Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), Tuan Haji Semawi Bin Haji Mohamad, ketika ditemu bual oleh RAKAN Sarawak, antara projek fizikal yang akan menjadi teras RMKe-13 adalah:
- Pusat Komuniti Berkeperluan Khas (akan dibangunkan di tapak Pusat Pemulihan Samarahan);
- Kompleks Kesejahteraan Komuniti Subis;
- Kerja Baik Pulih/Bina Semula Rumah Kanak-Kanak Ajibah Abol Sri Aman;
- Rumah Seri Kenangan Sibu Fasa 2; dan
- Baik Pulih Pejabat Kebajikan Daerah Julau.
Selain itu, terdapat beberapa projek adalah kesinambungan daripada RMKe-11, antaranya termasuk:
- Rumah Seri Kenangan Kuching Fasa 1 dan Fasa 2;
- Rumah Seri Kenangan Sibu Fasa 1;
- Kompleks Kebajikan Dalat;
- Kerja Baik Pulih Pusat Pemulihan Samarahan;
- Baik Pulih Pejabat Kebajikan Daerah Tatau; dan
- Baik Pulih Pejabat Kebajikan Daerah.
Projek yang paling berimpak tinggi adalah pelaksanaan Kompleks Kebajikan Dalat, sebuah institusi yang mengamalkan konsep one-stop centre dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan kebajikan kepada penduduk setempat. Antara perkhidmatan yang disediakan adalah:
- Taska bagi Orang Kurang Upaya;
- Pusat Perkhidmatan Dalam Komuniti (PPDK);
- Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE);
- Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE);
- Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Mukah (PKMD);
- Bilik Pameran Barangan dan Produk Tempatan;
- Bilik Terapi Snoezelan – dibina khas untuk merangsang deria kanak-kanak autisme; dan
- Pusat Rehabilitasi dalam Komuniti.
Kompleks ini juga berfungsi sebagai tempat interaksi sosial antara generasi berbeza, terutamanya antara kanak-kanak dan warga emas.
Selain memupuk perasaan empati di kalangan kanak-kanak, ia juga memberi peluang kepada golongan muda untuk menunjukkan simpati kepada warga emas.
Berkenaan dengan usaha penerapan nilai-nilai murni dan integriti di JKMS, beliau menjelaskan bahawa pada 15 Januari 2024, JKMS telah menubuhkan Cawangan Integriti, Audit dan Naziran, yang bertanggungjawab menjalankan enam fungsi Unit Integriti selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 06 Tahun 2013.
Cawangan ini juga menyelaras naziran, audit, dan inspektorat di seluruh cawangan JKMS. Beberapa program Pengukuhan Integriti yang telah dijalankan termasuk:
- Majlis Ikrar Bebas Rasuah JKMS 2024 (08 Mac 2024) yang melibatkan 123 orang pegawai;
- Slot Taklimat Integriti pada Kursus Transformasi Minda JKMS Siri 01/2024 (12 Jun 2024) yang melibatkan 133 orang pegawai;
- Sesi Perkongsian dan Latihan Amali bersama Unit Audit Dalam (UAD), Jabatan Premier Sarawak (31 Julai 2024) yang melibatkan 26 pegawai;
- Program Pengukuhan Integriti Siri 03/2024, bertemakan “Lokakarya Pengukuhan Integriti, Tatakelola Bebas Rasuah” (21 Oktober 2024) yang melibatkan 102 orang pegawai;
- Ujian Saringan Air Kencing sepanjang tahun di PKMB dan Institusi Kebajikan;
- Program Bacaan Yassin setiap Jumaat di Surau Istiqomah, JKMS; dan
- Penambahbaikan berterusan terhadap proses kerja dan garis panduan yang telah lapuk atau kurang sesuai dengan keadaan semasa.
Bermula pada 2022, JKMS telah melaksanakan penstrukturan baharu yang melibatkan penambahan 100 perjawatan.
Kakitangan baharu ini, yang diambil secara berfasa, kini ditempatkan di Ibu Pejabat, pejabat-pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian, dan Institusi Kebajikan.
Penambahan kakitangan ini bertujuan bagi memastikan organisasi kekal relevan dan mampan dalam menyampaikan perkhidmatan yang efisien, cekap, dan tepat kepada golongan yang memerlukan.
Selain itu, pada 2024, JKMS telah memperkenalkan budaya inovasi dengan menubuhkan 14 Kumpulan Inovatif dan Kreatif yang melibatkan kakitangan di peringkat bahagian dan institusi.
Pelbagai aktiviti seperti kursus, bengkel, dan Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) JKMS turut diadakan.
Pada konvensyen tersebut, Kumpulan Tibou II dari Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah dinobatkan sebagai juara, sekali gus memenangi Kategori Inovasi Penyampaian Perkhidmatan Penambahbaikan di peringkat JKMM melalui projek Sistem QR Inovatif Penerima Bantuan (SQIP).
Selain daripada itu, JKMS juga telah melaksanakan Inisiatif Senior Citizen Health Benefit (SCHB) bagi menyediakan kemudahan rawatan pesakit luar secara tanpa tunai (cashless) dengan had maksimum RM500 setahun untuk seorang warga emas.
Inisiatif ini, yang diluluskan oleh mesyuarat kabinet, menyediakan perkhidmatan di klinik panel yang dilantik oleh JKMS.
Dengan sistem baharu ini, pendaftaran penerima dan urusan pembayaran dapat dijalankan secara lebih sistematik dan mesra warga emas.
JKMS juga telah menambah nilai kepada konsep satelit office dengan memperkenalkan Program Outreach: Santuni Komuniti (POSKOM), yang bertujuan menyediakan platform interaksi dan khidmat nasihat bersama komuniti.
Program ini melibatkan semua pemimpin masyarakat dan pemimpin politik setempat, dan telah menyantuni 7,984 orang pelanggan dengan peruntukan sebanyak RM272,703.00.
Usaha ini menggambarkan komitmen JKMS dalam menyediakan perkhidmatan yang inklusif, responsif, dan berkesan untuk komuniti yang memerlukan.