- Advertisement -
4,861
published news
and counting

Membantu Golongan Yang Memerlukan

Must read

Secara asasnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) terdiri daripada dua (2) entiti yang berbeza, namun berfungsi dalam satu organisasi.

Entiti pertama melibatkan kakitangan yang dilantik oleh Kerajaan Sarawak, sementara entiti kedua melibatkan kakitangan yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan.

Walaupun berasal dari dua (2) entiti yang berlainan, kedua-duanya mempunyai tanggungjawab yang sama dalam melaksanakan tugas kebajikan.

Jumlah keseluruhan kakitangan JKMS kini hampir mencecah 1,000 orang, termasuk Pekerja Sosial Kebajikan (PSK) yang dilantik secara sementara.

Walaupun berstatus sementara, PSK memainkan peranan yang sangat penting sebagai Pegawai Kebajikan di JKMS.

Terdapat lebih 100 orang PSK yang ditempatkan di seluruh Sarawak untuk membantu pegawai sedia ada dalam memberikan khidmat kebajikan kepada golongan yang memerlukan.

Demikian dijelaskan oleh Pengarah JKMS, Tuan Haji Semawi Bin Haji Mohamad ketika ditemu bual oleh RAKAN Sarawak.

Pengarah JKMS, Tuan Haji Semawi Bin Haji Mohamad ketika ditemu bual oleh RAKAN Sarawak

Menurut beliau, PSK bertanggungjawab dalam memberikan bantuan kepada individu atau keluarga yang memerlukan.

Sebagai contoh, sekiranya JKMS menerima aduan daripada Yang Berhormat (YB) mengenai kemalangan jiwa atau kebakaran yang memerlukan perhatian segera, PSK bersama pegawai tetap JKMS akan segera ke lokasi kejadian untuk menemu duga mangsa, mengumpul biodata, serta menyediakan bantuan yang diperlukan seperti bantuan kewangan, makanan, atau sokongan lain mengikut keperluan mangsa.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa JKMS memiliki 12 pejabat Bahagian, 11 Institusi Kebajikan, dan 20 Pejabat Kebajikan di peringkat Daerah, terutamanya di kawasan-kawasan yang sering dilanda bencana.

Serahan bantuan awal kepada mangsa kebakaran Batu 22 Jalan Bintulu Miri (Sumber gambar: FB PKMB Bintulu)

Antara institusi yang memainkan peranan penting termasuklah Rumah Seri Kenangan yang menyediakan perlindungan untuk warga emas dan Rumah Kanak-Kanak yang memberi perlindungan kepada kanak-kanak yang terabai.

Berikut adalah Senarai Institusi di bawah JKMS:

  1. Rumah Seri Kenangan Kuching
  2. Rumah Seri Kenangan Sibu
  3. Pusat Pemulihan Samarahan
  4. Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol, Sri Aman
  5. Sekolah Tunas Bakti Kuching
  6. Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching
  7. Sekolah Tunas Bakti (P) Miri
  8. Taman Seri Puteri Kuching
  9. Desa Bina Diri (DBD)

Bagi remaja yang menghadapi masalah akhlak, JKMS turut menyediakan asrama akhlak untuk lelaki dan perempuan.

Selain itu, Desa Bina Diri (DBD), walaupun kurang diketahui ramai, merupakan pusat penempatan bagi individu gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal dan memerlukan bantuan.

TTG Sibu bantu gelandangan yang mahu memulakan kehidupan baharu dengan lebih sempurna

Di sini, JKMS berusaha untuk memulihkan individu gelandangan yang menghadapi pelbagai masalah kehidupan, termasuk mereka yang pernah terlibat dalam jenayah.

Bagi mereka yang ingin memulakan kehidupan baharu setelah kembali ke pangkal jalan, DBD memberikan ruang untuk berehat, menerima rawatan, serta bimbingan.

Setelah pulih dan mendapat pengesahan doktor, mereka akan dilepaskan untuk kembali kepada masyarakat.

Bagi gelandangan yang berusia kurang daripada 60 tahun dan tiada keluarga, mereka biasanya diberikan tempoh dua tahun untuk menjalani proses pemulihan. Namun, ada juga yang tinggal lebih lama apabila tiada tempat untuk kembali.

Setakat ini, lebih 30 orang gelandangan telah ditempatkan di DBD. Mereka yang tidak mempunyai masalah kesihatan serius, seperti HIV atau penyakit jantung, diterima untuk menjalani proses pemulihan di sini.

Terdapat juga gelandangan yang pernah terlibat dalam kes jenayah serius seperti bunuh dan telah menjalani hukuman penjara.

Setelah dibebaskan, mereka ingin memulakan kehidupan baharu dan mengelakkan kesalahan lalu, dan DBD menjadi tempat bagi mereka dipulihkan sebelum kembali ke masyarakat dengan semangat baharu.

Kebanyakan gelandangan tidak mempunyai keluarga, tetapi mereka memiliki daya tahan untuk mencari rezeki dengan cara mereka sendiri.

- Advertisement -

Di sekitar Kuching, aduan tentang gelandangan sering diterima, terutamanya di kawasan seperti Satok dan Petra Jaya, di mana orang awam menghantar gambar untuk melaporkan keberadaan gelandangan.

Namun, tidak semua gelandangan diterima, kerana mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah atau dalam keadaan mabuk tidak akan diterima masuk ke dalam program ini.

Apabila JKMS menerima aduan, PSK dan pegawai tetap akan melakukan siasatan terlebih dahulu untuk memastikan bahawa individu yang dilaporkan benar-benar gelandangan.

Jika disahkan, mereka akan diterima dan dipindahkan ke DBD untuk proses pemulihan. Bagi gelandangan yang berusia lebih 60 tahun, mereka akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article