalam konteks Sarawak, beliau telah mencari jalan untuk meneruskan usaha dalam semua bidang. Antaranya ialah melalui peruntukan khas di bawah perlembagaan dan perundangan yang membolehkan Sarawak untuk meningkatkan pendapatan yang menjadi tenaga untuk membangunkan negeri ini yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat.
Premier Sarawak juga menegaskan bahawa kestabilan politik amat penting sebagai asas kukuh untuk kemajuan Sarawak dan juga negara.
Pada penghujung program, antara intipati lain yang beliau tekankan ialah kesediaan pemimpin pada masa hadapan untuk meneruskan kesinambungan inisiatif yang beliau laksanakan pada masa ini.
Tegas beliau, dalam meneruskan usaha tersebut, faktor perubahan ekonomi dunia seperti peralihan tenaga perlu diambil kira selain pemimpin seterusnya perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan supaya dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.
Program Townhall 8 Tahun Bersama YAB Premier Sarawak yang berlangsung selama lebih kurang dua (2) jam turut menjemput penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian selaku moderator kedua dan Sayed Munawar Sayed Mustar sebagai moderator utama.